
Kerjasama Institut Ilmu Darul Makmur Dan NGO-i :Program SMART TFT (Tauhid – Feqah – Tasawuf) & Fiqh Al-Watan
Alhamdulillah, dalam usaha mempertautkan kecintaan terhadap khazanah keilmuan Ahli Sunnah Wal Jama'ah (ASWJ) ke dalam sanubari ummah, Program SMART TFT (Tauhid – Fiqh – Tasawuf) & Fiqh Al-Watan hasil kerjasama IIDM & NGO-i Pahang kini melangkah ke minggu ketiga penganjurannya. Sejak dirasmikan pada 8 Jun 2026, inisiatif ini terus konsisten menjadi wadah pencerahan intelektual dan spiritual yang dilaksanakan secara berkala pada setiap Isnin dan Selasa malam.
Program ini memfokuskan kepada kupasan mendalam terhadap trilogi kitab fundamental ASWJ yang menjadi pasak kefahaman fardu ain, iaitu:
Ummul Barahin (Tauhid)
Safinatun Najah (Fekah)
Bidayatul Hidayah(Tasawuf)
Inisiatif ini berpaksikan kepada kesedaran bahawa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO-i) merupakan entiti strategik yang berfungsi sebagai katalis dakwah dan arkitek pembangunan syiar yang holistik. Dalam kerangka Fiqh Al-Watan, NGO-i memegang peranan signifikan sebagai agen penggerak komponen adat-resam dan kerukunan sosial. Mendepani realiti masyarakat majmuk yang mencabar NGO-i bertindak sebagai rakan sinergi kerajaan dalam memperkukuh institusi kekeluargaan serta memelihara fabrik keharmonian sosial demi kestabilan negara.
Program SMART TFT & Fiqh Al-Watan menyasarkan kerjasama proaktif bersama barisan NGO-i di Negeri Pahang untuk mengintegrasikan kefahaman trilogi ilmu secara tuntas. Adalah menjadi aspirasi besar agar pengukuhan aspek Tauhid, Fiqh, dan Tasawuf ini mampu melahirkan agen dakwah yang kompeten dan berwibawa. Semoga usaha murni ini menjadikan penyebaran dakwah di Negeri Pahang berteraskan kefahamam Ahli Sunnah Wal Jama’ah, sekali gus menjamin kelestarian dan kesejahteraan Negeri Pahang Darul Makmur.
#FiqhAlWatan
#KerajaanKesultanan
#DaulahIslam
#PeradabanPahang
#556TahunKesultanan
#PeradabanIslamPahang
#KerajaanNegeriPahang





