KUANTAN, 1 FEBRUARI 2025 – Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM-MUIP) telah menganjurkan Program Pertemuan Muafakat Badan NGO Islam (i-NGO) Negeri Pahang yang berlangsung di Swiss-Belhotel Tanjung Lumpur, Kuantan.
Program julung kali ini telah berjaya melibatkan 69 buah NGO Islam yang aktif di Negeri Pahang, bertujuan memperkukuhkan kesepakatan dan kerjasama dalam memperkasa pelbagai aspek berkepentingan termasuk dakwah, belia, wanita, kebajikan, hal ehwal antarabangsa, undang-undang, muallaf, pendidikan, kebudayaan, perusahaan, rawatan dan pencegahan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), YH. Dato’ Haji Ahmad Hairi Bin Haji Hussain. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP Bahagian Baitulmal Dan Operasi, Dr. Asmadi Bin Abdul Rahman dan Ketua Unit Pembangunan Modal Insan, Al-Fadhil Ustaz Sh. Firdaus Bin Sh. Othman.
Pada sesi pagi, para peserta diberikan pembentangan mengenai perkembangan Institut Ilmu Darul Makmur dan inisiatif Fiqh Al-Watan oleh Pengarah Eksekutif Institut Ilmu Darul Makmur, Prof. Madya Dr. Amran bin Muhammad. Dalam pembentangan tersebut, beliau menjelaskan tujuan penubuhan IIDM dan pencerahan mengenai Fiqh Al-Watan. Sesi petang pula diisi dengan perbincangan interaktif, sesi maklum balas serta cadangan pelaksanaan agenda yang dikemukakan oleh pihak NGO Islam berhubung dengan inisiatif Fiqh Al-Watan.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Pahang, YH. Dato’ Zaliza Bin Zulkipli. Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa peranan NGO dalam masyarakat bukan sekadar sebagai penyampai bantuan, tetapi juga sebagai rakan strategik dalam memperkukuhkan nilai-nilai Islam dan membentuk peradaban yang harmoni. Oleh itu, beliau menegaskan kepentingan NGO untuk memastikan hala tuju mereka selari dengan dasar dan polisi negeri, serta tidak bercanggah dengan prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi teras pegangan umat Islam di negeri Pahang.
Diharapkan program seperti ini dapat dilaksanakan secara berkala dengan harapan di masa akan datang agar IIDM-MUIP, JAIP dan NGO Islam seluruh Negeri Pahang dapat bergerak bersama dan seiring dalam membudayakan ilmu dan memperkasakan watan Pahang Darul Makmur.
“MEMBUDAYAKAN ILMU, MEMPERKASAKAN WATAN”