
Peranan Ulama dan Agamawan dalam Memperkasakan Penghayatan Fiqh al-Watan
Peranan ulama dan agamawan dalam memupuk penghayatan fiqh al-watan adalah amat signifikan. Hal ini kerana mereka berfungsi sebagai paksi yang menghubungkan elemen iman, ilmu, dan amal dalam mendepani cabaran masyarakat kontemporari. Dalam konteks Negeri Pahang, fiqh al-watan bukan sekadar teori pembangunan yang bersifat akademik, malah dimanifestasikan melalui tiga teras utama, kedaulatan (Kesultanan dan agama), kerukunan (adat resam dan sosial), serta kelestarian (alam sekitar). Justeru, fiqh al-watan berperanan sebagai panduan untuk menghayati konsep cinta kepada tanah air (hubbul watan) sebagai satu "manhaj kehidupan" yang berpaksikan syariat, kebudayaan, dan tanggungjawab manusia sebagai khalifah di muka bumi.
Pertama, ulama dan agamawan bertindak sebagai murabbi ummah yang membina kesedaran bahawa cinta akan tanah air merupakan sebahagian daripada tuntutan agama. Dalam kerangka fiqh al-watan, hubbul watan diterjemahkan sebagai kesetiaan kepada elemen-elemen kenegaraan melalui ketaatan kepada Ulil Amri (Raja Pemerintah). Menerusi Program Fiqh al-Watan, masyarakat dididik untuk menghormati institusi beraja dan menghayati undang-undang negara, di samping memupuk kecintaan terhadap tanah air secara beradab. Pada tahap ini, ulama tidak sekadar menyentuh aspek ketaatan sebagai retorik politik, tetapi menegaskan bahawa ketaatan tersebut merupakan satu amanah syariah yang menggabungkan realiti semasa dengan prinsip tauhid serta kepimpinan yang sahih.
Kedua, ulama dan agamawan berperanan sebagai benteng yang memelihara manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah dalam penghayatan fiqh al-watan. Hal ini penting bagi memastikan masyarakat tidak terjerumus ke dalam fahaman ekstremisme-radikal, sekular-metarial yang jauh dari konsep "wasatiyyah" dalam Islam. Peranan ini memastikan fiqh al-watan tidak menjadi slogan kosong, sebaliknya dibina atas ilmu Fardhu 'Ain (tauhid-fekah-tasawuf) yang kukuh, memahami dan menghayati akidah, memurnikan niat, serta menilai pelaksanaan hukum berdasarkan maqasid al-syariah, urf sahih , dan fiqh bi’ah. Melalui kerangka ini, masyarakat mampu membezakan antara tradisi yang selari dengan syarak dengan unsur-unsur yang bercanggah dengan nilai akhlak dan keadilan Islam.
Ketiga, ulama dan agamawan berfungsi sebagai penterjemah prinsip fiqh ke dalam realiti pentadbiran dan kehidupan seharian. Usaha kerajaan kesultanan Negeri Pahang dalam memperkasakan fiqh al-watan membuktikan bahawa tadbir urus negeri telah mengintegrasikan elemen maqasid al-syariah, siyasah syar’iyyah, urf sahih, dan fiqh bi’ah merentasi pelbagai sektor termasuk agama, pendidikan, ekonomi, sosial, pendigitalan, serta kelestarian alam. Di sinilah ulama memainkan peranan strategik dengan membimbing umat agar setiap dasar awam dan program pembangunan difahami sebagai wasilah untuk mencapai maslahah, dan bukannya sekadar berpaksikan indikator ekonomi semata-mata.
Keempat, ulama memainkan peranan dalam membina kerukunan masyarakat berbilang kaum dan agama melalui pemurnian adat resam serta pembinaan adab sosial. Fiqh al-watan menegaskan bahawa al-adah bukanlah unsur asing, malah merupakan saluran kontekstualisasi hukum syarak yang mampu melahirkan solidariti. Ulama mendidik masyarakat agar meletakkan "adat" pada kedudukan yang sewajarnya sebagai identiti watan dan pendorong kebersamaan selagi tidak bertentangan dengan syariat. Dalam kapasiti ini, ulama bertindak sebagai ejen perdamaian yang mencegah ekstremisme, memelihara keseimbangan kepentingan kelompok, serta menghidupkan budaya muafakat yang selari dengan prinsip syura dan etika amanah.
Kelima, ulama memperkukuh fiqh al-watan melalui kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar. Alam sekitar merupakan amanah khalifah yang wajib dipelihara demi kelangsungan hidup. Ulama menghubungkan konsep hifz al-bi’ah dengan tanggungjawab ekologi, ekonomi, dan teknologi. Oleh itu, kelestarian bukanlah agenda sampingan, tetapi sebahagian daripada maqasid untuk melindungi generasi masa depan, mengelakkan kemudaratan, serta memastikan pembangunan tidak menzalimi ekosistem. Apabila fiqh bi’ah diterapkan, tindakan seperti perlindungan hutan dan amalan hijau akan dihayati sebagai satu bentuk ibadah sosial.
Akhir sekali, ulama berperanan sebagai jambatan penghubung antara rakyat dengan pemerintah dalam semangat siyasah syar’iyyah ASWJ. Mereka berfungsi sebagai perantara yang menjelaskan dasar-dasar kerajaan agar selari dengan tuntutan syarak, di samping memastikan integriti penjawat awam sentiasa terpelihara. Dalam mendepani cabaran kontemporari, dialog antara ulama dan umara perlu diperkukuh supaya fiqh al-watan tidak terhenti pada tahap teori, tetapi benar-benar membimbing akauntabiliti beretika, pencegahan rasuah, serta tadbir urus yang beramanah.
Kesimpulannya, fiqh al-watan menuntut penghayatan yang holistik merangkumi aspek kedaulatan, kerukunan, dan kelestarian. Ulama dan agamawan merupakan pemangkin utama dalam proses ini kerana mereka mengurus jiwa masyarakat menerusi pendidikan akidah dan akhlak, memberikan kefahaman hukum melalui usul fiqh dan maqasid, serta menterjemahkan prinsip syariah ke dalam tatacara hidup bertanah air. Dengan integrasi ilmu, adab, dan tindakan, fiqh al-watan akan membentuk Negeri yang Berdaulat, Bersyariat dan Beradat.
Penulisan Oleh:- Fahmi bin Zahari
Peg.Hal Ehwal Islam (Pembangunan Turath)
Institut Ilmu Darul Makmur
Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang
#FiqhAlWatan
#KerajaanKesultanan
#DaulahIslam
#PeradabanPahang
#556TahunKesultanan
#PeradabanIslamPahang
#KerajaanNegeriPahang





