
PROGRAM FIQH AL-WATAN
GURU TADIKA PINTAR AL-QURAN MUIP
Program Induksi Fiqh Al-Watan & Pemantapan Pengajaran Al-Quran Guru TPQ MUIP yang berlangsung pada 9–10 Jun 2026 di Pekan menghimpunkan guru-guru Tadika Pintar Al-Quran (TPQ) sebagai pendidik awal Islam yang berperanan membentuk asas ilmu, sahsiah dan jati diri generasi muda di negeri Pahang.
Program ini memberi penekanan kepada pengukuhan kefahaman Fiqh Al-Watan sebagai kerangka yang membentuk kesedaran tanggungjawab guru dalam mendidik masyarakat berteraskan nilai Islam, kesejahteraan negara dan kecintaan terhadap watan.
Antara pengisian utama ialah sesi “Pengenalan Inisiatif Fiqh Al-Watan & Fardhu Ain Asas Pembinaan Watan” yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Amran bin Muhammad. Sesi ini menekankan kepentingan penguasaan Fardhu Ain dalam kalangan guru TPQ meliputi aspek akidah, ibadah, adab dan akhlak Islam sebagai asas yang perlu difahami, dihayati dan diamalkan sebelum disampaikan kepada murid. Guru turut diingatkan bahawa pendidikan Fardhu Ain bukan sekadar penyampaian ilmu, tetapi proses pembinaan jiwa dan amalan harian yang memerlukan teladan yang baik daripada pendidik.
Program turut diserikan dengan sesi pembelajaran berasaskan pengalaman di Muzium Masjid Sultan Abdullah dan Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan. Melalui lawatan berpandu dan pendedahan kepada sejarah negeri Pahang, warisan Kesultanan Melayu serta perkembangan peradaban Islam, para guru dapat menghayati hubungan antara sejarah, budaya, agama dan identiti watan. Inisiatif Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM-MUIP) ini diharap dapat memperkasa agenda Fiqh Al-Watan serta memperkukuhkan peranan guru TPQ MUIP dalam melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak mulia dan cintakan agama, negeri serta institusi Kesultanan.
“𝐌𝐄𝐌𝐁𝐔𝐃𝐀𝐘𝐀𝐊𝐀𝐍 𝐈𝐋𝐌𝐔, 𝐌𝐄𝐌𝐏𝐄𝐑𝐊𝐀𝐒𝐀𝐊𝐀𝐍 𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍”
#Fiqh al-Watan
#Membudayakanlmu
#KerajaanKesultanan
#DaulahIslam
#PeradabanPahang
#555tahunKesultanandan
#PeradabanIslamPahang
#SUK
#KerajaanNegeriPahang
#PahangBerdaulat
#PahangBersyariat
#PahangBeradat





