Mengangkat Semula Epistemologi Islam dalam Ilmu Kalam

Panduan al-Nasafī untuk Zaman Pascamoden: Kebenaran Itu Wujud, Boleh Diketahui, dan Tidak Bergantung kepada Persepsi Manusia

Zaman pascamoden menyaksikan berkembangnya pelbagai bentuk relativisme yang mempersoalkan kewujudan kebenaran objektif. Dalam sebahagian wacana moden, kebenaran dilihat seolah-olah sentiasa berubah mengikut sudut pandang, budaya, kuasa, bahasa atau konstruksi sosial. Akibatnya, manusia bukan sahaja mula mempertikaikan sesuatu dakwaan, bahkan kadangkala turut meragui sama ada kebenaran itu sendiri benar-benar wujud. Di sinilah tradisi Ilmu Kalam memperlihatkan keteguhan kerangka epistemologinya. Ratusan tahun dahulu, para ulama telah membahaskan persoalan paling asas sebelum membicarakan Tuhan, kenabian dan perkara ghaib: adakah realiti itu benar-benar wujud, dan mampukah manusia mengetahuinya?

Dalam kitab al-‘Aqā’id al-Nasafiyyah, Imam Najm al-Din al-Nasafī meletakkan satu prinsip yang sangat penting: “Ḥaqā’iq al-ashyā’ thābitah, wa al-‘ilmu bihā mutaḥaqqiq” — hakikat segala sesuatu itu sabit, dan ilmu mengenainya benar-benar dapat dicapai. Kenyataan ini menjadi pasak epistemologi Ahl al-Haqq dalam menolak pendekatan al-Sufasṭā’iyyah yang meragui atau menafikan ketetapan hakikat serta kemungkinan manusia memperoleh ilmu tentangnya. Ertinya, realiti tidak berubah hanya kerana manusia berbeza pandangan tentangnya. Sesuatu yang benar tetap benar, dan sesuatu yang batil tidak menjadi benar semata-mata kerana ia diterima oleh ramai manusia. Manusia mungkin tersilap memahami realiti, tetapi kesilapan manusia tidak membatalkan kewujudan realiti itu sendiri.

Atas asas tersebut, para ulama Kalam menetapkan bahawa sebab atau saluran ilmu bagi makhluk terbahagi kepada tiga, iaitu pancaindera yang sejahtera, khabar yang benar dan akal. Pancaindera membolehkan manusia mengenal dunia empirikal melalui penglihatan, pendengaran, penciuman, rasa dan sentuhan. Tradisi Kalam dengan itu tidak menolak pengalaman empirikal, bahkan menerimanya sebagai salah satu asas ilmu. Inilah antara bukti bahawa warisan intelektual Islam tidak dibina atas penolakan terhadap pemerhatian alam, sebaliknya mengiktirafnya sebagai salah satu jalan untuk mengenal hakikat kejadian.

Saluran kedua ialah al-khabar al-ṣādiq, khabar yang benar. Manusia tidak mengetahui segala sesuatu melalui pengalaman langsung. Kita mengetahui tentang negeri yang jauh, tokoh yang telah meninggal dunia dan peristiwa sejarah melalui laporan yang dipercayai. Justeru, al-Nasafī mengiktiraf khabar mutawatir sebagai salah satu sumber ilmu yang menghasilkan ‘ilm ḍarūrī, iaitu pengetahuan yang mencapai tahap keyakinan tanpa memerlukan proses penghujahan yang panjang. Demikian juga khabar Rasul yang telah dibuktikan kebenaran kerasulannya melalui mukjizat. Khabar Rasul menghasilkan ilmu secara istidlālī: mukjizat membuktikan kerasulan, kerasulan membuktikan kebenaran Rasul, lalu apa yang disampaikan oleh Rasul menjadi sumber ilmu yang yakin. Dengan kerangka ini, penerimaan terhadap wahyu bukanlah kepercayaan yang terpisah daripada rasionaliti, tetapi mempunyai asas epistemologi dan susunan pembuktian yang tersendiri.

Saluran ketiga ialah akal. Dalam tradisi Kalam, akal bukan musuh kepada agama dan bukan pula unsur yang perlu dibungkam atas nama keimanan. Akal berfungsi menilai, membandingkan, menyusun premis, mengesan percanggahan dan menghasilkan kesimpulan. Sebahagian pengetahuan akal bersifat badīhī atau ḍarūrī, seperti pengetahuan bahawa keseluruhan lebih besar daripada sebahagian. Sebahagian yang lain bersifat iktisābī atau istidlālī, iaitu diperoleh melalui penelitian, penghujahan dan proses berfikir. Daripada sinilah berkembang tradisi mantiq, jadal dan istidlal yang begitu subur dalam khazanah Islam. Para ulama tidak takut bertanya bagaimana alam menunjukkan kepada Pencipta, bagaimana kenabian dapat dibuktikan, bagaimana sesuatu dalil dinilai, dan bagaimana dakwaan yang benar dibezakan daripada dakwaan yang batil.

Pada masa yang sama, al-Nasafī memberikan satu sempadan penting apabila menegaskan bahawa ilham bukan salah satu sebab umum untuk menetapkan kebenaran sesuatu perkara di sisi Ahl al-Haqq. Ini bukan bermaksud seluruh pengalaman ilham dinafikan, tetapi pengalaman batin seseorang tidak boleh secara automatik dijadikan hujah objektif yang mengikat orang lain. Seseorang tidak boleh mendakwa sesuatu perkara benar hanya kerana dia “merasainya”, “mendapat ilham” atau mengalami pengalaman rohani tertentu. Kebenaran yang mengikat umat memerlukan asas yang dapat dinilai melalui saluran ilmu yang muktabar. Prinsip ini sangat penting pada zaman hari ini ketika dakwaan agama, pengalaman spiritual dan pandangan peribadi mudah disebarkan tanpa disiplin ilmu dan tanpa mekanisme verifikasi yang jelas.

Di sinilah pentingnya epistemologi Kalam untuk umat Islam hari ini. Banyak gerakan moden melaungkan slogan “Kembali kepada al-Quran dan Sunnah”, suatu slogan yang pada asasnya baik dan benar. Namun dalam sebahagian pendekatan, slogan tersebut kadangkala dibawa bersama kecenderungan untuk mengecilkan peranan akal, daya akliah dan tradisi penghujahan rasional yang telah dibina oleh para ulama Islam. Apabila akal dan disiplin mantiqi dipinggirkan, umat berisiko kehilangan tradisi pemikiran analitik dan kritis yang pernah menjadi kekuatan tamadun Islam. Kita akhirnya mudah disibukkan dengan polemik hukum-hakam kecil yang tidak berkesudahan, sedangkan persoalan besar tentang ilmu, hakikat, manusia, alam, Tuhan dan pembangunan tamadun semakin kurang diberikan perhatian.

Epistemologi yang diwarisi daripada para ulama Kalam menunjukkan bahawa akal dan wahyu tidak pernah diletakkan sebagai dua musuh yang perlu memilih salah satunya. Pancaindera mengamati realiti, akal menilai dan beristidlal, manakala khabar yang benar melengkapkan pengetahuan manusia, khususnya pada perkara yang tidak dapat dicapai oleh pengalaman inderawi dan akal semata-mata. Beragama bukan bermaksud mematikan akal, dan menggunakan akal pula bukan bererti meletakkan akal sebagai kuasa mutlak tanpa batas. Yang dituntut ialah meletakkan fungsi akal pada kedudukannya yang benar, dibimbing oleh wahyu dan beroperasi melalui disiplin ilmu yang tersusun.

Umat Islam pernah membina sebuah tamadun besar kerana tradisi keilmuannya tidak hanya mengajar manusia apa yang perlu dipercayai, tetapi juga bagaimana sesuatu kebenaran diketahui, bagaimana sesuatu hujah dibina, bagaimana dakwaan diuji dan bagaimana kesalahan pemikiran dikenal pasti. Inilah semangat yang perlu dihidupkan kembali. Kita tidak seharusnya hanya menjadi pengimport teori dan pengagum pemikiran luar, tetapi perlu kembali menggali khazanah epistemologi Islam, memahaminya dengan mendalam dan mengembangkannya bagi menjawab persoalan zaman moden.

Tamadun ilmu tidak lahir daripada manusia yang sekadar menghafal maklumat. Ia lahir daripada umat yang mampu berfikir, menilai, berhujah dan membezakan antara ilmu dengan sangkaan.

Inilah antara warisan besar Ilmu Kalam yang perlu diangkat semula dalam membina umat yang berilmu, kritis dan beradab.

Muhammad Nurhakim Bin Mohd Razali
Pegawai Hal Ehwal Islam IIDM

#IlmuKalam
#EpistemologiIslam
#AqaidAlNasafiyyah
#AhlAlHaqq
#Asbabilmu
#AkalDanWahyu
#PemikiranKritis
#Mantiq
#TradisiIlmu
#InstitutIlmuDarulMakmur
#IIDM

View original on Facebook