Skip to main content

KECELARUAN PEMIKIRAN AKIBAT GAGAL MEMBEZAKAN ANTARA USUL DAN FURU‘

Setiap perbincangan ilmu, sama ada yang bersifat teori mahupun praktikal, mempunyai tingkatan, martabat dan kedudukannya yang tersendiri. Hal ini kerana ilmu itu sendiri mempunyai peraturan yang bersifat tabi‘i dan semula jadi, yang tidak dapat dipisahkan daripada hakikat ilmu. Sesuatu ilmu secara tidak langsung mengandungi unsur qiyas yang tersirat, walaupun ia belum distrukturkan dalam bentuk disiplin ilmu yang tersusun.

Demikianlah apa yang telah dikembangkan oleh para ilmuwan daripada kalangan sahabat, tabi‘in dan tabi‘ tabi‘in. Mereka bukan mencipta agama yang baharu, bahkan memperkukuhkan apa yang telah sedia ada di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Mereka juga memperkayakan perbincangan dengan isu-isu baharu yang tetap terikat dengan disiplin dan kaedah asas sesuatu ilmu. Inilah yang memelihara ketulinan agama, dengan mengekalkan perkara usul di samping membenarkan perkembangan dalam ruang lingkup furu‘.

Perkara furu‘ berfungsi memperkayakan dan mengembangkan pelbagai perspektif yang lahir daripada usul tersebut. Bahkan, setiap perspektif yang berkembang itu akan melahirkan pula usul-usul kecil yang lain. Namun usul kecil ini sudah tentu tidak berada pada tingkatan yang sama dengan usul utama yang menjadi teras kepada pembinaan sesuatu ilmu.

Manusia merupakan subjek utama yang menjadi tempat terletaknya kefahaman ini, kerana kepada manusialah tujuan asal ilmu diasaskan. Sekiranya tidak dibezakan antara usul dan furu‘, maka akan berlaku kekeliruan seperti mengusulkan semua perkara, memfuru‘kan semua perkara, atau meletakkan perkara furu‘ pada kedudukan usul dan perkara usul pada kedudukan furu‘. Kekeliruan ini akan merosakkan keseluruhan disiplin ilmu, bahkan boleh membawa sama ada kepada sikap ekstremisme ataupun kepada liberalisme yang melampau.

Perbezaan antara usul dan furu‘ dapat dikenali melalui hakikat sesuatu ilmu itu sendiri. Ia juga dapat difahami melalui penzahiran syariat Islam yang bersumber daripada al-Quran dan al-Sunnah. Di dalam al-Quran, perbahasan syirik diletakkan dalam ruang lingkup aqidah dan usul aqidah, khususnya apabila berkait dengan pengingkaran terhadap hari akhirat, hari kebangkitan, keesaan Allah dan kenabian. Adapun perbahasan mengenai sifat khabariyyah yang pada zahirnya memberi gambaran persamaan dengan makhluk tetapi dalam masa yang sama menafikan keserupaan dengan makhluk tanpa mentafwidhkan makna, maka ia tergolong dalam kategori furu‘ dalam aqidah.

Perbezaan yang berlaku dalam perkara furu‘ aqidah tidak semestinya menjadikan seseorang itu kafir, namun boleh menjadikannya sesat dan berdosa, seperti dakwaan penafian sifat ma‘ani oleh golongan Muktazilah atau dakwaan kafirnya pelaku dosa besar menurut golongan Khawarij. Justeru, pembezaan antara usul dan furu‘ mempunyai kesan yang besar sehingga mampu membezakan antara seseorang itu dihukum musyrik ataupun fasiq.
Syariat Islam tidak meletakkan semua bidang perbahasan pada kedudukan yang sama. Oleh sebab itu Baginda ﷺ bersabda. Daripada Abu ‘Abd al-Rahman, Abdullah bin Umar bin al-Khattab رضي الله عنهما, beliau berkata: Aku mendengar Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

“Islam dibina atas lima perkara: penyaksian bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu Rasul Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan haji ke Baitullah, dan berpuasa pada bulan Ramadan.”
[Riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim]

Hadith ini menunjukkan adanya tingkatan dan perbezaan antara usul dan furu‘. Begitu juga hadith Jibril yang dikenali sebagai Umm al-Sunnah, yang merumuskan asas-asas besar syariat Islam secara menyeluruh.

Demikian juga dalam ilmu fiqh, terdapat pembahagian antara usul dan furu‘ walaupun ia dianggap sebagai ilmu amali. Antaranya ialah kefardhuan solat lima waktu, puasa Ramadan, kewajipan zakat bagi yang mampu, pengharaman zina, pengharaman riba dan pelbagai lagi hukum syarak. Semua perkara ini perlu difahami menurut konteks dan kedudukannya yang sebenar.

Sebagai contoh, kefardhuan solat tidak bermaksud semua orang wajib melaksanakannya pada awal waktu, kerana pelaksanaan solat mempunyai pelbagai perspektif kefardhuannya. Begitu juga seseorang yang sengaja meninggalkan solat tidak semestinya dianggap menolak dan mengingkari kefardhuan solat tersebut.
Demikian juga dalam isu pengharaman zina. Larangan zina perlu difahami menurut istilah syarak, bukan semata-mata menurut makna bahasa. Bahkan larangan tersebut datang dalam bentuk larangan mendekati zina. Oleh itu, segala jalan yang secara jelas dan menurut kebiasaan adat membawa kepada zina turut diharamkan.

Begitu juga dalam pengharaman riba. Riba perlu difahami menurut istilah syarak, bukan sekadar menurut makna bahasa yang bererti berkembang atau bertambah. Perlu diteliti bentuk riba yang diharamkan syarak. Bukan semua transaksi yang mempunyai pertambahan daripada harga modal dianggap riba, dan tidak juga bermaksud bahawa setiap individu yang terlibat dengan riba itu menghalalkan riba. Semua perkara ini perlu difahami dengan jelas agar justifikasi syarak tidak disalahertikan oleh masyarakat sehingga meletakkan semua peringkat hukum pada dataran yang sama.

Begitu juga kesilapan meletakkan isu tawassul dan istighasah pada kedudukan usul sehingga menghukum perbuatan tersebut sebagai syirik, sedangkan perkara itu perlu difahami menurut perspektif dan perbahasannya yang sebenar. Demikian juga dalam isu bid‘ah. Menjadikan setiap pertambahan dalam amalan sunat sebagai bid‘ah secara mutlak memerlukan penelitian terhadap hakikat dan perspektif bid‘ah itu sendiri. Begitu juga menjadikan amalan sedekah sunat sebagai asas utama penerimaan syarak adalah suatu kekeliruan. Oleh sebab itu Baginda ﷺ bersabda. Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, beliau berkata: Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

“Sesungguhnya Allah berfirman: …Tidaklah hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai daripada apa yang telah Aku fardukan ke atasnya. Dan sentiasalah hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan-amalan sunat sehingga Aku mencintainya…”

Perkara fardhu dan sunat bukan berada pada tingkatan yang sama. Kegagalan meletakkan perkara usul sebagai usul dan perkara furu‘ sebagai furu‘ akan meletakkan seseorang dalam bahaya serta mudah dikelirukan oleh ideologi dan fahaman yang salah.
Masyarakat juga mudah mendakwa kesalahan pemerintah dan sultan tanpa membezakan antara kesalahan individu dengan kesalahan yang melibatkan kemaslahatan awam. Bahkan ada yang meletakkan kesalahan yang tidak melibatkan pencabulan asas siyasah syar‘iyyah pada ukuran yang sama sehingga membawa kepada penafian total terhadap hak ketaatan rakyat kepada pemerintah. Lalu muncul dakwaan bahawa pemerintah wajib dijatuhkan.

Padahal isu kenegaraan merupakan perkara yang sangat diberi perhatian oleh para ulama. Tidak pernah berlaku dalam manhaj ulama Ahl al-Sunnah bahawa mereka mengajak masyarakat menjatuhkan pemerintah Muslim yang sah secara mutlak. Hal ini kerana para ulama memahami perbezaan antara usul dan furu‘. Oleh sebab itu para ulama banyak mengarang karya mengenai kepentingan mentaati pemerintah.

Di dalam Safwah al-Zubad disebut:
“Dan tidak diharuskan pada selain kekufuran yang nyata untuk kita keluar menentang pemerintah.”

Maksudnya: haram keluar menentang pemerintah dan memeranginya menurut ijmak kaum Muslimin kerana natijah yang akan timbul daripada perbuatan tersebut berupa fitnah, pertumpahan darah dan kerosakan hubungan sesama manusia. Bahkan kerosakan akibat menjatuhkan pemerintah lebih besar daripada kerosakan membiarkannya terus memerintah.
Hal ini juga kerana umat Islam berada di bawah kewajipan taat kepada pemerintah dalam perkara suruhan dan larangannya selama mana ia tidak bercanggah dengan hukum syarak, walaupun pemerintah itu zalim.

Imam al-Nawawi berkata dalam syarah beliau terhadap Sahih Muslim:
“Sesungguhnya keluar menentang mereka dan memerangi mereka adalah haram menurut ijmak kaum Muslimin, walaupun mereka itu fasiq dan zalim.”
Ini difahami pada keadaan keluar menentang mereka tanpa alasan yang dibenarkan serta tanpa takwilan yang sah.
Terdapat juga tulisan yang disandarkan kepada Imam al-Suyuti yang membicarakan ancaman syarak terhadap mereka yang mendatangi sultan, iaitu kitab:
“ما رواه الأساطين في عدم المجيء إلى السلاطين”
Namun kitab yang menghimpunkan hadith-hadith berkaitan ancaman mendatangi sultan itu perlu difahami daripada pelbagai perspektif, sama ada dari sudut sejarah, tujuan penulisannya, siyasah syar‘iyyah, hakikat institusi kesultanan, serta bagaimana kedudukan ketaatan kepada sultan dalam kerangka syarak sehingga boleh menjadi dalil sekunder yang mentarjih pelaksanaan umum syariat.

Islam mewajibkan ketaatan kepada pemerintah Muslim dalam perkara yang tidak bercanggah dengan syariat berdasarkan firman Allah dan hadith-hadith Nabi ﷺ yang menegaskan kewajipan mendengar dan taat serta larangan memberontak selagi tidak berlaku kekufuran yang nyata. Dalam memahami isu ini, para ulama membezakan antara perkara usul dan furu‘. Dari sudut usul, menjaga kesatuan umat, mengelakkan pertumpahan darah dan menolak fitnah merupakan prinsip besar agama. Justeru majoriti ulama Ahl al-Sunnah mengharamkan pemberontakan terhadap pemerintah walaupun zalim kerana mudaratnya lebih besar.
Adapun athar salaf yang mengingatkan agar berhati-hati dengan pemerintah pula difahami dalam konteks furu‘ dan adab ulama supaya tidak tunduk kepada kepentingan dunia atau kehilangan integriti ilmu. Maka manhaj Ahl al-Sunnah ialah mentaati pemerintah dalam perkara makruf, menasihati dengan hikmah, menolak kezaliman tanpa mencetuskan kerosakan yang lebih besar, serta menimbang segala isu berdasarkan ilmu, maslahat dan maqasid syariah.

Ditulis Oleh: Pegawai Hal Ehwal Islam, Unit Penyelidikan Isu-Isu Semasa IIDM

“FIQH AL-WATAN MEMAKNAI 556 TAHUN KESULTANAN DAN PERADABAN ISLAM PAHANG”

#FiqhAlWatan
#556Kesultanan
#FardhuAin
#UsulDanFuru
#ManhajAhlusSunnah
#InstitutIlmuDarulMakmur

View original