
KDPB SULTAN PAHANG BERKENAN MENERIMA MENGADAP IIDM DAN MUIP
Kuantan, 12 Ogos 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan menerima mengadap Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM) dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dalam satu majlis yang berlangsung di Istana AbdulAziz, Kuantan.
Majlis mengadap tersebut disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Amran bin Muhammad, Pengarah Eksekutif Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM), yang hadir diiringi oleh YH. Tok Muda Dato’ Haji Ahmad Hairi bin Haji Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
Dalam sesi mengadap berkenaan, Prof. Madya Dr. Amran telah mempersembahkan beberapa penerbitan utama IIDM-MUIP kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku, antaranya Koleksi Monograf Penyelidikan IIDM-MUIP 2025, Buku Panduan Fiqh al-Watan serta Buku Laporan Tahunan IIDM yang menghimpunkan pencapaian, aktiviti dan perkembangan institusi sepanjang tahun lalu.
Koleksi Monograf Penyelidikan IIDM-MUIP 2025 merupakan hasil penyelidikan yang dijalankan oleh para sarjana dan penyelidik dalam pelbagai bidang berkaitan pembangunan umat Islam, pemerkasaan institusi agama serta pengukuhan pemikiran Islam kontemporari. Sementara itu, Buku Panduan Fiqh al-Watan diterbitkan sebagai rujukan bagi memperkukuhkan kefahaman masyarakat terhadap konsep Fiqh al-Watan yang menekankan kecintaan kepada watan, ketaatan kepada pemerintah serta tanggungjawab memelihara keharmonian dan kemakmuran negeri.
Selain mempersembahkan penerbitan tersebut, Prof. Madya Dr. Amran turut mempersembahkan cadangan penganjuran Majlis Menjunjung Kasih Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Bersama Warga Tahfiz, Madrasah dan Pondok Negeri Pahang. Cadangan program ini bertujuan menghimpunkan institusi tahfiz, madrasah dan pondok dari seluruh negeri bagi menzahirkan rasa kasih, taat setia serta penghargaan kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku atas naungan dan keprihatinan Baginda terhadap pembangunan pendidikan Islam di Negeri Pahang.
Majlis mengadap tersebut turut menjadi platform untuk mempersembahkan perkembangan terkini usaha-usaha IIDM-MUIP dalam membudayakan ilmu, memperkasakan kefahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) serta mengangkat agenda Fiqh al-Watan sebagai salah satu pendekatan penting dalam membina masyarakat yang berilmu, berakhlak dan bertanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negeri.
IIDM-MUIP merafakkan setinggi-tinggi junjungan kasih kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang atas perkenan menerima mengadap serta sokongan berterusan Baginda terhadap usaha memperkasa penyelidikan, pendidikan dan pengembangan ilmu Islam di Negeri Pahang Darul Makmur.
“MEMBUDAYAKAN ILMU, MEMPERKASAKAN WATAN.”
#Fiqh al-Watan
#Membudayakanlmu
#KerajaanKesultanan
#DaulahIslam
#PeradabanPahang
#556tahunKesultanandan
#PeradabanIslamPahang
#SUK
#KerajaanNegeriPahang
#PahangBerdaulat
#PahangBersyariat
#PahangBeradat





