BAHTHUL MASAIL: MENYUBURKAN TRADISI ILMU

13 Julai 2026, Bahthul Masail merupakan salah satu tradisi keilmuan Islam yang menjadi wadah kepada para penuntut ilmu untuk menghidupkan khazanah turath melalui perbahasan ilmiah secara praktikal. Tradisi ini berteraskan adab berbahas dan berdebat yang telah diwariskan oleh para ulama silam, sekali gus membentuk budaya ilmu yang subur, berdisiplin dan berpaksikan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Pada hari ini, telah dilaksanakan Bengkel Bahthul Masail yang dimulakan pengajian dengan sesi Pengenalan Bahthul Masail yang membincangkan Mabādi' 'Asyrah li Bahtsi al-Masā'il, Arkān Bahtsi al-Masā'il serta Al-Ḥats 'ala al-Bahts sebagai asas memahami falsafah dan kepentingan tradisi ini. Seterusnya, para peserta didedahkan kepada kaedah pengendalian Bahthul Masail melalui taklimat moderator serta penerangan mengenai tatacara pelaksanaan Bahts al-Masā'il. Pada sesi berikutnya, para peserta mempelajari teknik penyediaan ṣīghat soalan dan jawapan, kaedah menggubal persoalan serta panduan merumuskan jawapan sebelum sesuatu perbahasan dijalankan. Pengajian diakhiri dengan perbincangan mengenai adab al-Bahts, khususnya kaedah mengemukakan i'tirāḍ (bantahan) dan i'tiḍzād (sanggahan) terhadap sesuatu pandangan menurut disiplin perbahasan ulama.

Melalui pengajian ini, para peserta didedahkan kepada teknik dan kaedah perbahasan fiqh, dan juga dibimbing untuk membina malakah fiqh melalui penguasaan ilmu-ilmu alat serta adab dalam berdialog dan berbeza pandangan. Bahthul Masail bukanlah medan untuk memenangkan ego atau mempertahankan pendapat semata-mata, sebaliknya menjadi ruang untuk menyemai sifat tawaduk, menghormati khilaf dan menyedari keluasan khazanah ilmu Islam yang diwariskan oleh para ulama.

Fiqh al-Watan terus mengangkat tradisi keilmuan ini sebagai sebahagian daripada usaha memaknai 556 Tahun Kesultanan dan Peradaban Islam Pahang, agar budaya ilmu turath terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi yang akan datang.

FIQH AL-WATAN MEMAKNAI 556 TAHUN KESULTANAN DAN PERADABAN ISLAM PAHANG.

#FiqhAlWatan
#BahthulMasail
#InstitutIlmuDarulMakmur
#IIDM
#TurathIslami
#TradisiIlmu
#AhliSunnahWalJamaah
#FiqhBermazhab
#PeradabanIslamPahang
#KesultananPahang
#WarisanUlama

View original