SIRI KULIAH FIQH AL-WATAN
Tatacara Kehidupan Bertanah Air Umat Islam Negeri Pahang

📚Kuliah 10 :
Hadis Jibril sebagai Sumber Ilmu Fardhu Ain

💻Platform : Facebook Institut Ilmu Darul Makmur

🎤Oleh Prof. Madya Dr. Amran Bin Muhammad,
Pengarah Eksekutif Institut Ilmu Darul Makmur –
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (IIDM-MUIP)

Kuliah ini membincangkan Hadis Jibril sebagai sumber rujukan Nabawi yang menjadi asas kepada pembinaan idea Fiqh al-Watan oleh Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM). Hadis ini merupakan antara hadis terpenting dalam Islam kerana menghimpunkan keseluruhan asas ajaran agama dalam satu riwayat yang lengkap dan tersusun.

Para ulama seperti Imam al-Nawawi dan Al-Qadi Iyadh menegaskan bahawa Hadis Jibril merangkumi tiga teras utama agama iaitu Islam, Iman dan Ihsan. Ketiga-tiga komponen ini menjadi asas kepada pembinaan tauhid (akidah), fekah (amalan zahir) dan tasawuf (penyucian jiwa dan akhlak).

Melalui pembahagian ini, Hadis Jibril membentuk struktur ilmu fardhu ain yang menyeluruh. Islam merujuk kepada pelaksanaan ibadah dan hukum-hakam, iman kepada pegangan keyakinan dalam akidah, manakala ihsan menumpukan kepada pembentukan akhlak dan hubungan rohani dengan Allah SWT. Justeru, hadis ini menjelaskan ajaran Islam dan membentuk cara hidup seorang Muslim secara holistik.

Selain itu, hadis ini turut membina worldview Islam dengan menegaskan bahawa kehidupan dunia bersifat sementara, manakala akhirat merupakan kehidupan yang hakiki dan kekal.

Perbahasan tentang hari kiamat dalam hadis ini memberi kesedaran bahawa setiap tindakan manusia di duniaperlu berorientasikan persediaan menuju akhirat. Bahagian tanda-tanda kiamat pula menunjukkan kepentingan memahami realiti semasa (fiqh al-waqi‘), termasuk perubahan sosial dan perkembangan tamadun.

Dalam konteks ini, ia diperluaskan kepada konsep Fiqh al-Watan, iaitu kefahaman tentang tanggungjawab terhadap negara dan masyarakat, serta Fiqh al-‘Umran dan Fiqh al-Hadarah yang berkaitan dengan pembangunan peradaban.

Secara keseluruhannya, Hadis Jibril merupakan rumusan menyeluruh ajaran Islam yang menjadi asas ilmu fardhu ain dan berperanan sebagai kerangka besar dalam membina naratif kehidupan umat. Penghayatan hadis ini secara integratif mampu melahirkan insan yang seimbang dari sudut akidah, amalan, akhlak serta peranan dalam membangunkan masyarakat dan tamadun Islam.

“𝐌𝐄𝐌𝐁𝐔𝐃𝐀𝐘𝐀𝐊𝐀𝐍 𝐈𝐋𝐌𝐔, 𝐌𝐄𝐌𝐏𝐄𝐑𝐊𝐀𝐒𝐀𝐊𝐀𝐍 𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍”

#Fiqh al-Watan
#Membudayakanlmu
#KerajaanKesultanan
#DaulahIslam
#PeradabanPahang
#555tahunKesultanandan
#PeradabanIslamPahang
#SUK
#KerajaanNegeriPahang
#PahangBerdaulat
#PahangBersyariat
#PahangBeradat

View original