ABSTRAK
Istilah Salaf dan Khalaf telah menjadi pokok perbahasan dalam keilmuan Islam, terutamanya dalam memahami akidah dan metodologi penafsiran wahyu. Perbezaan metodologi antara kedua aliran ini sering kali mencerminkan garis pemisah dalam pendekatan takwil dan tafwid terhadap wahyu. Kajian ini bertujuan untuk menganalisis bagaimana istilah Salaf dan Khalaf difahami dalam naratif Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) aliran Ashā’irahMāturīdiyyah serta Salafi-Wahabi. Salaf merujuk kepada generasi awal umat Islam (Sahabat, Tabi’in, dan Tabi’ Tabi’in) yang dianggap sebagai model terbaik dalam memahami agama berdasarkan hadith Rasulullah SAW. Sebaliknya, manhaj Khalaf berkembang ketika munculnya kefahaman sesat seperti Khawarij, Muktazilah, dan Syiah, yang mendorong ulama pada kurun berikutnya untuk mengembangkan disiplin bagi menentang golongan ini. Kajian ini juga akan menilai pengaruh Ibn Taimiyyah dan ulama Hanabilah yang mempopularkan naratif negatif terhadap golongan Khalaf, serta perbezaan metodologi dalam memahami ayatayat mutasyabihat dan konsep zat Allah. Penelitian ini berfokus pada perbezaan manhaj antara Salaf dan Khalaf serta analisis terhadap pandangan ulama yang memuji atau mencela kedua-dua golongan ini.
PERSOALAN KAJIAN
1- Apakah naratif salaf dan khalaf yang digunakan oleh ahli sunnah wal jamaah dan golongan salafi.
2- Begaimanakah perbezaan manhaj salaf dan khalaf 3- Apakah pertembungan diantara salaf dan khalaf?
OBJEKTIF KAJIAN
1- Mengenal pasti naratif salaf dan khalaf
2- Analisis perbezaan manhaj salaf dan khalaf
3- Mengetahui Pertentangan diantara salaf dan khalaf digunakan.
PERBAHASAN TAJUK
PERBINCANGAN NARATIF SALAF DAN KHALAF
Pembahagian Salaf dan Khalaf ini dapat dilihat mula muncul pada abad ke-3 Hijrah dengan perkembangan ilmu kalam, sebelum menjadi lebih formal pada abad ke-4 Hijrah ke atas melalui karya-karya Abu ’Uthman al-Sabuni (w:449), al-Bayhaqi (w:457), Khatib al-Baghdadi (w:463), Ibn Qudamah al-Maqdisi (w:), al-Qurtubi, al-Nawawi (w:676), al-Dhahabi (w:748), Ibn Daqiq al-’Eid (w:702), Ibn Kathir (w:774), Ibn Hajar (w:852), . Kedua-dua pendekatan ini mempunyai persamaan dalam prinsip asas akidah, iaitu keyakinan bahawa Allah tidak menyerupai makhluk (Laysa kamithlihi shay’). Namun, terdapat perbezaan dalam metodologi: Salaf menggunakan tafwidh sebagai tanda kerendahan hati, sementara Khalaf menggunakan takwil untuk melindungi akidah daripada salah tafsir dan serangan falsafah. Perdebatan ini menjadi lebih sengit pada abad ke-7 Hijrah, apabila Ibn Taymiyyah (661-728H) dalam karyanya Dar’ Ta‘arud al-‘Aql wa al-Naql menyeru kembali kepada pendekatan literal Salaf dan menolak takwil Khalaf, berbeza dengan pandangan Fakhr al-Din al-Razi yang membela rasionalisasi dan konsep takwil dalam tradisi Islam.
Al-Imam Zainuddin Abdurrahim al-Iraqi dalam kitabnya memberikan penjelasan mengenai pemahaman terhadap sifat mutashabihat, seperti wajah Allah, dengan merujuk kepada dua pendekatan utama yang dipegang oleh ulama ahli sunnah. Beliau menyatakan bahawa pengulangan penyebutan wajah Allah dalam al-Quran dan al-Sunnah, serta cara pandang ulama terhadapnya, memiliki dua mazhab utama yang terkenal. Pendekatan pertama adalah dengan menyerahkan makna sifat-sifat Allah tanpa mengubahnya, beriman kepada sifatsifat tersebut, dan meyakini bahawa Allah tidak ada yang serupa dengan-Nya, serta sifat-sifatNya tidak sama dengan sifat makhluk. Pendekatan kedua adalah dengan mentakwilkan makna sifat-sifat tersebut sesuai dengan apa yang layak bagi kebesaran Dzat Allah, seperti yang diterangkan dengan menyebutkan bahawa wajah Allah itu bermaksud wujud-Nya. Imam al- `Iraqi tidak menjadikan perbezaan ini sebagai sesuatu yang negatif yang memisahkan manhaj salaf dan khalaf, malah beliau tidak mengkhususkan manhaj takwil sebagai mazhab khalaf secara mutlak.
Dalam hal ini, Imam al-`Iraqi mengakui adanya perbezaan pandangan dalam kalangan ulama, namun beliau tidak melemparkan naratif buruk terhadap golongan yang berbeza. Sebagai contoh, Imam al-Tabari, seorang ulama salaf yang hidup pada kurun kedua dan ketiga hijrah, mentakwilkan ayat mengenai sifat mata dalam Surah Taha. Ini menunjukkan bahawa manhaj salaf tidak hanya terbatas pada pendekatan tafwid (menyerahkan makna kepada Allah), tetapi juga mencakup pendekatan mentakwil ayat mutashabihat.
Imam al-Nawawi, seorang ulama yang muncul pada kurun ketujuh hijrah, juga menjelaskan dalam kitabnya bahawa terdapat dua pendapat dalam kalangan para ulama mengenai ayat-ayat sifat. Pendapat pertama adalah mazhab kebanyakan salaf, yang berpendapat bahawa ayat-ayat sifat tersebut tidak perlu ditakwilkan, tetapi kita hanya beriman dengan sifat-sifat tersebut dan mempercayai maknanya sesuai dengan kebesaran Allah. Sementara itu, pendapat kedua adalah pandangan kebanyakan ahli kalam, yang berpendapat bahawa ayat-ayat sifat perlu ditakwilkan berdasarkan makna yang sesuai dengan kebesaran Allah. Imam al-Nawawi tidak memberikan penilaian negatif terhadap golongan yang berbeza ini dan tidak secara eksplisit menyebutkan golongan khalaf, sebaliknya beliau hanya menjelaskan perbezaan pandangan tersebut tanpa merendahkan pihak mana pun.
Imam Ibn Qudamah, yang hidup pada kurun ke-6 dan ke-7, turut menyebutkan bahawa salaf dan khalaf sepakat dalam menerima dan mempercayai sifat-sifat Allah sebagaimana adanya tanpa menyebutkan perbezaan yang merugikan. Begitu juga dengan Imam Ibn Hajar al-`Asqalani, yang menyatakan bahawa kebanyakan golongan salaf tidak mentakwil ayat-ayat sifat, melainkan menyerahkan maknanya kepada Allah, namun beliau tidak mencela golongan yang mentakwil, kerana beliau memahami bahawa manhaj takwil juga termasuk dalam kalangan salaf.
Imam Badruddin al-Aini, seorang ulama yang hidup pada kurun ke-8 dan ke-9, menggariskan bahawa terdapat dua pendapat dalam kalangan ahli ilmu mengenai ayat-ayat sifat. Pendapat pertama adalah mazhab kebanyakan salaf yang menyerahkan urusan ini kepada Allah dan beriman dengannya, sementara pendapat kedua adalah mazhab sebahagian ahli kalam yang mentafsirkan ayat-ayat tersebut. Imam Mulla Ali Qari juga memberikan penjelasan mengenai perbezaan antara manhaj salaf dan khalaf. Beliau menyebut bahawa manhaj salaf menggunakan takwil ijmali (secara umum), sementara manhaj khalaf menggunakan takwil tafsili (secara terperinci).
Di samping itu, Sheikh Ali Jumaah dalam kitabnya menyebut bahawa golongan mutaqaddimin (ulama terdahulu) tidak memberi makna pada lafaz ayat mutashabihat dan tidak mengambil makna hakikat bahasa, sementara golongan mutaakhirin (ulama kemudiannya) mentakwil ayat-ayat tersebut dengan takwilan yang diterima untuk mengelakkan penyamaan Allah dengan makhluk. Sheikh Ali Jumaah juga menggariskan bahawa mazhab salaf adalah mazhab i’tiqad (kepercayaan), manakala mazhab khalaf adalah mazhab perdebatan.
Walaupun ada perbezaan antara manhaj salaf dan khalaf, perlu diperhatikan bahawa manhaj salaf tidak semata-mata menyerahkan makna kepada Allah tanpa mentakwil sama sekali. Terdapat sahabat Nabi, seperti Ibn Abbas, yang turut mentakwil ayat-ayat yang mengandungi makna tasybih. Sebagai contoh, Ibn Abbas menafsirkan ayat “” َوال َّس َما َء بَنَ ْينَا َها بِأَ ْيد dengan makna “dengan kekuatan”. Begitu juga dengan Imam Malik bin Anas yang mentakwil hadis mengenai turunnya Allah pada waktu malam sebagai “perintah-Nya”. Imam Ahmad bin Hanbal pula menafsirkan ayat ” ” َو َجا َء َربُّ َكdengan maksud datangnya pahala-Nya. Ini
menunjukkan bahawa mentakwil ayat-ayat sifat bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan salaf, dan perbezaan dalam pendekatan ini lebih banyak dilihat sebagai usaha untuk menjaga kemurnian akidah dan menghindari penyerupaan Allah dengan makhluk.
Kesimpulannya, setelah diteliti beberapa perkataan para ulama sebelum kelahiran Ibn Taimiyah, tiada seorang pun daripada kalangan mereka yang mencela dan memburukkan golongan khalaf. Bahkan terdapat daripada kalangan mereka yang telah memuji golongan khalaf. Mereka tidak meletakkan sesuatu komentar buruk terhadap golongan khalaf. Imam Abu Hasan al-Asy`ari sendiri telah menggunakan terma khalaf yang soleh di dalam kitabnya. Terdapat kitab yang ditulis oleh Ibn Abi Zaid yang telah mencela golongan khalaf dan begitujuga kitab yang ditulis oleh Ibn Battah. Mereka merupakan ulama yang datang pada kurun ke 4 hijrah. Jika dilihat kepada pentahqiq kepada kitab tersebut, didapati kalam tersebut merupakan komentar daripada pentahqiq kitab bukan perkataan imam itu sendiri. Terdapat perkataan Ibn Battah yang mencela golongan khalaf, namun celaan tersebut merujuk kepada golongan yang sesat yang muncul pada zamannya. Akhir kata, Ibn Qayyim pernah menyebut mengenai siapakah mereka khalaf apabila menyebut mengenai permasalahan khabar ahad, “Adapun khalaf, ini adalah mazhab para fuqaha besar dari kalangan sahabat imam-imam empat mazhab”.
DEFINISI SALAF DAN KHALAF MENURUT NARATIF ASHĀ’IRAHMĀTURĪDIYYAH Istilah Salaf dalam tradisi Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran Ashā’irah-Māturīdiyyah merujuk kepada Ma’na Zamaniyyah iaitu generasi awal umat Islam, iaitu Sahabat, Tabi’in, dan Tabi’ Tabi’in, yang dianggap generasi terbaik berdasarkan hadith Rasulullah SAW. Generasi ini dikenali dengan ketinggian akhlak dan bersifat cenderung mengelakkan diri daripada penafsiran sebarang makna terhadap wahyu. Antara pembeza yang paling jelas boleh dilihat adalah dari segi pendekatan mereka terhadap ayat mutashabihat -ayat yang maknanya tidak jelas- adalah dengan tafwidh, iaitu menyerahkan maksud sebenar kepada Allah tanpa menyelidiki “kebagaimanaan” tersebut. Tokoh-tokoh utama pendekatan Salaf termasuk Imam Ahmad Ibn Hanbal (164-241H), yang menyerahkan maksud hadith seperti hadith penurunan Allah ke langit dunia sepertiga malam. Katanya; maksud “nuzul” yang dikehendaki Allah, wallahu a’lam merupakan suatu fi’il yang disebutkan Rasul sebagai suatu nuzul (turun) yang tanpa perpindahan dan penurunan, atau Dia menginginkan turun malaikatNya dengan suruhanNya. Seperti diketahui, manhaj salaf dikenali dengan mentafwidkan makna dan menafikan kayf, bukan mengisbatkan makna dan mentafwidhkan kayf. Sebaliknya, istilah Khalaf digunakan untuk merujuk kepada generasi ulama selepas abad ketiga Hijrah -hasil mafhum muwafaqah- yang memperkenalkan dan mengambil pendekatan takwil untuk menafsirkan ayat mutashabihat secara majaz (kebanyakannya). Pendekatan ini cenderung dilakukan untuk menjaga akidah umat Islam daripada serangan ideologi luar seperti falsafah Yunani dan aliran Mu’tazilah dan Jahmiyyah, Mushabbihah dan Mujassimah yang menyelewengkan maksud/ murad makna wahyu. Pendekatan takwil ini dianggap memperkayakan lagi kepada pendekatan Salaf, dan bukan satu penolakan terhadapnya demi
mendepani cabaran semasa. Bahkan boleh dilihat juga tokoh Salaf yang mentakwilkan seperti Ibn ’Abbas dalam ayat ”Yawma yukshafu ’an Saq” yang mentakwilkan Saq dengan Shiddah, al-Bayhaqi yang mengatakan bahawa Imam Bukhari mentakwilkan ”al-Dahk” (ketawa) dalam hadith dengan makna ”al-Rahmah” dan lain-lain yang selari dengan kata Imam Shafi’i yang dinukilkan oleh Ibn Qudamah: ”Aku beriman dengan apa yang datang daripada Allah dengan murad kehendak Allah, dan dengan apa yang datang daripada Rasul dengan murad kehendak Rasul.”
DEFINISI SALAF DAN KHALAF MENURUT NARATIF SALAFI WAHABI
Dalam naratif Salafi Wahabi, istilah Salaf dirujuk secara eksklusif kepada pendekatan literal generasi awal, tanpa sebarang unsur rasionalisasi atau takwil. Mereka mendakwa bahawa hanya pendekatan ini yang benar-benar mencerminkan ajaran Islam murni. Gerakan ini mula dipelopori oleh Muhammad ibn Abd al-Wahhab (1703-1792M) pada abad ke-18, yang menolak sebarang bentuk takwil dan menyifatkan pendekatan Khalaf sebagai bidaah yang menyimpang daripada jalan Salaf. Pandangan ini dikuatkan oleh pengaruh Ibn Taymiyyah (661-728H), yang walaupun hidup lebih awal, kerap dirujuk oleh golongan Wahabi untuk mendukung metod literal mereka. Ibn Taymiyyah menolak takwil Khalaf dan menekankan perlunya kembali kepada metod literal yang menurutnya diwarisi daripada Salaf, seperti yang dihuraikan dalam karya beliau Dar’ Ta‘arud al-‘Aql wa al-Naql.
ANALISIS JUSTIFIKASI DEFINISI MENURUT ASYAIRAH-MATURIDIYAH DAN WAHABI-SALAFI
Syeikh al-Būṭī dalam karyanya al-Salafiyyah mengkritik pandangan sempit ini, dengan menyatakan bahawa pendekatan Salafi Wahabi gagal mencerminkan keluasan metod generasi Salaf yang sebenar. Menurut beliau, pendekatan literal Salaf tidak pernah dikemukakan sebagai metod eksklusif, sebaliknya hanyalah sebahagian daripada spektrum penafsiran akidah Islam. Naratif Salafi Wahabi, mencipta dikotomi palsu dengan melabelkan Ashā’irah-Māturīdiyyah, yang menggunakan takwil, sebagai Khalaf yang menyimpang dan sebenarnya ada dalam kalangan Salaf sendiri yang menggunakan takwil sebagai sebuah metod dalam penafsiran. Hal ini bertentangan dengan pandangan Ashā’irah-Māturīdiyyah yang melihat takwil oleh Khalaf sebagai usaha ulama untuk mempertahankan Islam daripada penyelewengan ideologi luar seperti Mu‘tazilah dan falsafah Yunani kerana menjawab tuntutan zaman.
Gerakan Salafi Wahabi juga disokong secara institusi oleh kerajaan Arab Saudi pada abad ke-20, yang memperkukuhkan dakwaan mereka bahawa hanya metod literal Salaf adalah benar. Naratif ini bukan sahaja memperkuatkan polarisasi dalam kalangan umat Islam, tetapi juga menafikan kesahihan usaha rasionalisasi Khalaf, yang sebenarnya telah memberikan sumbangan besar dalam mempertahankan akidah Islam melalui penggunaan logik dan rasional.
NARATIF GOLONGAN ANTI ILMU KALAM ASHA’IRAH
Terdapat golongan yang ingin mengembalikan umat kepada al-Quran dan al-Sunnah. Slogan ini dilihat benar daripada sudut lafaz namun dikehendaki daripada perkataan ini adalah kebatilan. Hal ini kerana golongan ini ingin meninggalkan turath para ulama dan sahabat yang menjadi tradisi ilmu sejak berkurun di dalam memahami al-Quran dan al-Sunnah. Terdapat golongan yang disebut dengan Khawarij. Mereka digelar dengan Khawarij kerana mereka telah keluar daripada pemerintahan Saidina `Ali ketika itu. Baginda Nabi telah memberi amaran kepada umatnya ketika berhadapan dengan seorang lelaki yang digelar dengan Zu Khuwaisirah. Lelaki tersebut telah memberi tunjuk ajar dengan nada persendaaan kepada Baginda Nabi di dalam peristiwa pembahagian harta rampasan perang
Antara slogan yang dilaungkan oleh kumpulan ini adalah kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah. Terdapat golongan yang hampir serupa dengan golongan ini namun mereka tidak termasuk di dalam kumpulan ini. Mereka dalam kalangan ulama hanabilah. Muhammad Abu Zuhrah telah menyebut di dalam kitabnya “golongan salafiah ini muncul pada kurun ke-4 dan mereka adalah dalam kalangan hanabilah. Mereka mendakwa bahawa pandangan mereka dinisbahkan kepada pandangan Imam Ahmad Bin Hanbal. Kemudian ideologi salafiah ini muncul kembali dengan sampul yang baru yang telah dihidupkan oleh Ibn Taimiah. Kemudian muncul pula pada kurun ke-12 yang telah dihidupkan oleh Muhammad Bin Abdul Wahhab.
Muhammad `Imarah telah menyebut di dalam kitabnya bahawa Imam Ahmad pernah berkata bahawa hadith dhaif lebih aku sukai daripada pendapat manusia. Sejarah mazhab Hanbali yang merupakan mazhab sandaran golongan salafiah. Antara pendekataan mazhab Hanbali meminggirkan akal seperti yang dipegang oleh Ibn Aqil, kemudian semakin berkembang tradisi keilmuannya sehingga dalam kalangan mereka yang menerima akal dan golongan ini dipelopori oleh Ibn Taimiyah.
Ibn Taimiah telah menulis di dalam beberapa kitabnya antaranya di dalam fatwa hamawiyah beliau telah mencela golongan salaf. Beliau mengatakan “kritikan terhadap golongan-golongan yang berusaha menggantikan atau menafikan ajaran asli yang dibawa oleh para salaf (generasi awal Islam yang terdiri daripada Nabi Muhammad SAW, para sahabat, dan tabi’in). Ibn Taimiyah menggariskan perbezaan antara “salaf” (pengikut awal) dan “khalaf” (pengikut kemudian), serta mencela perubahan-perubahan yang dibawa oleh golongan khalaf, yang dianggapnya sebagai penyimpangan dari petunjuk yang jelas dan murni yang ditinggalkan oleh para salaf.
Ibn Taimiyyah mengkritik golongan Khalaf yang berusaha menafsirkan al-Qur’an dan hadis secara kompleks, menggunakan pendekatan majaz (kiasan) dan menolak makna literal teksteks tersebut. Menurut Ibn Taimiyyah, mereka menafikan sifat-sifat Allah yang jelas dalam wahyu, menggantikannya dengan tafsiran akal dan logik yang dipengaruhi oleh falsafah Yunani dan ilmu kalam, yang dianggapnya sesat. Dia juga mengkritik pandangan Khalaf yang menyatakan para sahabat tidak memahami sifat-sifat Allah secara mendalam, sedangkan Ibn Taimiyyah menegaskan bahawa sahabat dengan pemahaman mereka yang murni lebih berhak untuk memahami ketuhanan. Ibn Taimiyyah memperingatkan bahawa usaha golongan Khalaf dalam ilmu kalam, yang menekankan akal, sering berakhir dalam keraguan dan kesesatan, dan menegaskan bahawa ajaran salaf sudah cukup untuk memahami sifat-sifat Allah. Kesimpulannya, Ibn Taimiyyah berpendapat bahawa mengikuti metodologi salaf adalah jalan
yang benar, sedangkan golongan Khalaf yang mengutamakan akal dan falsafah berada dalam kesesatan.
Tuntasnya, Pandangan Ibn Taimiyah ini merupakan respon kepada pandangan mereka yang memburukkan golongan salaf. Jika diteliti, golongan yang memburukkan golongan salaf ini bukanlah dalam kalangan ulama ahli sunnah akan tetapi golongan muktazilah dan seangkatan dengannya. Jawapan Ibn Taimiah ini sebenarnya telah membina naratif yang buruk kepada manhaj khalaf itu sendiri dan sebenarnya pandangan tersebut tidak harus dihukum secara umum. Seharusnya Ibn Taimiah lebih halus dalam merespon dan menjawab golongan yang memburukkan manhaj khalaf serta jawapan tersebut mestilah lebih berfokus kepada khalaf yang sesat.
Ibn Rejab pernah menulis mengenai perbezaan antara pengikut Salaf dan Khalaf, serta pendapat beliau tentang pentingnya kesederhanaan dalam mempelajari ilmu. Ibn Rejab menyebutkan hadith-hadith yang menunjukkan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat mengajar agar tidak terlalu mendalami bidang ilmu yang tidak mendatangkan manfaat praktikal. Contohnya, ilmu nasab, bahasa Arab, dan ilmu bintang yang hanya berguna untuk petunjuk arah. Walaupun terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai hukum mempelajari ilmu bintang, terutama yang berkaitan dengan ramalan atau sihir, kebanyakan ulama menegaskan agar ilmu yang dipelajari berfokus pada manfaat praktikal dalam kehidupan dan agama.
Ibn Rejab menekankan bahawa golongan Khalaf yang datang selepas Salaf telah memperincikan bidang ilmu secara berlebihan, bahkan mengembangkan mazhab dan bidaah baru dalam akidah, termasuk dalam masalah nama-nama, sifat-sifat Allah, takdir, dan aspek akidah lain. Golongan ini dianggap tidak mengikuti jalan yang sama dengan Salaf, yang berpegang teguh pada nas-nas al-Qur’an dan hadis tanpa menambah atau mengubahnya. Penulisan ini juga menegaskan bahawa mereka yang mengikuti cara Salaf, walaupun hidup di zaman kini, tetap berada dalam jalan yang benar, sementara golongan Khalaf tergolong dalam golongan ahli bidaah yang menyimpang dari ajaran Salaf.
Pandangan Ibn Rejab ini yang cenderung untuk mengatakan bahawa seseorang itu tidak perlu belajar secara mendalam di dalam kesemua bidang ilmu berdasarkan kepada riwayat hadis dan beberapa athar bukanlah merujuk kepada golongan ulama yang mendalami sesebuah ilmu tertentu. Namun begitu, pandangan Ibn Rejab ini telah memberi konotasi yang buruk kepada golongan mutakallimin dan ulama-ulama yang lain. Hal ini kerana mereka telah mendalami sesuatu ilmu dengan sangat mendalam. Jika dilihat kepada makna ilmu dan fiqh sendiri telah merujuk kepada suatu ilmu yang mendalam. Riwayat hadith yang memerintahkan untuk tidak mendalam dalam mengkaji ilmu adalah ilmu yang melanggar had yang boleh merosakkan asas-asas fiqh dan akidah seperti mempelajari ilmu fiqh sehingga melihat fiqh sebagai hukum yang boleh dipilih dan dipertikai kerana asas kepada ilmu fiqh adalah zhonni. Hal ini boleh membawa kepada bermudah-mudah dalam agama.
Ibn Qudamah menegaskan di dalam tulisannya bahawa walaupun kedua-dua golongan sepakat dalam pengakuan terhadap ayat-ayat al-Qur’an mengenai sifat-sifat Allah, terdapat perbezaan dalam cara mereka mengamalkan ajaran tersebut. Pengikut Salaf menerima dan mengamalkan ayat-ayat tersebut tanpa menafsirkannya secara berlebihan atau mengubah makna asalnya, beriman kepada lafaz-lafaz ayat dan hadis sebagaimana adanya.
Ibn Qudamah juga memetik kata-kata Abdullah bin Mas’ud dan Umar bin Abdul Aziz yang mengingatkan umat Islam untuk mengikuti petunjuk para sahabat dan tidak mencipta bid’ah atau menambah perkara baru dalam agama. Imam Abu Umar al-Awza’i turut menekankan agar umat Islam tetap berpegang teguh kepada ajaran Salaf walaupun berhadapan dengan penentangan. Dalam sebuah dialog, Muhammad bin Abdul Rahman al-Admari menegaskan bahawa jika perkara baru dalam agama tidak diketahui oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat, maka tidak seharusnya diikuti oleh generasi selepas mereka.
Pandangan Ibn Qudamah yang cenderung untuk mengekalkan nas-nas yang tulen sebenarnya adalah salah satu manhaj yang dilakar oleh ulama hanabilah. Mereka sangat mengikat diri mereka dengan lafaz-lafaz sesuatu hadis dan al-Quran. Pendapat Ibn Mas`ud dan Umar Bin Abdul Aziz sebenarnya tidak merujuk kepada mereka yang mengkaji sesuatu ilmu dengan perinsip dan tatacara yang digariskan oleh para ulama yang muktabar. Pandangan sahabat dan Imam tersebut merujuk kepada perinsip asas, kaedah-kaedah umum yang perlu dipegang oleh semua cendekiawan di dalam memahami nas syariah supaya tidak tersasar seperti golongan muktazilah, mujassimah, syi`ah, khawarij dan sekutu dengannya. Saranan untuk memegang teguh dengan ajaran salaf merupakan seruan yang benar dan ia tidak bertentangan dengan pembawakan ulama khalaf yang bermanhaj yang benar.
PENUTUP
Setelah diteliti kepada beberapa rujukan ulama, didapati bahawa pemikir utama yang telah membina naratif buruk dan negatif terhadap golongan khalaf adalah Ibn Taimiah dan beberapa ulama selepasnya seperti Ibn Rejab. Ibn Qudamah hanya cenderung kepada pendekatan yang mengekalkan ketulinan nas-nas agama tanpa mengubah sedikit.
Perbincangan mengenai perbezaan antara golongan salaf dan khalaf menyoroti pandangan ulama terhadap pendekatan mereka dalam memahami al-Quran dan Hadith. Golongan salaf cenderung untuk tidak mentafsirkan makna ayat-ayat tertentu secara terperinci, tetapi menyerahkan pengetahuan kepada Allah, sementara golongan khalaf cenderung mentakwilkan ayat-ayat tersebut untuk mengelakkan kesalahpahaman. Walaupun terdapat perbezaan dalam pendekatan, para ulama awal seperti Imam al-Nawawi, Ibn Qudamah, dan Ibn Hajar al- `Asqalani tidak mencela golongan khalaf, malah mereka mengakui kesepakatan dalam menerima dan memahami sifat-sifat Allah. Sesetengah ulama kemudiannya, seperti Ibn Battah, menyebut golongan khalaf dengan merujuk kepada mereka yang sesat pada zamannya. Kesimpulannya, perbezaan manhaj antara salaf dan khalaf tidak membawa kepada celaan, sebaliknya lebih kepada perbezaan pendekatan ilmiah dalam memahami teks-teks agama.
Golongan khalaf yang muncul selepas zaman para sahabat dan salaf, menurut Ibn Taimiah cuba membawa perubahan dalam pemahaman agama, dengan menafsirkan al-Quran dan hadis berdasarkan akal dan logik, bukannya mengikuti apa yang telah diterima oleh generasi awal Islam. Ibn Taimiyah mengkritik golongan khalaf kerana menafikan sifat-sifat Allah yang terkandung dalam wahyu dan menggantikannya dengan tafsiran akal, yang dianggap sebagai penyimpangan. Sebaliknya, para salaf menerima teks-teks agama tanpa menafsirkan secara berlebihan. Ibn Qudamah menegaskan bahawa ajaran yang benar adalah mengikuti petunjuk Nabi dan sahabat tanpa menambah atau mengubahnya, kerana mereka sudah cukup
memberikan petunjuk yang jelas.Perkataan yang dibawa oleh Imam Ibn Qudamah sebenarnya tidak menyanggahi perinsip dan manhaj khalaf.
Istilah Salaf dan Khalaf mencerminkan perkembangan metodologi dalam sejarah Islam untuk menjawab cabaran zaman, bukannya permisahan mutlak. Dalam naratif ASWJ, Salaf menyediakan asas keimanan melalui tafwidh dan asas-asas takwil, sementara Khalaf melengkapinya, memperkaya dengan rasionalisasi melalui takwil bagi mempertahankan akidah daripada serangan falsafah dan ideologi luar (aghlabiyyah). Sebaliknya, Salafi Wahabi sering menyempitkan istilah ini, mencipta dikotomi yang tidak berasas dengan melabelkan pendekatan Khalaf sebagai menyimpang daripada jalan Salaf. Modenis Islam seperti Muhammad Abduh dan Rashid Rida berusaha menghidupkan perbahasan ini dalam konteks moden, walaupun kadangkala membawa interpretasi yang berbeza. Syeikh al-Būṭī menegaskan bahawa Salaf dan Khalaf saling melengkapi, dengan pendekatan Khalaf dianggap sebagai tajdid intelektual yang penting untuk mempertahankan ajaran Islam yang murni dalam menghadapi cabaran setiap zaman.
Tazkirah Jumaat IIDM-MUIP
Bertarikh 25 April 2025 / 26 Syawal 1446
RUJUKAN
Muhammad Abu Zuhrah, “Tarikh al-Mazahib al-Islamiah fi Al-Siasah Wa al-Aqaid Wa Tarikh al-Mazahib al-Fiqhiyyah”, Dar al-Fikr al-`Arabi.
Kitab: Al-Fatwa al-Hamawiyyah al-Kubra, Mu’allif: Taqi al-Din Abu al-‘Abbas Ahmad bin Abdul-Halim bin Abdul-Salam bin Abdullah bin Abi al-Qasim bin Muhammad Ibn Taymiyyah al-Harrani al-Hanbali al-Dimashqi (w. 728H), Muhayyiq: Dr. Hamad bin AbdulMuhsin al-Tuwaijri, Nashir: Dar al-Sumay’i – Riyadh, Taba’ah: Taba’ah al-Thaniyah 1425H / 2004M. 201-188.
Abu al-Fida’ Ismail bin Umar bin Kathir, “al-Bidayah wa al-Nihayah”, (9:159)
Ahmad bin Hanbal, “al-Musnad Imam Ahmad Bin Hanbal”, Hadith Mu`awiyah Bin Sufian, No. 16937. (28:135)
Abd al-Qahir al-Baghdadi, “Al-Farqu Baina al-Firaq”, (1:4)
Muslim Bin Hajjaj al-Qushairi, “Sahih Muslim”, no. 2533. (4: 1962)
Abdurrahim bin al-Husain al-`Iraqi, “Tarh al-Tasrib fi Sharh al-Taqrib”, (3:112)
Muhammad Bin Jarir al-Tabari “Jami’ al-Bayan `An Takwil Ay al-Quran”, 18: 303.
Yahya Bin Sharaf al-Nawawi, “Al-Minhaj Sharh Sahih Muslim bin Hajjaj”, (3: 19) Abdullah Bin Ahmad Bin Muhammad Ibn Qudamah, “ Lum`ah al-I’tiqad”, (1:7)
Ahmad Bin Ali Bin Hajar al-`Asqalani, “Fath al-Bari Bi Sharh al-Bukhari”, (3:30) Badruddin Mahmur Bin Ahmad al-`Aini, “Umdah al-Qari Sharh Sahih al-Bukhari”, (19: 257) Ali Bin Muhammad Nuruddin al-Mulla al-Harawi al-Qari, “Mirqat al-Mafatih Sharh Misykat al-Masabih”, (1:162)
`Ali Juma`ah, “al-Bayan Lima Yushgil al-Azhan”, (1: 141)
Abu Ja`afar Muhammad Bin Jarir al-Tabari, “Jami’ al-Bayan `An Takwil Ai Al-Quran”, (21:545).
Abu `Amr Bin `Abd al-Bar, “al-Tamhid”, (5:155)
Abu al-Fida’ Isma`il Bin Umar Bin Kathir, “al-Bidayah wa al-Nihayah”, (14: 386) Abu Hasan `Ali Bin Ismail al-`Asy`ari, “Risalah Ila Ahli Sagher”, (1: 108)
Ibn Battah, “al-Ibanah al-Kubra”, (1:379)
Ibn Qayyim, “Mukhtasar al-Sawa`iq al-Mursalah `Ala al-Jahmiah Wa al-Mu`attilah”, (1:561) `Abd al-Qahir al-Baghdadi, “al-Farq Baina al-Firaq Wa Bayan al-Firqah al-Najiah”, (1: 54,55)
Muslim Bin Hajjaj, “Sahih Muslim”, no. 1066, (3:116)
Muhammad Bin Ismail al-Bukhari, “sahih al-Bukhari”, no. 3414, (3:1321)
Muhammad Abu Zuhrah, “Tarikh al-Mazahib al-Islamiah fi Al-Siasah Wa al-Aqaid Wa Tarikh al-Mazahib al-Fiqhiyyah”, Dar al-Fikr al-`Arabi.
Muhammad Imarah, “al-Salaf Wa al-Salafiah”.
Kitab: Al-Fatwa al-Hamawiyyah al-Kubra, Mu’allif: Taqi al-Din Abu al-‘Abbas Ahmad bin Abdul-Halim bin Abdul-Salam bin Abdullah bin Abi al-Qasim bin Muhammad Ibn Taymiyyah al-Harrani al-Hanbali al-Dimashqi (w. 728H), Muhaqqiq: Dr. Hamad bin AbdulMuhsin al-Tuwaijri, Nashir: Dar al-Sumay’i – Riyadh, Taba’ah: Taba’ah al-Thaniyah 1425H / 2004M. 201-188.
Ibn Rejab al-Hanbali, “Fadhl Ilmi al-Salaf `Ala `Ilmi al-Khalaf”.
Al-Kitab: Lum’ah al-I’tiqad, Al-Mu’allif: Abu Muhammad Muwafaq al-Din Abdullah bin Ahmad bin Muhammad bin Qudamah al-Jama’ili al-Maqdisi thumma al-Dimashqi alHanbali, al-Shahir bi Ibn Qudamah al-Maqdisi (w. 620H). Al-Nashir: Wizarat al-Shu’un alIslamiyyah wal-Awqaf wal-Da’wah wal-Irshad – Al-Mamlakah al-‘Arabiyyah al-Su’udiyyah, Al-Taba’ah: Al-Thaniyyah, 1420H – 2000M.






