SIRI KULIAH FIQH AL-WATAN
Tatacara Kehidupan Bertanah Air Umat Islam Negeri Pahang

📚Kuliah 9: LATAR BELAKANG KRISIS UMAT ISLAM SEMASA

💻Platform : Facebook Institut Ilmu Darul Makmur

🎤Oleh Prof. Madya Dr. Amran Bin Muhammad,
Pengarah Eksekutif Institut Ilmu Darul Makmur –
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (IIDM-MUIP)

Kuliah kesembilan dalam siri Fiqh Al-Watan ini membedah latar belakang krisis pemikiran yang melanda umat Islam kontemporari. Fokus diberikan kepada bagaimana pengaruh ideologi asing, kehampaan naratif besar kehidupan, kegagalan memahami sistem demokrasi secara kritis, dan ketiadaan projek pemerkasaan telah menghalang umat Islam daripada menghayati agama secara menyeluruh sebagai hamba dan khalifah Allah. Kuliah ini juga menjelaskan bagaimana Fiqh Al-Watan hadir sebagai projek pemerkasaan (empowerment) untuk memulihkan krisis tersebut.

Krisis Pemikiran Umat Islam

Krisis pemikiran semasa berpunca daripada pengaruh luar (pemikiran Barat, sekularisme) serta kekeliruan dalaman yang menghalang umat Islam melihat Islam secara bersepadu. Sama ada Islam difahami secara literal zahiriah semata-mata tanpa tafsiran mendalam, atau dipisahkan daripada urusan dunia dan akhirat. Fiqh Al-Watan digagas sebagai ikhtiar mengatasi krisis ini, membina wacana siasah dan politik berdasarkan ilmu daripada tradisi keilmuan Islam yang panjang, bukan sekadar sentimen atau emosi.

Empat Bentuk Krisis Pemikiran

a) Kekeliruan Pemikiran & Kebanjiran Maklumat

Umat Islam kehilangan metodologi dan kerangka berfikir kritis untuk menapis lambakan maklumat tanpa batas. Akibatnya, ideologi-ideologi bersifat dogmatik (komunis, sosialis, liberal, sekular, pluralis, pasca moden) mudah meresap dan dijadikan asas cara pandang terhadap dunia.

b) Kehampaan Naratif

Jalan cerita kehidupan umat Islam menjadi sempit. Ini termasuk:
– Naratif Sejarah Watan: Dimumukkan bahawa usia negara hanya bermula 1957, sedangkan sejarah kedaulatan daulah Islam di Pahang menjangkau lebih 556 tahun. Naratif ini juga sering dikaburi dengan gambaran kelemahan dan keburukan Kesultanan Islam oleh para orientalis dan pemikir sekular.

– Penggelapan Tradisi Keilmuan: Seruan "kembali kepada al-Quran dan Sunnah" tanpa manhaj dan mazhab (akidah, fiqah, tasawuf) telah memotong tradisi keilmuan Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah yang kaya dan berusia lebih seribu tahun.
– Penyamaan Simplistik: Konsep imamah/kesultanan disamakan begitu sahaja dengan monarki Barat, atau syura disamakan dengan demokrasi tanpa melihat perbezaan falsafah yang mendasar.

c) Kegagalan Demokrasi & Keperluan Sikap Kritis

Fiqh Al-Watan tidak menolak demokrasi secara total, tetapi menuntut sikap berhemat, kritis, dan matang. Demokrasi tidak boleh diterima secara pukal tanpa meneliti falsafah dan kegagalannya.

d) Ketiadaan Projek Pemerkasaan

Umat Islam kehilangan satu projek menyeluruh yang menggabung jalin peranan hamba dan khalifah, serta menyatukan tujuan duniawi dan ukhrawi. Krisis ini terzahir melalui kecairan jati diri , krisis kepercayaan pada autoriti.

Krisis Grand Naratif

Kemuncak krisis ialah kehilangan "naratif besar kehidupan" (grand narrative), iaitu kefahaman tentang asal usul, peranan, dan matlamat akhir kehidupan manusia. Pemikiran pasca moden cuba melenyapkan kesedaran ini, menjadikan manusia seperti robot yang diprogramkan oleh pihak lain. Fiqh Al-Watan datang untuk memulihkan "program kehidupan" yang sebenar sebagaimana diatur oleh Allah sebagai Pencipta, pada peringkat individu dan kolektif (daulah/watan).

“𝐌𝐄𝐌𝐁𝐔𝐃𝐀𝐘𝐀𝐊𝐀𝐍 𝐈𝐋𝐌𝐔, 𝐌𝐄𝐌𝐏𝐄𝐑𝐊𝐀𝐒𝐀𝐊𝐀𝐍 𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍”

#Fiqh al-Watan
#Membudayakanlmu
#KerajaanKesultanan
#DaulahIslam
#PeradabanPahang
#555tahunKesultanandan
#PeradabanIslamPahang
#SUK
#KerajaanNegeriPahang
#PahangBerdaulat
#PahangBersyariat
#PahangBeradat

View original