
Aplikasi & Penzahiran Tauhid dalam Kehidupan Bertanah Air (Tadbir Urus/Governance, Sosial/ Social, Kelestarian Alam/Environmental – ESG/SDG)
1. Tauhid jika ditinjau pada peringkat peradaban tidak hanya sekadar kepercayaan dan keimanan, tetapi merupakan asas yang membentuk cara manusia memahami realiti, ilmu, nilai, kuasa, masyarakat dan alam. Dalam kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah Asya’irah dan Maturidiah, tauhid terkait rapat dengan kenabian/nubuwwah, syariah, akhlak dan kehidupan manusia secara menyeluruh. Oleh itu, pembinaan watan yang benar tidak boleh dibina di atas sentimen kenegaraan semata-mata, tetapi mesti bertolak daripada pandangan alam tauhidi.
2. Ilmu tauhid Asya’irah dan Maturidiah ini tidak berhenti pada hafalan pegangan asas sahaja, bahkan berkembang kepada pemahaman yang dibina melalui dalil aqli dan naqli serta keupayaan menolak kekeliruan dan keraguan. Dalam susunan ilmu, perbincangan tauhid berkait dengan logik, epistemologi, metafizik, aqidah, kenabian, akhlak dan kepimpinan. Ini menunjukkan bahawa tauhid ialah asas pandangan alam yang menyusun hubungan antara Allah SWT, manusia dan alam.
3. Kefahaman dan penghayatan kepada Sifat 50 ( 41 sifat Ketuhanan dan 9 sifat Kerasulan (Sifat Rasul) memberi kesan langsung bahawa hanya Allah SWT memiliki kedaulatan mutlak, kesempurnaan mutlak, manakala manusia dan alam seluruhnya ialah makhluk yang tertakluk kepada-Nya.
4. Apabila Allah SWT diakui sebagai al-Khaliq dan manusia sebagai makhluk, maka lahirlah satu susunan hidup yang betul. Dalam naratif besar Fiqh al-Watan, hubungan utama yang dibina ialah hubungan antara Allah SWT al-Khaliq dengan insan dan alam, lalu daripadanya berkembang unsur kedaulatan, kerukunan dan kelestarian. Di sini terlihat bahawa watan bukan ruang kosong (vakum), tetapi medan amanah bagi manusia sebagai Hamba Allah SWT dan Khalifah Allah SWT.
5. Atas asas itu, Fiqh al-Watan tidak hanya membahaskan tentang tanah air dalam erti geografi dan sosial semata-mata. Fiqh Al-Watan membaca, memahami dan menghayati makna "khalifah" dalam Surah Al-Baqarah: 30
{ وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَـٰۤىِٕكَةِ إِنِّی جَاعِلࣱ فِی ٱلۡأَرۡضِ خَلِیفَةࣰۖ قَالُوۤا۟ أَتَجۡعَلُ فِیهَا مَن یُفۡسِدُ فِیهَا وَیَسۡفِكُ ٱلدِّمَاۤءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّیۤ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ }
Maksud: Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".
Dengan penghayatan tatacara kehidupan bertanah air yang berkait dengan siyasah syar'iyyah, Islam, iman dan ihsan.
Maknanya, kehidupan berwatan mestilah lahir daripada agama, bukan terpisah daripadanya.
6. Penekanan paling penting tauhid dalam Fiqh al-Watan ialah kefahaman berkaitan “kedaulatan”. Jika Allah SWT ialah pemilik kuasa tertinggi, maka kuasa manusia mesti difahami sebagai amanah, bukan milik mutlak. Oleh sebab itu, kerangka watan menekankan peranan kesultanan, siyasah syar'iyyah dan daulah Islam yang berpaksikan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah.
7. Hal ini diperkukuh oleh penegasan bahawa dasar akidah negeri ialah Ahli Sunnah Wal Jamaah beraliran al-Asyairah dan al-Maturidiyyah, fekah mazhab Syafie dan tasawuf Imam al-Ghazali. Ini bermakna kedaulatan dalam watan tidak diasaskan pada kuasa politik semata-mata, tetapi pada kesatuan antara akidah, syariah dan akhlak.
8. Tauhid juga menjadi asas kerukunan. Orang yang benar tauhidnya sedar bahawa dirinya hanyalah makhluk, maka dia tidak mudah menjadi sombong, melampau atau merosakkan tertib masyarakat. Dalam kerangka watan, adat resam diletakkan sebagai salah satu unsur penting bagi memelihara kerukunan. Ini menunjukkan bahawa tauhid tidak memusnahkan budaya, tetapi menertibkan budaya supaya berkembang dalam batas yang benar.
9. Krisis kekeliruan pemikiran, krisis kekeliruan ilmu memperlihatkan bagaimana kekelirruan naratif sejarah, pemerintahan dan tradisi ilmu boleh merosakkan kefahaman masyarakat. Maka tauhid yang benar berfungsi memulihkan neraca fikir umat supaya kehidupan bersama dibina atas manhaj yang jelas, bukan slogan atau kekeliruan.
10. Hubungan antara tauhid dan kelestarian alam sekitar sangat jelas. Apabila alam difahami sebagai ciptaan Allah SWT, maka alam bukan objek eksploitasi tanpa batas, tetapi amanah Ilahi. Dalam Fiqh al-Watan, alam sekitar diletakkan secara langsung di bawah prinsip kelestarian. Malah dinyatakan bahawa bukit, pantai, haiwan dan seluruh alam sekitar ialah amanah Ilahi yang dipertanggungjawabkan kepada manusia sebagai khalifah. Ini menunjukkan bahawa penjagaan alam bukan isu sampingan. Ia adalah implikasi langsung daripada tauhid. Orang yang mentauhidkan Allah SWT akan melihat pemeliharaan alam sebagai sebahagian daripada tanggungjawab ubudiyyah dan kekhalifahan.
11. Dalam kerangka watan, sumber ilmu fardhu ‘ain dihuraikan melalui Hadith Jibril yang merangkumi Islam, iman dan ihsan, dan daripadanya disusun tauhid, fekah, tasawuf serta Fiqh al-Watan. Ini sangat penting kerana ia menunjukkan bahawa kehidupan bertanah air tidak boleh dipisahkan daripada struktur agama yang menyeluruh.
12. Secara ringkas, dapat dirumuskan bahawa tauhid membentuk pandangan alam, lalu pandangan alam itu menstrukturkan kehidupan watan. Daripada mengenal dan mengimani Allah SWT sebagai al-Khaliq, lahirlah kefahaman tentang manusia sebagai hamba dan khalifah; daripada kefahaman itu lahir keperluan menjaga kedaulatan, memelihara kerukunan, dan mempertahankan kelestarian. Dengan itu, Fiqh al-Watan bukan sekadar kerangka sosial atau politik, tetapi penzahiran tauhid dalam sejarah, masyarakat dan tanah air. Tanpa tauhid, watan kehilangan roh; dan tanpa penghayatan watan, tauhid gagal diterjemahkan secara menyeluruh dalam kehidupan manusia.
Penulisan Oleh:- Fahmi bin Zahari
Peg.Hal Ehwal Islam (Pembangunan Turath)
Institut Ilmu Darul Makmur
Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang
#FiqhAlWatan
#KerajaanKesultanan
#DaulahIslam
#PeradabanPahang
#556TahunKesultanan
#PeradabanIslamPahang
#KerajaanNegeriPahang





