PERSIDANGAN PENGETUA DAN PENGUSAHA MAAHAD TAHFIZ, MADRASAH DAN PONDOK NEGERI PAHANG DIADAKAN BAGI MENJUNJUNG TITAH KEBAWAH DULI PADUKA BAGINDA SULTAN PAHANG.
KUANTAN, 20 September 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah telah berkenan berangkat mencemar duli menyempurnakan perasmian Persidangan Pengetua Dan Pengusaha Maahad Tahfiz, Madrasah Dan Pondok Negeri Pahang yang diadakan pada 18 September 2024, Rabu di Hotel Grand Darulmakmur, Kuantan. Turut sama mengiringi Paduka Baginda ialah Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Persidangan Pengetua Dan Pengusaha Maahad Tahfiz, Madrasah dan Pondok Negeri Pahang ini dianjurkan buat julung kalinya oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) diadakan bagi menjunjung titah Paduka Baginda yang berhasrat untuk bersemuka dengan Pengetua dan Pengusaha Maahad Tahfiz, Madrasah dan Pondok di negeri ini. Persidangan yang diadakan selama dua hari berturut yang bermula pada Rabu, 18 September – Khamis, 19 September 2024 ini telah berjaya memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada Pengetua dan Pengusaha Maahad Tahfiz, Madrasah dan Pondok di Negeri Pahang tentang Peranan MUIP Dalam Mengawal Sekolah Agama Islam Bukan Milik Kerajaan, Dasar Pendidikan Tahfiz Negara Dan Laluan Pendidikan Agama Islam Negeri Pahang, Isu-Isu Kesihatan Di Institusi Pendidikan, Garis Panduan Keselamatan Dan Pencegahan Kebakaran, Isu-Isu Tanah, Pembinaan Bangunan, Perwakafan Tanah Dan Mutawwali Khas, Isu Penjagaan Dan Akta Kanak-Kanak 2001, Laluan Pendidikan Dan Peluang Melanjutkan Pengajian SPM Dan Program-Program Pengajian Tahfiz Yayasan Pahang. Persidangan ini berfungsi sebagai platform untuk berkongsi pengalaman dan pandangan sekaligus memupuk kerjasama antara pelbagai agensi kerajaan dan institusi pendidikan.
Dalam majlis perasmian tersebut, Paduka Baginda bertitah bahawa “Saya telah menitah kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), menitah kepada anakanda saya, Tengku Panglima Raja supaya kita menubuhkan satu Institut, Institut Ilmu Darul Makmur yang mana akan menjadi satu badan yang boleh menjemput pakar-pakar agama, pakar-pakar profesional untuk mengkaji dan meneliti dan mengurus perjalanan semua institusi pembelajaran supaya dapat dikelola dengan sebaik mungkin.”
“In shaa Allah, apabila tertubuhnya Institut Ilmu Darul Makmur ini, ia sebagai pusat ilmu dan peradaban bagi negeri Pahang. Saya percaya ia akan menjadi pemangkin bagi memartabatkan negeri Pahang sebagai pusat rujukan ilmu dan peradaban islam yang dikenali diseluruh dunia pada abad ke-21 ini.”
KDPB Sultan Pahang turut berkenan melawat pameran buku-buku kurikulum wajib maahad tahfiz, madrasah dan pondok negeri Pahang yang telah dipersembahkan oleh Pengarah Eksekutif Institut Ilmu Darul Makmur, Prof Madya Dr. Amran bin Muhammad.
Persidangan ini telah membuktikan komitmen yang tinggi daripada semua pihak dalam memperkukuhkan institusi pendidikan agama Islam di negeri Pahang. Semoga matlamat untuk meningkatkan mutu pendidikan pelajar-pelajar maahad tahfiz, madrasah dan pondok dapat dicapai.
“MEMBUDAYAKAN ILMU, MEMPERKASAKAN WATAN”