Pada 10 Julai 2024 Kursus Induksi Pemegang Perakuan Kebenaran Mengajar Agama Islam Negeri Pahang Tahun 2024 telah diadakan dengan jayanya. Kursus Induksi ini adalah anjuran Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) melalui Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM), Kursus Induksi ini telah dirasmikan oleh Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Pahang, Profesor Dato’ Dr. Asmadi bin Mohamed Naim. Hampir 300 Pemegang Perakuan Kebenaran Mengajar Agama Negeri Pahang telah menyertai kursus ini.
Turut hadir dimajlis perasmian kursus ini termasuklah Prof Madya Dr Amran bin Muhammad, Pengarah Eksekutif IIDM; Prof. Dr. Hassan bin Ahmad, Pengerusi Panel Perakuan Kebenaran Mengajar Agama Islam Negeri Pahang; Tuan Haji Mohd Ali bin Mat Dasir, Pengarah Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Islam MUIP; Tuan Haji Syarifuddin bin Muhammad Saad, Qadhi Daerah Kuantan Bandaraya; Tuan Haji Badaruddin bin Ahmad Bustami, Qadhi Daerah Kuantan Barat, Tuan Haji Mohd Rizzal bin Mohd Ali Nafiah, Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 dan Tuan Muhammad Yusri bin Aman, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIP.
Majlis ini turut diisi dengan pembentangan oleh Pengarah Eksekutif IIDM, Prof Madya Dr Amran Muhammad; Tuan Guru Tauhid Zamalah IIDM, Tuan Guru Syeikh Abd Raof bin Nurin, Tuan Guru Fekah Zamalah IIDM, Tuan Guru Haji Muhammad Uwais Qarni bin Abdul Wahab al-Hafiz; Tuan Guru Tasawuf Zamalah IIDM, Tuan Guru Ahmad Fuad bin Amran; dan Tuan Guru Fiqh al-Watan Zamalah IIDM, Tuan Guru Haji Barakatullah bin Haji Muhammad Bahari.
Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Pahang, dalam amanatnya, menegaskan bahawa perakuan kebenaran mengajar ini berfungsi sebagai mekanisme untuk menjamin ajaran Islam yang disampaikan adalah benar dan selari dengan garis panduan mengajar agama di negeri Pahang, berdasarkan kepada prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berteraskan kepada akidah mazhab Ashairah, fekah bermazhab al-Shafie, dan tasawuf Imam al-Junaid dan al-Ghazali adalah asas kepada pemahaman yang betul tentang ajaran Islam dan perlu dipertahankan.
Pengarah Eksekutif Institut Ilmu Darul Makmur dalam ucapannya yang bertajuk “Pokok Ilmu Peradaban Ahli Sunnah Wal Jamaah” menekankan kepentingan Ihya Tradisi Keilmuan Ahli Sunnah Wal Jammah yang menjadikan Tauhid sebagai pembina kekuatan akliah umat Islam. Fekah pula menjadi amal yang membentuk watan, manakala Tasawuf memberikan jawapan bagaimana membentuk dan menyempurnakan diri.
Tuan-Tuan Guru Zamalah IIDM telah membentangkan tajuk-tajuk penting yang berfungsi sebagai syarahan kepada pokok ilmu-ilmu Islam. ManakalaTuan Haji Mohammad Ali bin Mat Dasir kemudian memberikan taklimat mengenai Garis Panduan Mengajar Agama Islam/Berceramah di Negeri Pahang dengan menyatakan peri penting bagi Pemegang Perakuan Kebenaran Mengajar untuk mengetahui tanggungjawab mereka mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak Berkuasa Agama Negeri Pahang.
Kursus Induksi ini diharapkan dapat memberikan manfaat yang besar kepada semua pemegang perakuan kebenaran mengajar dan seterusnya mencetus kesedaran baru bagi suasana pengajaran Risalah Islam di Negeri Pahang Darul Makmur.