Skip to main content

Oleh: Prof Madya Dr Amran Muhammad, Pengarah Eksekutif Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM)

Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP)

Faham Fiqh al-Watan atau Tatacara Kehidupan Bertanah Air Ahli Sunnah Wal Jamaah mengandungi 3 Mabadi’/Asas dengan 3 Maqasid/Thamarah yang dituju.

  1. Al-Sultah (Kesultanan) —> Kedaulatan/Sovereignty
  2. ⁠Al-‘Adah (Adat Resam) —> Kerukunan/Solidarity
  3. Al-Bi’ah (Alam Sekitar) —> Kelestarian/Sustainability

Program MasterClass Profesor Dr Anuar Ramli membicarakan secara khusus mauduk “Al-‘Adah” menghuraikan peranan Adat Resam sebagai sumber kekuatan yang mengatur pembinaan Watan Islam.

Adat Resam berperanan memperkayakan lagi tafsiran Syariah Islam dalam konteks sosial umat yang lebih luas sehingga membentuk kerukunan umat melalui nilai-nilai Syariah yang tersirat dalam Adat Resam tersebut.

Tanpa pemerkasaan Adat Resam sebagai sumber kekuatan Watan Islam, kedudukan dan peranan Syariah menjadi terhad kepada hukum-hakam semata-mata. Adat Resam memperkayakan lagi tafsiran Syariah dalam konteks kehidupan seharian umat dalam perkara-perkara yang melangkaui ruang lingkup ibadah secara khusus.

Naratif segolongan agamawan semasa yang memandang negatif dan membina persepsi buruk terhadap Adat Resam Melayu Islam tempatan telah menyebabkan banyak Adat Resam yang pada dasarnya tersirat dgn nilai-nilai Tauhid, Fekah dan Tasawuf akhirnya tersisih dan terpinggir dari kehidupan umat.

Akibat kemiskinan dan defisit Adat Resam ini umat Islam dengan mudah dipengaruhi atau mengambil Adat Resam asing dari luar seperti Adat Resam Arab, Barat dan Korea menjadi Adat Resam alternatif mereka.

Wallahu’alam.