
PROGRAM FELO TIMUR TENGAH 2026 PERKUKUH JATI DIRI WATAN ANAK-ANAK PAHANG MELALUI PEMBELAJARAN DI MUZIUM
Pekan, 7 Julai 2026-Sesi kedua Program FELO (Fiqh Al-Watan; Education & Leadership Outreach) menerusi Bengkel Persediaan Pelajar Ke Timur Tengah Tahun 2026 diteruskan dengan lawatan ilmiah ke Muzium Sultan Abu Bakar dan Muzium Masjid Sultan Abdullah sebagai pendekatan Experiential Learning Laboratory.
Lawatan ini memberi ruang kepada anak-anak Pahang yang bakal melanjutkan pengajian ke Timur Tengah untuk memahami Fiqh Al-Watan tidak hanya melalui kerangka teori, tetapi melalui pengalaman melihat sejarah, institusi, budaya dan warisan yang membentuk identiti negeri Pahang.
Menerusi lawatan ke Galeri Kesultanan, Adat Resam dan Alam Sekitar di Muzium Sultan Abu Bakar, para peserta didedahkan dengan warisan pemerintahan, adat dan kehidupan masyarakat Pahang yang mempunyai hubungan rapat dengan pembentukan jati diri watan. Pendedahan ini penting agar para pelajar memahami bahawa kecintaan kepada watan perlu lahir daripada pengetahuan terhadap sejarah, asal usul dan peranan institusi yang membentuk kehidupan bernegeri.
Di Muzium Masjid Sultan Abdullah pula, para peserta diberi pendedahan tentang perkembangan ilmu fardhu ain di negeri Pahang melalui peranan institusi masjid, para ulama, guru agama serta tradisi pengajian masyarakat. Hal ini memperlihatkan bahawa ilmu Islam yang bakal mereka dalami di Timur Tengah mempunyai kesinambungan dengan tradisi keilmuan yang telah lama berakar dalam masyarakat Pahang.
Melalui pengalaman di muzium, para peserta tidak hanya melihat bahan pameran sebagai tinggalan sejarah, sebaliknya diajak menilai bagaimana warisan kesultanan, adat resam, institusi masjid dan tradisi ilmu membentuk kerangka kehidupan beragama di Pahang. Kefahaman ini penting supaya anak-anak Pahang tidak terpisah daripada akar masyarakat sendiri ketika menuntut ilmu di luar negara.
Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman ini turut menegaskan bahawa pembinaan jati diri watan Pahang tidak memadai dengan pencapaian akademik semata-mata. Sebagai bakal penuntut ilmu di Timur Tengah, para peserta perlu memiliki kefahaman yang matang terhadap sejarah negeri, kedudukan agama dalam masyarakat, serta tanggungjawab untuk membawa pulang ilmu yang bermanfaat kepada agama, negeri dan tanah air.
Sesi ini diharap dapat memperkukuh kefahaman peserta terhadap Fiqh Al-Watan melalui gabungan ilmu, sejarah dan pengalaman lapangan. Melalui pendedahan ini, anak-anak Pahang diharap mampu membina keperibadian sebagai penuntut ilmu yang beradab, berakar dengan warisan negeri dan bersedia menyumbang kepada pembangunan ummah serta watan pada masa hadapan.
“𝐌𝐄𝐌𝐁𝐔𝐃𝐀𝐘𝐀𝐊𝐀𝐍 𝐈𝐋𝐌𝐔, 𝐌𝐄𝐌𝐏𝐄𝐑𝐊𝐀𝐒𝐀𝐊𝐀𝐍 𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍”
#FiqhalWatan
#MembudayakanIlmu
#KerajaanKesultanan
#DaulahIslam
#PeradabanPahang
#555tahunKesultanandan
#PeradabanIslamPahang
#SUK
#KerajaanNegeriPahang
#PahangBerdaulat
#PahangBersyariat
#PahangBeradat





