
PROGRAM FELO PERSIAP 134 PELAJAR TIMUR TENGAH DENGAN KEFAHAMAN FIQH AL-WATAN
Program FELO (Fiqh Al-Watan; Education & Leadership Outreach) menerusi Bengkel Persediaan Pelajar Timur Tengah Tahun 2026 merupakan program tahunan yang dianjurkan sebagai persediaan kepada para pelajar sebelum berangkat melanjutkan pengajian ke Timur Tengah.
Seramai 134 orang pelajar yang bakal menyambung pengajian ke Mesir, Jordan, Maghribi dan Yaman telah menyertai program ini bagi mendapatkan pendedahan awal berkaitan ilmu, kepimpinan, pembentukan jati diri serta kefahaman watan sebelum memulakan perjalanan akademik di luar negara.
Dalam program tersebut, sesi pengisian dimulakan dengan pembentangan Pengenalan Inisiatif Fiqh Al-Watan oleh Prof. Madya Dr. Amran bin Muhammad, Pengarah Eksekutif Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM). Pembentangan tersebut memberi penekanan terhadap kepentingan para pelajar memahami hubungan antara agama, ilmu, kepimpinan dan kecintaan kepada tanah air sebagai asas pembentukan jati diri penuntut ilmu.
Melalui pembentangan tersebut, beliau menegaskan bahawa penguasaan fardhu ain tidak wajar dilihat sebagai ilmu asas semata-mata, sebaliknya merupakan tunjang utama dalam membentuk kerangka pemikiran, disiplin diri dan kefahaman agama yang seimbang. Dalam konteks pelajar yang bakal menuntut ilmu di luar negara, kefahaman fardhu ain yang tersusun amat penting agar mereka tidak hanya cemerlang dalam pengajian, tetapi turut memiliki asas akidah, ibadah dan akhlak yang kukuh.
Beliau turut menekankan bahawa kitab-kitab yang telah disusun oleh para ulama dalam tradisi keilmuan turath berperanan sebagai panduan penting dalam membina kefahaman agama yang benar. Tradisi ini perlu dihargai kerana ia bukan sekadar warisan ilmu, tetapi merupakan hasil susunan ilmiah para ulama yang membimbing umat memahami agama secara tertib, mendalam dan berpaksikan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Pembentangan tersebut turut mengajak para peserta melihat kepentingan ilmu turath dalam mendepani cabaran pemikiran semasa. Para pelajar yang bakal berada dalam persekitaran baharu perlu memiliki asas ilmu yang mantap supaya mampu menilai pelbagai idea, aliran dan pandangan dengan cermat tanpa mudah terpengaruh oleh kefahaman yang tidak seimbang atau terpisah daripada tradisi keilmuan Islam.
Program ini diharap dapat menjadi platform awal dalam membina kefahaman para pelajar sebelum meneruskan pengajian di Timur Tengah, agar mereka mampu membawa imej penuntut ilmu yang berdisiplin, beradab dan berwawasan.
Melalui penganjuran program seumpama ini, para pelajar turut diharapkan dapat menjadi generasi pelapis yang mampu menggabungkan kekuatan ilmu, kepimpinan dan nilai watan dalam menyumbang kepada pembangunan ummah serta tanah air pada masa hadapan.
“𝐌𝐄𝐌𝐁𝐔𝐃𝐀𝐘𝐀𝐊𝐀𝐍 𝐈𝐋𝐌𝐔, 𝐌𝐄𝐌𝐏𝐄𝐑𝐊𝐀𝐒𝐀𝐊𝐀𝐍 𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍”
#FiqhalWatan
#Membudayakanlmu
#KerajaanKesultanan
#DaulahIslam
#PeradabanPahang
#555tahunKesultanandan
#PeradabanIslamPahang
#SUK
#KerajaanNegeriPahang
#PahangBerdaulat
#PahangBersyariat
#PahangBeradat





