
KEBAWAH DULI PADUKA BAGINDA TENGKU AMPUAN PAHANG BERANGKAT KE MAJLIS PELANCARAN BUKU FIQH AL-WATAN SEMPENA SEMINAR HUKUM KANUN DI ALAM MELAYU
KUANTAN, 22 OKTOBER 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, berkenan berangkat ke majlis pelancaran buku Fiqh al-Watan: Tatacara Kehidupan Bertanah Air Rakyat Negeri Pahang yang berlangsung bersempena Seminar Hukum Kanun di Alam Melayu bertemakan “Tradisi Perundangan, Kedaulatan dan Transformasi Masyarakat” di Kutubkhanah Diraja, Kompleks Muzium Diraja Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, hari ini.
Seminar dimulakan dengan pembentangan kertas kerja oleh Pengarah Eksekutif IIDM-MUIP, Prof. Madya Dr. Amran bin Muhammad, yang bertajuk “Hukum Kanun Pahang sebagai Manifestasi Fiqh al-Watan: Dinamika Hubungan antara Raja, Syariah, Adat Resam dan Kesejahteraan Negeri”.
Pembentangan tersebut mengupas hubungan antara tradisi perundangan, institusi pemerintahan dan prinsip syariah dalam membentuk kehidupan masyarakat yang teratur serta sejahtera. Beliau turut mengetengahkan peranan IIDM-MUIP dalam memperkukuh pendidikan Islam, termasuk pengurusan pendidikan pondok turath, pembangunan institusi tahfiz, madrasah dan pondok, pemerkasaan ilmu fardu ain serta penyelidikan dan pemartabatan Hukum Kanun Pahang sebagai khazanah perundangan dan intelektual negeri.
Majlis pelancaran buku disempurnakan menerusi penyerahan naskhah oleh Yang Hormat Tok Muda Dato’ Haji Ahmad Hairi bin Haji Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang. Buku berkenaan kemudiannya diserahkan kepada wakil Kerajaan Negeri Pahang, Puan Juzilawati.
Buku terbitan Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM-MUIP) ini merupakan usaha mendokumentasikan dan menyebarluaskan gagasan Fiqh al-Watan sebagai kerangka kehidupan bertanah air yang berteraskan ajaran Islam, kedaulatan institusi kesultanan, penghayatan adat resam Melayu serta tanggungjawab memelihara kesejahteraan negeri.
Penerbitan ini mengetengahkan pendekatan Fiqh al-Watan yang mengintegrasikan ilmu tauhid, tasawuf dan fiqah dengan penghayatan terhadap watan, merangkumi aspek pemerintahan, perundangan, adat resam dan kelestarian alam sekitar. Gagasan ini bertujuan memperkukuh kefahaman masyarakat tentang tanggungjawab terhadap agama, raja dan tanah air ke arah pembentukan masyarakat serta watan yang berdaulat, bersyariat, beradat dan berperadaban.
Pada sebelah petang, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, turut berkenan berangkat ke seminar tersebut. Keberangkatan Baginda menyerlahkan kepentingan wacana keilmuan serta pemeliharaan warisan perundangan dalam mendukung kesinambungan tradisi pemerintahan dan peradaban Melayu-Islam.
Seminar yang berlangsung selama dua hari ini menghimpunkan ahli akademik, penyelidik dan pengkaji bagi membincangkan sejarah serta perkembangan tradisi perundangan Alam Melayu, termasuk kerelevanannya dalam konteks pemerintahan, institusi kehakiman dan pembentukan masyarakat masa kini.
Antara tajuk kertas kerja yang dibentangkan ialah “Hukum Kanun di Alam Melayu: Kupasan Khusus tentang Hukum Kanun Melaka”, “Fiqh al-Watan: Raja, Kedaulatan dan Undang-Undang Tubuh: Kesinambungan Tradisi Perlembagaan Watan di Negeri-Negeri Melayu”, “Hukum, Adat dan Institusi Kehakiman Pahang: Kesinambungan Tradisi Melayu-Islam daripada Hukum Kanun kepada Era Moden”, “Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895: Raja, Islam dan Respons terhadap Tekanan British” serta “Hukum Kanun Brunei, Kesultanan dan Ketahanan Perundangan Islam dalam Era Protektorat British”.
IIDM-MUIP merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Muzium Pahang bersempena ulang tahun ke-50 penubuhannya pada tahun ini, di samping menghargai kejayaan penganjuran Seminar Hukum Kanun di Alam Melayu. Penganjuran seminar ini mencerminkan komitmen berterusan dalam mengangkat tradisi perundangan Alam Melayu sebagai warisan penting yang membentuk kedaulatan pemerintahan, memperkukuh institusi kesultanan serta mendukung transformasi masyarakat berteraskan nilai Melayu-Islam. Semoga wacana keilmuan seumpama ini terus menyuburkan kefahaman terhadap sejarah perundangan dan memastikan warisan intelektual negeri Pahang terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang.
“FIQH AL-WATAN MEMAKNAI 556 TAHUN KESULTANAN DAN PERADABAN ISLAM PAHANG”





