GAGASAN ASPIRASI PAHANG 1ST DAN BELANJAWAN NEGERI PAHANG 2026: DUA KAJIAN KES TERHADAP MODEL PENTADBIRAN DAN PERLAKSANAAN NEGERI/DAULAH ISLAM SEMASA

Dua kajian IIDM-MUIP ini telah menunjukkan bahawa komitmen atau iltizam terhadap pentadbiran dan perlaksanaan negeri/daulah Islam bukanlah sekadar slogan dan retorik semata-mata. Dalam konteks Negeri Pahang Darul Makmur sebuah kerangka Siyasah Syar’iyyah yang dinamakan Fiqh al-Watan telah menggabung-jalin dasar-dasar pentadbiran Islam dengan keperluan kontemporari perlaksanaannya melalui Gagasan Aspirasi Pahang 1st dan Belanjawan Negeri Pahang 2026.

Pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang semasa yang diterajui oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail telah berjaya menterjemahkan Fiqh al-Watan dari kerangka governan negeri/daulah Islam Pahang kepada pelaksanaan inisiatif-inisiatif Kerajaan Negeri yang bukan sahaja menepati Maqasid Syariah malah memenuhi kehendak Sustainable Development Goals (SDG) pada peringkat global.

Melalui Gagasan Aspirasi Pahang 1st bertemakan Negeri Maju, Terpimpin dan Terpelihara dan Belanjawan Negeri Pahang 2026 bertemakan Pahang 1st: Rakyat Didahulukan, Kemakmuran Dipertahankan; Kerajaan Negeri Pahang ternyata konsisten memperkukuhkan dimensi-dimensi ekonomi, infrastruktur sosial, pendidikan dan alam sekitar negeri. Pada waktu yang sama Kerajaan Negeri Pahang juga komited memperkasakan institusi kesultanan, agama Islam dan adat resam sekaligus menjadi penerus kesinambungan Kesultanan dan Peradaban Islam di Pahang yang telah mencapai 556 tahun usianya.

Sesungguhnya Gagasan Aspirasi Pahang 1st dan Belanjawan Negeri Pahang 2026 dinilai dalam konteks Fiqh al-Waṭan, Maqasid Syariah dan Sustainable Development Goals (SDG) menzahirkan bahawa pembangunan dan kemajuan Negeri Pahang hari ini tidak hanya tertumpu kepada pertumbuhan fizikal-material semata-mata, tetapi juga mengintegrasikan pengukuhan intelektual-spiritual rakyat khususnya umat Islam di negeri ini.

Ini semua digabung-jalin dalam satu kerangka governan Siyasah Syar’iyyah Negeri Berperadaban yang lebih menyeluruh selari dengan gabung-jalin/sinergi al-Din wal- Daulah atau agama dan negara menurut Islam.

Justeru penzahiran ini menjadikan Pahang sebagai model negeri/daulah Islam kontemporari yang produktif dan progresif dengan tampuk kepimpinan negeri yang bijaksana dan berhikmah dalam mentadbir dengan adab dan adat kerukunan, dan memakmurkan kehidupan rakyat serta alam sekitar dengan rahmah.

Secara prinsipnya, Fiqh al-Watan Pahang memperkukuh wacana governan Islam / Siyasah Syar’iyyah sebagai paradigma/model baharu dalam sistem pentadbiran Islam kontemporari.

Keseluruhannya perlaksanaan Fiqh al-Watan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang memperlihatkan keseimbangan antara ilmu, iman, amal, ihsan, tradisi dan inovasi, merangkumi spiritualiti dan profesionalisme ke arah pembentukan pemerintahan negeri/daulah Islam berperadaban yang berdaulat, bersyariat dan beradat.

Oleh Prof Madya Dr Amran Muhammad,
Pengarah Eksekutif IIDM-MUIP

Kepada sesiapa yang berminat untuk membeli buku monograf 2 kajian ini bolehlah menghubungi IIDM-MUIP pada Whatsapp bernombor 013-7128780.

“𝐌𝐄𝐌𝐁𝐔𝐃𝐀𝐘𝐀𝐊𝐀𝐍 𝐈𝐋𝐌𝐔, 𝐌𝐄𝐌𝐏𝐄𝐑𝐊𝐀𝐒𝐀𝐊𝐀𝐍 𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍”

#FiqhalWatan
#MembudayakanIlmu
#KerajaanKesultanan
#DaulahIslam
#PeradabanPahang
#555tahunKesultanandan
#PeradabanIslamPahang
#SUK
#KerajaanNegeriPahang
#PahangBerdaulat
#PahangBersyariat
#PahangBeradat

View original