Skip to main content
Author

Oleh: Ahmad Luqman bin Zulkefli Pegawai Pendidikan Turath Institut Ilmu Darul Makmur

Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang

Setiap 7 Mei, Negeri Pahang Darul Makmur memperingati Hari Hol sebagai cuti umum negeri. Namun, masih ramai dalam kalangan masyarakat awam belum memahami maksud dan signifikan sejarah serta rohani di sebalik sambutan ini. Dalam pengertian bahasa, Kamus Dewan mendefinisikan “hol” sebagai kenduri arwah yang diadakan setahun sekali, lazimnya bagi memperingati orang besar atau tokoh tertentu. Namun, dalam konteks sejarah Pahang, Hari Hol bukan sekadar majlis peringatan, malah merupakan cerminan hubungan yang kukuh antara institusi kesultanan dan agama, adat dan jati diri Melayu.

 

Hari Hol Pahang memperingati kemangkatan Sultan Pahang keempat, al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin al-Mu’adzam Shah yang mangkat pada 7 Mei 1974. Baginda dikenang bukan hanya sebagai pemerintah yang adil dan berjiwa rakyat, tetapi juga sebagai Raja yang sangat cakna terhadap urusan agama Islam. Penubuhan serta pemerkasaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang pada tahun 1950, serta penguatkuasaan kembali jawatan Mufti kepada Kadi Besar dan penubuhan institusi pendidikan Islam seperti Kuliah alLughah Waddin al-Sultan Abu Bakar pada tahun 1941, menjadi bukti bahawa pemerintahan

 

Baginda berteraskan kepada konsep tauhid yang menjadikan agama sebagai teras segala urus tadbir.

 

Dalam kerangka Islam, penguasa ialah “Waliy al-Amr” yang wajib menjamin terlaksananya perintah Allah di muka bumi. Maka dalam konteks Pahang, Sultan sebagai “Ulil Amri” bertanggungjawab memperkukuh pemahaman tauhid umat, menjadikan agama Islam sebagai rukun kenegaraan dan mendidik rakyat dengan dasar yang menjurus kepada pengesaan Allah SWT. Inilah antara warisan yang diwarisi melalui Hari Hol – peringatan terhadap pemimpin yang memartabatkan Islam sebagai asas pemerintahan.

 

Frasa Melayu klasik: “Adat bersendikan syarak, syarak bersendikan Kitabullah” sering menjadi tonggak peradaban bangsa. Namun, ia bukan retorik semata-mata. Pada zaman al-Marhum Sultan Abu Bakar, terdapat usaha meninggalkan adat-adat yang bercanggah dengan prinsip syariat – antaranya adat yang bersifat khurafat dan unsur animisme dalam masyarakat luar bandar, serta beberapa bentuk upacara keramaian yang berlebihan yang boleh membawa kepada pembaziran dan kelalaian.

 

Sebaliknya, Baginda memartabatkan adat sebagai wadah pengislahan, dengan memastikan bahawa adat hanya diberi tempat selagi ia tidak bercanggah dengan syariat. Di sinilah peranan para ulama ditinggikan dalam struktur negeri. Pemikiran fiqh yang bersifat wasatiyyah dan ta’dil membolehkan ulama menjadi penimbang tara antara syariat dan adat, agar adat itu kekal hidup tetapi tertakluk di bawah neraca al-Qur’an, sunnah, ijma’ dan qiyas.

 

Dalam konteks fiqh, ini disebut sebagai tanzīl al-ahkām ‘ala al-wāqi‘, iaitu menurunkan hukum ke atas realiti setempat – termasuklah adat. Fiqh Pahang berkembang dalam acuan Syafi’iyyah, namun bersifat ijtihadiyyah dalam menyesuaikan pendekatan dakwah dan hukum dengan realiti setempat. Dengan itu, adat diselarikan dengan asas islam dan tidak ditinggalkan secara mutlak, tetapi dimurnikan.

 

Pemerintahan al-Marhum Sultan Abu Bakar juga menyaksikan kelahiran ramai pendekar dan pejuang tanah air dari Pahang yang menjadi tokoh penting dalam perjuangan kemerdekaan dan mempertahan tanah air – antaranya Mat Kilau, Tok Gajah dan lain-lain. Namun jati diri pahlawan Pahang ini bukan sekadar pada keberanian, tetapi dibentuk dengan nilai adab, amanah, dan kehalusan budi yang datang dari jalur pendidikan tasawuf.

 

Pendidikan Islam ketika itu, yang merangkumi aspek syariat dan hakikat, menjadikan tasawuf sebagai rukun dalam pembentukan akhlak dan peribadi. Maka, walaupun rakyat Pahang terkenal dengan ketegasan dan semangat perjuangan, mereka tetap dihiasi dengan kehalusan budi, lembut tutur kata, serta ketundukan kepada Allah dan cinta kepada Rasul.

 

Inilah yang menjadi warisan etika Melayu Muslim – yang hingga hari ini diakui oleh pelancong dan diplomat luar negara bahawa masyarakat Melayu Pahang, khususnya, dikenali dengan “soft-spoken, kind-hearted and generous”. Semua ini berpunca daripada struktur pentadbiran Islam berasaskan tasawuf dan adab, yang diwariskan melalui pemerintahan rajaraja Melayu seperti al-Marhum Sultan Abu Bakar.

 

Hari Hol bukan sekadar hari cuti umum, bukan hanya kenduri arwah. Ia adalah hari mengingati ketinggian nilai kepemimpinan berteraskan tauhid, pemerkasaan institusi agama, pembersihan adat daripada elemen syirik dan lagha, serta peneguhan jati diri bangsa melalui paduan fiqh dan tasawuf. Institusi kesultanan dalam hal ini bukan hanya berperanan sebagai simbol politik, tetapi autoriti rohani dan keilmuan yang menjadi benteng aqidah umat. Semoga Hari Hol menjadi medan refleksi dan syukur, agar kita terus menyambung wasiat-wasiat tak ternilai dari Raja-Raja Melayu yang terdahulu, demi mendaulatkan Islam, memartabatkan ilmu dan memelihara identiti bangsa dalam acuan syariatullah.

 

Ahmad Luqman bin Zulkefli merupakan lulusan ijazah Universiti al-Azhar dalam bidang Usuluddin (Akidah & Falsafah) dan sarjana Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam Pemikiran Islam Kontemporari.

 

Tazkirah Jumaat IIDM-MUIP bertarikh 16 Mei 2025 / 18 Zulkaedah 1446