
FORUM BICARA MUFTI BAHAS CABARAN DAN KEPENTINGAN MEMELIHARA INSTITUSI TAHFIZ, MADRASAH DAN PONDOK DI PAHANG
KUANTAN, 23 November 2026- Forum Bicara Mufti bertajuk “Mendepani Cabaran dan Kepentingan Memelihara Institusi Tahfiz, Madrasah dan Pondok di Pahang” telah berlangsung bersempena Persidangan Tahunan Pengetua dan Pengusaha Pusat Tahfiz, Madrasah dan Pondok Negeri Pahang 3.0.
Forum tersebut dikendalikan oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Azri bin Salehud-Din, Ketua Unit Pendidikan, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang selaku moderator, dengan menampilkan tiga orang tokoh agama negeri Pahang sebagai ahli panel.
Panel pertama, Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr. Asmadi bin Mohd Naim menekankan kepentingan institusi tahfiz, madrasah dan pondok memastikan pengisian ilmu fardu ain, ilmu alat, al-Quran dan hadis dilaksanakan secara menyeluruh. Hal ini penting bagi melahirkan para pelajar yang memiliki asas keilmuan yang lengkap sebagai bekalan untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Sementara itu, panel kedua, YH. Dato' Sri Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Osman, Mantan Mufti Negeri Pahang menggariskan kepentingan mempertahankan pegangan Akidah Ahli Sunnah Waljamaah (ASWJ) berteraskan manhaj Asya'irah dan Maturidiah serta bermazhab Syafie dalam sistem pendidikan institusi tahfiz, madrasah dan pondok. Beliau turut menjelaskan peranan Sultan, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang dan Jabatan Mufti Pahang dalam memelihara kesucian agama, termasuk usaha menyaring ajaran yang bercanggah dengan syarak serta proses pewartaan fatwa.
Panel ketiga, YH. Dato' Haji Sulaiman bin Haji Ahmad, Mantan Mufti Negeri Pahang pula menegaskan bahawa penguasaan ilmu fardu ain merupakan kewajipan mutlak bagi setiap Muslim yang mukallaf. Beliau turut mengingatkan bahawa penyampaian dan pemantapan ilmu tersebut merupakan tanggungjawab serta amanah utama yang perlu digalas oleh para guru dan pendidik.
Perbincangan ini memberikan penekanan bahawa kelangsungan institusi tahfiz, madrasah dan pondok bukan sekadar bergantung kepada pembangunan fizikal dan pengurusan institusi, malah turut menuntut pemeliharaan akidah, pengukuhan ilmu agama serta kesinambungan tradisi keilmuan Islam.
Melalui forum ini, para pengetua dan pengusaha institusi pendidikan Islam di Negeri Pahang diharapkan dapat mengambil manfaat daripada perkongsian para tokoh mufti dalam memperkukuh peranan institusi masing-masing demi melahirkan generasi berilmu dan berpegang teguh dengan pegangan Ahli Sunnah Waljamaah.
“𝑭𝑰𝑸𝑯 𝑨𝑳-𝑾𝑨𝑻𝑨𝑵 𝑴𝑬𝑴𝑨𝑲𝑵𝑨𝑰 556 𝑻𝑨𝑯𝑼𝑵 𝑲𝑬𝑺𝑼𝑳𝑻𝑨𝑵𝑨𝑵 𝑫𝑨𝑵 𝑷𝑬𝑹𝑨𝑫𝑨𝑩𝑨𝑵 𝑰𝑺𝑳𝑨𝑴 𝑷𝑨𝑯𝑨𝑵𝑮”
#Fiqh al-Watan
#Membudayakanlmu
#KerajaanKesultanan
#DaulahIslam
#PeradabanPahang
#556tahunKesultanandan
#PeradabanIslamPahang
#SUK
#KerajaanNegeriPahang
#PahangBerdaulat
#PahangBersyariat
#PahangBeradat




