INDUKSI HIKMAH IIDM 2026

MEMBINA PETA KEILMUAN MELALUI PENGENALAN ILMU FALSAFAH

Induksi HIKMAH IIDM 2026 dimulakan dengan sesi pembentangan oleh AF. Ustaz Ahmad Luqman bin Zulkefli, yang membawakan pengenalan asas kepada Ilmu Falsafah sebagai salah satu landasan penting dalam pembinaan kader ilmu.

Sesi ini merangkumi beberapa perbincangan utama, antaranya pengenalan kepada Ilmu Falsafah, ruang lingkup dan persoalan yang dibincangkan dalam falsafah, sejarah perkembangan falsafah serta bagaimana para ulama Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah Asha'irah dan Maturidiyyah berinteraksi dan menangani ilmu falsafah sepanjang perkembangan tradisi keilmuan Islam.

Perbincangan ini turut mengangkat kedudukan falsafah sebagai satu disiplin yang bersifat kullī (universal), yang membincangkan persoalan-persoalan asas dan menyeluruh berkaitan ilmu, hakikat, manusia dan realiti. Justeru, pengenalan kepada falsafah dapat membantu seseorang melihat hubungan antara pelbagai disiplin ilmu secara lebih tersusun, seolah-olah menyediakan “peta keilmuan” bagi memahami perjalanan ilmu yang perlu ditempuh.

Bagi HIKMAH, ilmu bukan sekadar untuk menambah pengetahuan peribadi, tetapi perlu diterjemahkan kepada kepakaran dan khidmat kepada agama, masyarakat dan watan. Pembinaan kader ilmu diharapkan dapat melahirkan individu yang mempunyai penguasaan dalam bidang-bidang tertentu serta mampu menyumbang dalam usaha memahami, mentadbir dan menguruskan hal ehwal Islam dan masyarakat dengan ilmu serta kebijaksanaan.

Dalam masa yang sama, pembinaan ilmu tidak boleh dipisahkan daripada pembinaan jati diri dan kesedaran sejarah. Seorang muslim ASWJ perlu menyedari bahawa dirinya berdiri di atas sebuah tradisi dan peradaban yang panjang, termasuk warisan Kesultanan Islam Melayu Pahang yang telah menjadi sebahagian daripada sejarah pembentukan masyarakat dan kehidupan Islam di watan.

Melalui pengenalan kepada falsafah, para peserta HIKMAH diajak untuk tidak hanya bertanya “apa yang perlu dipelajari?”, tetapi juga “mengapa ia perlu dipelajari, bagaimana ia saling berkaitan, dan untuk siapa ilmu itu akhirnya dikhidmatkan?”

Sebuah langkah awal untuk membina kader yang berilmu, berkerangka pemikiran, berakar pada tradisi dan bersedia untuk berkhidmat kepada watan.

Induksi HIKMAH IIDM 2026
16–18 Ogos 2026
Hotel Sri Manja, Kuantan, Pahang

#HIKMAHIIDM
#InstitutIlmuDarulMakmur
#MembudayakanIlmu
#MemperkasaWatan
#IlmuFalsafah
#IlmuKalam
#IlmuUsulFiqh
#IlmuTasawuf
#KaderIlmu
#KesultananIslamMelayuPahang

View original on Facebook