Skip navigation
Laman UtamaMengenai KamiMedia IIDM-MUIPAgensi Pendidikan

SULTAN PEWARIS ABSAH KHALIFAH, TERAJU PEMERINTAHAN ISLAM DI NEGERI PAHANG

BERA, 3 NOVEMBER 2026 — Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM-MUIP) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang telah menganjurkan Program Pencerahan Fiqh Al-Watan Peringkat Daerah Bera Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera.

Program yang memfokuskan kepada pemerkasaan jati diri watan Pahang menerusi penghayatan Fiqh al-Watan ini menghimpunkan kepimpinan masjid, pengetua sekolah, wakil Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), ketua-ketua jabatan serta wakil agensi kerajaan yang merangkumi sektor keselamatan, pendidikan, kesihatan dan pembangunan masyarakat sekitar Daerah Bera. Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh YH. Dato’ Ahmad Nasim bin Dato’ Haji Mohd Sidek, DIMP., Pegawai Daerah Bera.

Pengarah Eksekutif IIDM, Prof. Madya Dr. Amran bin Muhammad, dalam pembentangannya menjelaskan kedudukan Sultan sebagai Khalifah, Ulil Amri dan Imam dalam kerangka pemerintahan Islam, dengan institusi Kesultanan menjadi teraju pemerintahan di negeri Pahang. Beliau menegaskan bahawa Sultan bukan sekadar simbol atau lambang pemerintahan, sebaliknya mempunyai kedudukan dan peranan eksekutif yang sah dalam memimpin serta mentadbir negeri.

Menurut beliau, institusi Kesultanan memikul amanah penting dalam memelihara agama, akidah, ibadah dan akhlak rakyat, selain memastikan pembangunan pendidikan dan penyebaran ilmu diberikan perhatian. Dalam konteks Pahang, amanah pemerintahan ini turut dilaksanakan melalui struktur institusi yang merangkumi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Jabatan Agama Islam Pahang serta Jabatan Mufti Negeri Pahang.

Beliau turut mengingatkan bahawa pengaruh ideologi politik luar yang tidak mengambil kira sejarah dan realiti pemerintahan tempatan berpotensi menggugat institusi Kesultanan serta memecahbelahkan kesatuan pemikiran, perasaan dan tindakan umat Islam yang berteraskan Wahdatul Fikr, Qalb dan Amal. Pergolakan politik di Libya, Iraq dan Syria dijadikan peringatan tentang kesan ketidakstabilan pemerintahan serta perubahan institusi negara.

Sehubungan itu, masyarakat perlu memahami sejarah, kedaulatan dan struktur pemerintahan negeri sebelum menerima sebarang pendekatan politik dari luar. Melalui gagasan Fiqh al-Watan, institusi Kesultanan perlu difahami sebagai sebahagian daripada kesinambungan tradisi pemerintahan Islam Pahang yang berperanan memelihara agama, menyatukan masyarakat dan menjamin kelangsungan peradaban watan.

“𝑴𝑬𝑴𝑩𝑼𝑫𝑨𝒀𝑨𝑲𝑨𝑵 𝑰𝑳𝑴𝑼, 𝑴𝑬𝑴𝑷𝑬𝑹𝑲𝑨𝑺𝑨𝑲𝑨𝑵 𝑾𝑨𝑻𝑨𝑵”

#Fiqh al-Watan
#Membudayakanlmu
#KerajaanKesultanan
#DaulahIslam
#PeradabanPahang
#556tahunKesultanandan
#PeradabanIslamPahang
#SUK
#KerajaanNegeriPahang
#PahangBerdaulat
#PahangBersyariat
#PahangBeradat

View original on Facebook

Share