
DAURAH AL-MUQADDIMAT MEMPERKUKUH MANHAJ AKIDAH AHLI AL-SUNNAH WA AL-JAMA‘AH DI NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR
22 Julai 2026
Alhamdulillah, hari pertama Daurah Kitab al-Muqaddimat Imam al-Sanusi telah berlangsung dengan jayanya pada hari ini, 22 Julai 2026, bertempat di Dewan Masjid Sultan Ahmad Shah 1, Masjid Negeri Pahang, Kuantan.
Daurah yang dianjurkan oleh Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM-MUIP) ini disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Dr. Zainul Abidin Abdul Halim, Pensyarah Jabatan Usuluddin, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Program ini menghimpunkan para pegawai hal ehwal Islam, Felo Muda Fiqh al-Watan, asatizah, guru-guru agama, imam, muallim dan muallimah pengajar akidah, penuntut ilmu serta masyarakat sekitar Kuantan yang berhasrat memperkukuhkan kefahaman terhadap Akidah Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah berteraskan manhaj Imam Abu Abdullah Muhammad ibn Yusuf al-Sanusi.
Kitab al-Muqaddimat merupakan antara karya penting Imam al-Sanusi dalam disiplin ilmu akidah. Kitab ini menghuraikan beberapa prinsip, istilah dan kaedah asas yang perlu dikuasai oleh penuntut ilmu sebelum mendalami perbahasan akidah yang lebih terperinci, khususnya menerusi kitab Umm al-Barahin atau al-‘Aqidah al-Sughra.
Melalui pengajian ini, para peserta dibimbing memahami asas-asas pemikiran dalam ilmu tauhid secara tersusun dan berdisiplin. Penguasaan terhadap istilah serta kaedah penghujahan amat penting agar perbahasan mengenai ketuhanan, kenabian dan perkara-perkara sam‘iyyat dapat difahami berdasarkan kerangka ilmu yang tepat, bukan sekadar melalui hafalan atau kefahaman yang terpisah daripada manhaj para ulama.
Tradisi pengajian akidah yang diwariskan oleh Imam al-Sanusi bukan sahaja bertujuan menjelaskan perkara yang wajib diimani, bahkan membentuk kemampuan berfikir secara tertib, menilai sesuatu hujah dengan teliti serta membezakan antara dalil yang benar dengan dakwaan yang tidak mempunyai asas keilmuan.
Penganjuran daurah ini juga merupakan sebahagian daripada usaha mempertingkatkan kompetensi para pengajar akidah di Negeri Pahang, khususnya mereka yang terlibat dalam pengajaran di institusi pondok, madrasah tahfiz, masjid, surau serta pusat-pusat pengajian Islam.
Institut Ilmu Darul Makmur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, pihak pengurusan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan, Al-Fadhil Ustaz Dr. Zainul Abidin Abdul Halim serta seluruh peserta yang telah bersama-sama menghidupkan majlis ilmu ini.
Daurah ini akan diteruskan pada hari kedua, Khamis, 23 Julai 2026, bagi melengkapkan perbahasan kitab dan memperdalam kefahaman peserta terhadap manhaj akidah Imam al-Sanusi.
Semoga majlis ilmu ini menjadi wasilah dalam memperkukuhkan pegangan Akidah Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah, menyuburkan tradisi pengajian turath serta melahirkan masyarakat yang teguh keimanan, sejahtera pemikiran dan beradab dalam menuntut ilmu.
“Membudayakan Ilmu, Memperkasakan Watan.”
FIQH AL-WATAN MEMAKNAI 556 TAHUN KESULTANAN DAN PERADABAN ISLAM PAHANG.
#FiqhAlWatan
#InstitutIlmuDarulMakmur
#IIDM
#MUIP
#DaurahAlMuqaddimat
#ImamAlSanusi
#UmmAlBarahin
#AkidahAhliSunnahWalJamaah
#AkidahAlAsyairah
#PengajianTurath
#TradisiIlmu
#MajlisIlmu
#MasjidNegeriPahang
#PahangBerdaulat
#PahangBersyariat
#556TahunPeradabanIslamPahang
#KesultananPahang
#PeradabanIslamPahang
#MembudayakanIlmu
#MemperkasakanWatan





