Skip to main content
Author

Oleh: Nik Mohd Sofa’Urrahman Bin Nik Mohd Rosdi Pegawai Penyelidikan Isu-Isu Semasa,
Institut Ilmu Darul Makmur,
Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang.

Pendahuluan

Perayaan merupakan fitrah manusia sebagai satu bentuk ekspresi kegembiraan, rasa syukur, dan penghargaan terhadap kejayaan atau pengorbanan. Dalam Islam, perayaan bukan sekadar sebuah pensyariatan yang tandus daripada kegiatan adat atau budaya sesuatu masyarakat , tetapi merupakan manifestasi nilai-nilai spiritual yang dibimbing oleh wahyu dan syariat. Di sinilah kedudukan dua hari raya utama dalam Islam – Eid al-Fitri dan Eid al-Adha – yang telah digariskan secara jelas oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلمsebagai ganti kepada perayaan jahiliah. Perayaan Eid Fitri khususnya, bukan sekadar menandakan berakhirnya bulan Ramadan, tetapi ia adalah hari kemenangan spiritual, simbol kembali kepada fitrah, dan lambang perpaduan ummah dalam suasana takbir dan ibadah.

Isi Tausiyah

Perayaan hari raya Eid Fitri merupakan sebuah perayaan yang disyariatkan secara jelas di dalam Islam. Dua hari raya iaitu Eid Fitri dan Eid Adha ini menjadi simbolik kepada kegembiran dan kemenangan.

قال أنس بن مالك – رضي الله عنه -: قدم رسول الله – صلى الله عليه وسلم – المدينة و لهم يومان يلعبون فيهما فقال : ما هذان اليومان؟ قالوا: يومان كنا نلعب فيهما في الجاهلية فقال رسول الله – صلى الله عليه وسلم -: “إن الله قد أبدلكم بهما خيرا منهما يوم الأضحى ويوم الفطر”

Terjemahannya: Anas bin Malik RA meriwayatkan: Rasulullah SAW datang ke Madinah sedangkan mereka (penduduk Madinah) mempunyai dua hari yang mereka bermain padanya. Baginda bertanya: *”Apakah dua hari ini?” Mereka menjawab:”Dua hari yang kami biasa bermain padanya semasa zaman Jahiliah.”Maka Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan bagi kamu dua hari yang lebih baik daripada itu, iaitu Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri.”

Al-Ṭībī berkata – dan Al-Muẓhir juga menyebut: “Dalam hadith ini terdapat dalil bahawa membesarkan Nairuz, Mehrjan, dan selain keduanya daripada perayaan orang kafir adalah sesuatu yang dilarang.” Abu Ḥafṣ al-Kabīr al-Ḥanafī berkata: “Sesiapa yang menghadiahkan sebiji telur kepada seorang musyrik pada hari Nairuz kerana mengagungkan hari tersebut, maka dia telah kufur kepada Allah Taala dan gugurlah amalannya.” Qāḍī Abū alMaḥāsin al-Ḥasan ibn Manṣūr al-Ḥanafī berkata: “Sesiapa yang membeli sesuatu pada hari itu (seperti Nairuz atau perayaan kafir lain) yang dia tidak biasa membelinya pada hari lain, atau menghadiahkan hadiah kepada orang lain pada hari itu — maka jika dia berniat untuk mengagungkan hari tersebut sebagaimana ia diagungkan oleh orang-orang kafir, maka dia telah kafir. Tetapi jika dia membeli sesuatu dengan niat untuk bersenang-lenang atau berhibur, dan memberi hadiah atas dasar kasih sayang menurut kebiasaan, maka itu tidaklah menjadi kufur. Namun ia tetap makruh (dibenci), kerana menyerupai orang kafir, maka elok dielakkan.”1

Berdasarkan kepada syarahan cendekiawan semasa Islam dapat difahami bahawa perayaan yang disambut oleh penduduk Madinah tersebut tidaklah dilarang kerana perayaan dan kegembiraan semata-mata namun yang menjadi larangan adalah perayaan yang di dalamnya terdapat unsur mengagungkan sesuatu syiar orang kafir yang bertentangan dengan syariat Islam dan perkara yang dirayakan di dalamnya. Permainan dan hiburan yang mengikut Batasan syarak tidak menjadi kesalahan. Hadith ini juga tidaklah membatalkan semua jenis perayaan yang selain daripada 2 hari raya tersebut. Hal ini kerana kefahaman pengharaman perayaan selain daripada 2 hari raya ini adalah kefahaman mafhum mukhalafah. Kemudian para usuliyyin (ahli usul fiqh) menyebut bahawa mafhum mukhālafah hanya berlaku jika tidak ada syarat yang mengehadkannya iaitu hanya menafikan hukum terhadap yang tidak disebut2.

Eid Fitri ini tidak kosong daripada perbuatan dan amalan individu. Amalan dan praktikal tahunan inilah yang membentuk wajah bersyariat. Umat Islam disunatkan secara individu untuk menunaikan solat sunat dua hari raya. Bahkan para ulama telah memberi penekanan kepada semua umat untuk menghidupkan malam tersebut dengan takbir dan ibadah. Imam Abu Hamid al-Ghazali menyebut dalam kitabnya al-Wasīṭ fī Fiqh al-Shāfiʿiyyah tentang sunnah-sunnah pada hari raya, antaranya ialah menghidupkan malam hari raya dengan ibadah. Ibn al-Ṣalāḥ berkata: “Mengenai menghidupkan dua malam hari raya, memang ada riwayat seperti yang disebutkan. “Namun begitu, al-Shāfiʿī meriwayatkannya secara mawqūf (terhenti kepada sahabat, bukan marfūʿ kepada Nabi SAW) daripada Abū al-Dardā’, dengan lafaz: “Sesiapa yang mendirikan dua malam hari raya kerana Allah dengan penuh pengharapan, maka tidak akan mati hatinya ketika hati-hati manusia mati.” Imam al-Shāfiʿī – rahimahullāh – berkata: “Telah sampai kepada kami bahawa dikatakan: doa dimakbulkan pada lima malammalam Jumaat, malam Hari Raya Aidiladha, malam Hari Raya Aidilfitri, malam pertama bulan Rejab, dan malam pertengahan Sya‘ban”.

Melaungkan takbir raya telah menjadi syiar kebesaran Islam. Apabila diteliti setiap baitbait perkataan takbir tersebut, dapat menjadi simbolik kepada Tauhid, Fiqh dan Tasawwuf.

1Sheikh Khalil Ahmad, “ Bazlu al-Majhud Fi Hilli Sunani Abi Daud”, (Markaz Abi al-Hasan al-Nadwi, al-Hindi, 2006). 5:201,202.

2 Dr Amjad Rashid, “Tanbih Zawi Hija

Simbol ketauhidan di dalam takbir raya sudah jelas dengan mengisytiharkan bahawa hanya Allah satu-satunya Tuhan yang layak disembah. Daripada sudut dimensi fekah pula Takbir raya adalah ibadah lisan yang disunatkan pada waktu-waktu tertentu. Eid Fitri ialah takbir menutup ibadah puasa, manakala di Eid Adha, ia mengiringi ibadah korban dan haji dan ini membuktikan hubungan langsung antara zikir dan ibadah jasmani dalam syariah. Menurut kacamata tasawwuf pula ialah takbir yang lahir dari hati yang bersih selepas sebulan berpuasa atau berhaji, membawa rasa tunduk, syukur dan kehambaan kepada Allah. Menyingkir ego dan takabbur: Lafaz “Allāhu Akbar” mengingatkan bahawa tiada siapa lebih besar daripada Allah, menjadikan seseorang itu lebih tawaduk, bersyukur, dan insaf. Tajalli dan fana’: Dalam dunia tasawuf, takbir melambangkan kesedaran rohani bahawa segala sesuatu binasa kecuali Allah (kullu man ‘alayhā fān), dan segala kemenangan hakiki ialah bila jiwa kembali kepada Allah dalam keadaan redha dan diredhai.

Laungan takbir pada hari raya tersebut telah berdarah daging di dalam Masyarakat melayu dengan laungan yang berirama syahdu. Irama tersebut merupakan salah satu seni adat kebiasan orang melayu. Syariat yang digariskan oleh Allah SWT tidak terhad amalannya dengan seni tertentu di dalam bertakbir, kerana ia bukanlah sesuatu yang menjadi asas dan akar kepada perundangan syariat. Jika seseorang cendekiawan Islam tidak dapat memahami perbezaan diantara asas dan cabangan, maka mereka akan menjadikan cabangan isu perkara sebagai perkara yang tidak boleh dipertimbangkan dengan amalan diluar daripada perbuatan Nabi sallallahu`alaihi wasallam. Perkara yang menjadi asas yang tidak boleh diubah di dalam hari raya ini adalah pensyariatan solat hari raya dan takbir samada terikat atau tidak terikat dengan waktu. Inilah yang disebut sebagai ijma.

Amalan bersalaman dan mengucapkan selamat hari raya merupakan sebahagian daripada uruf dan adat melayu. Al-Ḥāfiẓ Ibn Ḥajar رحمه اللهberkata: “Kami meriwayatkan dalam kitab al-Muḥāmiliyāt dengan sanad yang hasan daripada Jubayr bin Nufayr, beliau berkata: Adalah para sahabat Rasulullah SAW, apabila mereka bertemu pada hari raya, sebahagian mereka akan berkata kepada sebahagian yang lain: ‘Taqabbalallāhu minnā wa mink’ (Semoga Allah menerima amalan daripada kami dan daripada kamu).”3 Alī bin Thābit berkata: “Aku bertanya kepada Mālik bin Anas tentang ucapan manusia pada hari raya: ‘Taqabbalallāhu minnā wa mink.’ Maka beliau menjawab: ‘Perkara itu telah sentiasa diamalkan di sisi kami, dan kami tidak melihat ada apa-apa masalah padanya.'”4 Adat melayu menziarahi kubur dan saudara mara selepas selesai hari raya juga merupakan sebuah lambang kepada pembudayaan syariat di dalam kehidupan. Ziarah sanak saudara dan bertanya khabar merupakan amalan yang sangat menjadi parameter utama di dalam syariat daripada sudut kemasyarakatan. Hubungan silaturrahim dan ukhuwwah sesama saudara sangat dituntut di dalam syariat. Tidak boleh seseorang itu mendakwa bahawa syariat menziarahi sanak saudara ini terikat kepada musim dan waktu tertentu melainkan terdapat dalil dan nas yang jelas arahannya.

Permainan mercun dan bunga api telah menjadi satu adat kemeriahan dan kegembiraan semua kaum dan bangsa. Tidak kira di Malaysia atau di luar Malaysia. Bunga api yang telah memecah kesunyian ini, telah menghiasi suasana berhari raya. Perbuatan bermain bunga api ini boleh dikategorikan sebagai budaya umum seluruh dunia. Jika berbalik kepada disiplin untuk mengkategorikan uruf yang muktabar, maka akan kita dapati bahawa amalan tersebut

3 [Fath al-Bārī, 2/446]

4 [al-Thiqāt, Ibn Ḥibbān, 9/90]

sudah tentu tidak boleh bercanggah dengan syariat seperti bermain sambil bergelak ketawa yang tidak terbatas sesama yang bukan mahram. Pendedahan aurat, menyentuh semasa jantina yang berbeza yang bukan mahram. Syarat-syarat ‘Urf yang Diterima dalam Syariah adalah ia tidak bercanggah dengan syariat. Jika adat itu bercanggah dengan nas syarak yang jelas atau kaedah asas syariah, maka ia dianggap sebagai ‘urf fāsid (adat yang rosak/tidak sah). Selain itu, adat itu berlaku secara konsisten (berterusan) atau umum berlaku dalam masyarakat. Tambahan lagi, bahawa adat tersebut sudah wujud ketika akad atau transaksi dibuat (maksudnya, ia tidak boleh dijadikan sandaran jika hanya muncul selepas sesuatu muamalah dilakukan.) Bahawa kedua-dua pihak yang berakad tidak menyatakan secara jelas sebaliknya. Jika mereka menyatakan dengan jelas berbeza daripada adat, maka adat itu tidak lagi terpakai dalam urusan mereka.

Jika kesemua syarat ini dipenuhi maka amalan tersebut dikira uruf dan adat yang muktabar dan diterima syarak. Sekiranya permainan mercun ini memudharatkan dan mengganggu ketenteraman masyarakat maka sudah tentu syariat menghadkan keharusannya pada waktu yang sesuai dan tertentu Sahaja. Adat merupakan salah satu istidlal yang diterima oleh ulama secara umumnya sebagai alat dan instrumen pertimbangan di dalam mengeluarkan hukum.

Kesimpulan

Perayaan dalam Islam bukan semata-mata panduan wahyu yang kosong daripada kefahaman naluri kejadian manusia. Islam telah menggariskan satu panduan yang sempurna untuk mengatur hidup manusia. Wahyu yang dipasangkan dengan adat kehidupan manusia telah membentuk satu ekosistem praktikal syariat di dalam sesebuah Masyarakat. Praktikal adat sesebuah kaum dan tempat inilah yang menjadi tujuan dan objektif utama di dalam memanifestasikan hakikat bersyariat. Syariat Islam yang datang dan menyerap ke dalam diri Masyarakat Pahang sejak 555 tahun dahulu, telah membentuk satu realiti beragama yang bertunjangkan tauhid, fekah dan tasawwuf.


Nik Mohd Sofa’Urrahman Bin Nik Mohd Rosdi merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda World Islamic Science And Education University (WISE) di dalam bidang Fiqh dan Usul dan Sarjana Universiti Malaya (UM) dalam bidang Fiqh dan Usul.

Tazkirah Jumaat IIDM-MUIP Bertarikh 18 April 2025