
PROGRAM FELO: MUIP PERKUKUH PEMBANGUNAN ANAK-ANAK PAHANG SEBELUM MELANGKAH KE TIMUR TENGAH
Pekan, 7 Julai 2026- Program FELO (Fiqh Al-Watan; Education & Leadership Outreach) menerusi Bengkel Persediaan Pelajar Ke Timur Tengah Tahun 2026 diteruskan dengan sesi perkongsian bertajuk Peranan MUIP Dalam Pembangunan Pelajar Ke Timur Tengah yang disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Mohd Azri bin Salehuddin, Ketua Unit Pendidikan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
Sesi ini memberi pendedahan kepada anak-anak Pahang berhubung peranan MUIP dalam menyantuni, membimbing dan menyokong pembangunan pendidikan pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke Timur Tengah. Perkongsian tersebut turut menekankan bahawa perjalanan menuntut ilmu di luar negara bukan sahaja memerlukan persediaan akademik, bahkan turut menuntut kekuatan sahsiah, adab dan kefahaman terhadap amanah sebagai penuntut ilmu.
Dalam sesi tersebut, Ustaz Mohd Azri bin Salehuddin turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM) dalam melaksanakan inisiatif yang memberi penekanan kepada pembinaan jati diri, kefahaman watan dan persediaan sahsiah anak-anak Pahang sebelum mereka melanjutkan pengajian ke Timur Tengah.
Melalui perkongsian ini, para peserta diajak memahami bahawa pembangunan pelajar tidak terhenti pada aspek bantuan dan sokongan semata-mata, sebaliknya turut merangkumi pembinaan disiplin diri, kepimpinan, kematangan berfikir dan tanggungjawab untuk kembali menyumbang kepada masyarakat. Dalam konteks anak-anak Pahang, peluang melanjutkan pengajian ke Timur Tengah perlu dilihat sebagai amanah besar untuk membina diri sebagai generasi pelapis negeri yang berilmu, beradab dan berjati diri.
Program kemudiannya diteruskan dengan sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang membincangkan tajuk Krisis Umat Islam & Cabaran Timur Tengah bersama para fasilitator yang berpengalaman menuntut ilmu di Timur Tengah. Melalui sesi LDK ini, para peserta diberi ruang untuk berbincang, bertukar pandangan dan menilai realiti cabaran yang bakal mereka hadapi dalam suasana pengajian di luar negara. Perbincangan tersebut menyentuh kepelbagaian pemikiran, perbezaan budaya, cabaran sosial, isu umat Islam serta keperluan memiliki asas ilmu dan jati diri yang kukuh sebelum berada dalam persekitaran baharu.
Penglibatan para fasilitator yang berpengalaman belajar di Timur Tengah turut memberi nilai tambah apabila mereka berkongsi pengalaman sebenar berhubung kehidupan pelajar, cabaran menyesuaikan diri, kepentingan menjaga adab serta keperluan memilih lingkungan ilmu dan pergaulan yang baik. Perkongsian ini membantu para peserta memahami bahawa kejayaan sebagai penuntut ilmu tidak hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi juga melalui kematangan dalam membawa diri, menjaga akhlak dan menilai cabaran secara bijaksana.
Sesi ini diharap dapat memperkukuh persediaan anak-anak Pahang sebelum melanjutkan pengajian ke Timur Tengah, khususnya dalam memahami peranan MUIP, realiti cabaran umat Islam serta kepentingan membina jati diri watan yang berpaksikan ilmu, adab dan tanggungjawab kepada agama, negeri dan tanah air.
“𝐌𝐄𝐌𝐁𝐔𝐃𝐀𝐘𝐀𝐊𝐀𝐍 𝐈𝐋𝐌𝐔, 𝐌𝐄𝐌𝐏𝐄𝐑𝐊𝐀𝐒𝐀𝐊𝐀𝐍 𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍”
#FiqhalWatan
#MembudayakanIlmu
#KerajaanKesultanan
#DaulahIslam
#PeradabanPahang
#555tahunKesultanandan
#PeradabanIslamPahang
#SUK
#KerajaanNegeriPahang
#PahangBerdaulat
#PahangBersyariat
#PahangBeradat





