Skip to main content

KULIAH 2: INTIPATI MODUL FIQH AL-WATAN

Fiqh al-Watan adalah gabung jalin peranan hamba Allah iaitu penzahiran daripada Fardhu Ain dan khalifah Allah yang dizahirkan dari Fardhu Kifayah. Fardhu Ain terdiri daripada Tauhid, Fekah dan Tasawuf manakala Fardhu Kifayah terdiri dari Kesultanan, Adat Resam dan Alam Sekitar yang akhirnya bermatlamat menuju ke arah ilmu Siyasah Syar’iyyah bagi memelihara Kedaulatan, Kerukunan dan
Kelestarian.

Kerangka Modul Fiqh al-Watan dapat diterangkan dari sisi lain berdasarkan beberapa peringkat iaitu modul teras iaitu pembinaan jati diri individu melalui Farhu Ain, kemudian dikembangkan pada peringkat lebih tinggi iaitu masyarakat melalui Khalifah Allah dan akhirnya pembentukan tatacara kehidupan bernegara melalui Siyasah Syar’iyyah.

Falsafah besar disebalik Fiqh al-Watan juga boleh dilihat berdasarkan hubungan Allah iaitu Pemilik Mutlak melalui Tauhid, Fekah dan Tasawuf manakala dalam konteks Daulah diterjemahkan melalui Kesultanan, Adat Resam dan Alam Sekitar.

Dari sudut Siyasah Syar’iyyah, Tuanku Al-Sultan adalah Raja Pemerintah bagi Negeri Pahang yang di dalamnya terdapat Kerajaan Negeri yang membantu menguruskan pentadbiran negeri melalui pelbagai agensi dan institusi. Pada peringkat individu dan masyarakat, adat resam menjadi pengikat bagi mewujudkan kerukunan masyarakat bagi mewujudkan keharmonian, keamanan dan kesepaduan. Alam sekitar pula memainkan peranan penting yang menjana ekonomi dan kemakmuran
negeri yang juga perlu diberi perhatian bagi mewujudkan kelestarian.

Skop pengamalan Kesultanan yang memayungi Negeri Pahang adalah tatakelola kesultanan, pentadbiran Kerajaan, Agama islam dan Adat Resam bagi membentuk kedaultan yang kukuh yang tidak dapat digugat musuh dari dalam mahupun luar. Skop pengamalam Adat Resam pula adalah kelaziman diri dan masyarakat, adat resam dan kehidupan sosio budaya daripada bangun daripada tidur sehinggalah kembali tidur yang menjadi amalan sesebuah masyarakat contohnya adat resam kelahiran bayi baru lahir dan juga adat resam apabila berlaku kematian. Skop pengamalan Alam Sekitar pula adalah penggembelengan sumber alam sekitar dengan teknologi dan ekonomi yang bermatlamat menjaga kelestarian alam sekitar.

Huraian aplikasi Fiqh al-Watan dalam bentuk yang lebih luas dapat dilihat berdasarkan 3 prinsip utama
iaitu Kesultanan mengatur politik dan governan Negeri Pahang, Adat Resam mengatur psikologi dan
sosiologi individu dan masyarakat dan Alam Sekitar mengatur ekologi, ekonomi dan teknologi Negeri
Pahang. Melalui 3 prinsip utama ini pula dapat dipecahkan kepada 7 kaedah bagi mengaplikasikan Fiqh al-Watan dalam kehidupan iaitu menghayati kecintaan kepada tanah air, memartabatkan dakwah keimanan dan tauhid di atanah air dan di muka bumi, mentaati raja pemerintah dan menghayati perlembagaan dan undang-undang tanah air, menzahirkan kesetiaan kepada elemen-elemen watan tanah air, menjalani kehidupan aman damai dalam masyarakat berbilang agama dan kaum, memakmurkan tanah air dan membina peradaban tauhid dan mempertahankan keutuhan dan kelestarian tanah air dari sebarang bentuk ancaman.

Kesimpulannya Fiqh al-Watan ini adalah sebuah gagasan yang dibina dari warisan Siyasah Syar’iyyah bagi membina wawasan masa depan kita yang menjadi inisiatif pemerkasaan umat sebagai pedoman dan kaedah bertanah air yang mengambil kira ciri-ciri watan tempatan.

“𝐌𝐄𝐌𝐁𝐔𝐃𝐀𝐘𝐀𝐊𝐀𝐍 𝐈𝐋𝐌𝐔, 𝐌𝐄𝐌𝐏𝐄𝐑𝐊𝐀𝐒𝐀𝐊𝐀𝐍 𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍”

#Fiqh al-Watan
#Membudayakanlmu
#KerajaanKesultanan
#DaulahIslam
#PeradabanPahang
#555tahunKesultanandan
#PeradabanIslamPahang
#SUK
#KerajaanNegeriPahang
#PahangBerdaulat
#PahangBersyariat
#PahangBeradat

View original