Skip to main content
KUANTAN, 15 Mei 2024 – Majlis Khatam Sahih Al-Bukhari Perdana Peringkat Negeri Pahang dan Pelancaran Pelaksanaan Kurikulum Wajib untuk Maahad Tahfiz, Madrasah, dan Pondok di Negeri Pahang telah membuka lembaran baru untuk perkembangan dan perjuangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri ini.
Taklimat pelaksanaan kurikulum wajib telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Amran bin Muhammad, Pengarah Eksekutif Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM). Maulana Che Wan Hilmi bin Mohamed pula memperkenalkan Persatuan Ikatan Madrasah Pahang (IMP), Prof. Madya Dr. Muhammad Fadhli bin Ismail, Timbalan Naib Canselor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Unipsas), menerangkan tentang peluang menyambung pengajian di UnIPSAS. Ucapan amanat dan penutup telah disampaikan oleh Dr. Haji Asmadi bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang (MUIP). Turut hadir mendengar taklimat ialah semua mudir dan wakil pengurusan bagi lebih 150 buah maahad tahfiz, madrasah dan pondok Negeri Pahang.
Hampir 2,000 pelajar dan guru dari seluruh maahad tahfiz, madrasah, dan pondok di Pahang berkumpul untuk menyaksikan lembaran baru ini. Mereka berpeluang mendengar syarahan hadis terakhir Sahih Al-Bukhari yang disampaikan oleh Syeikhul Hadis Maulana Mansoor bin Ismail Al-Hafiz, Mudir Madrasah Miftahul Ulum Seri Petaling, serta Tausiah Khas oleh Syeikhul Hadis Maulana Juhari bin Ali, Mudir Darul Uloom Al-Islamiah Sungai Salan Jerantut.
Pada sebelah malamnya pelancaran kurikulum wajib ini telah disempurnakan oleh YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Shah Ibni Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Timbalan Yang Dipertua MUIP, bersempena dengan Majlis Khatam Perdana Sahih Al-Bukhari.
Turut hadir dalam majlis ini adalah Dato Ahmad Hairi bin Haji Husain, Ketua Pegawai Eksekutif MUIP; Dato’ Dr. Zulkifle bin Ali Al-Hafiz, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang; Prof. Madya Dato’ Dr. Zawavi bin Zainal Abidin, Naib Canselor Unipsas; Dato’ Badlishah bin Alaudin, Timbalan Mufti Jabatan Mufti Negeri Pahang; Prof. Madya Dr. Amran bin Muhammad, Pengarah Eksekutif IIDM; Maulana Che Wan Hilmi bin Wan Mohamed, Presiden IMP; dan tetamu kehormat lainnya termasuklah Manta Mufti Pahang, Prof Adjung Dato’ Sri Dr Abdul Rahman bin Osman.
Majlis ini merupakan permulaan bagi perlaksanaan kurikulum pendidikan turath muktabar Ahli Sunnah Wal Jamaah disamping meningkatkan kesedaran dan pemahaman umat Islam tentang pentingnya pengajian Ilmu Hadith.
“Membudayakan Ilmu, Memperkasakan Watan”