Skip to main content
Author

Oleh: Nik Mohd Sofa’Urrahman Bin Nik Mohd Rosdi Pegawai Penyelidikan Isu-Isu Semasa,
Institut Ilmu Darul Makmur, Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang.

Abstrak

Dalam era moden yang dicirikan oleh kepelbagaian budaya, agama dan ideologi, prinsip tasāmuḥ (toleransi) dan taʿāyush (hidup bersama secara harmoni) menjadi kunci kelangsungan masyarakat majmuk. Islam mengiktiraf kepelbagaian ini sebagai sunnah Allah dalam ciptaan-Nya. Namun begitu, keterbukaan dalam menerima perbezaan tidak bersifat mutlak; ia mempunyai batas-batas yang ditetapkan oleh syarak agar tidak mengorbankan asas akidah, syariat dan maruah umat. Makalah ini menyorot batasan tasāmuḥ dan taʿāyush dalam kerangka fiqh al-waṭan, dengan meneliti peranannya dalam tiga domain utama: al-sulṭah (kedaulatan kuasa), al-ʿādah (adat setempat), dan al-bīʾah (persekitaran dan sosial). Ia menegaskan bahawa prinsip-prinsip ini bukan sahaja bertujuan menjaga kestabilan masyarakat, tetapi juga merupakan wasilah kepada maqāṣid al-syarīʿah.

 

Pendahuluan

 

Islam sebagai agama rahmat untuk seluruh alam sentiasa menjunjung prinsip keadilan, ihsan dan toleransi. Dalam konteks sosial-politik kontemporari, perbincangan mengenai tasāmuḥ dan taʿāyush mendapat perhatian semula, terutamanya apabila umat Islam hidup dalam negaranegara majmuk atau berdepan dengan cabaran globalisasi budaya. Walau bagaimanapun, prinsip ini perlu difahami dalam kerangka al-muwāzanah bayna al-taʿāyush wa al-ḥifẓ ʿalā al-huwiyyah — iaitu keseimbangan antara hidup bersama dan pemeliharaan identiti Islam. Di sinilah munculnya keperluan kepada fiqh al-waṭan – satu pendekatan fiqh yang berakar dalam realiti tempatan tetapi tetap berpaksikan prinsip syariah.

 

Konsep Tasāmuḥ dan Taʿāyush: Antara Rahmat dan Had

 

Tasāmuḥ dalam Islam tidak bererti menafikan kebenaran Islam atau menerima kesamarataan mutlak antara akidah. Sebaliknya, ia bermaksud memberikan ruang hidup, keadilan, dan kebebasan beragama kepada bukan Muslim sebagaimana yang dipraktikkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam Sahifah Madinah. Allah SWT berfirman:

 

“Tiada paksaan dalam agama; sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat…” (al-Baqarah: 256)

 

Allah SWT berfirman (Surah al-Mumtahanah: 8–9):

 

﴿ الَ يا ْن اها ُك ُم هاللَُّ اع ِن اله ِذي ان لا ْم يُقااتِلُو ُك ْم فِي ال ِدي ِن اولا ْم يُ ْخ ِر ُجو ُك ْم ِم ْن ِدياا ِر ُك ْم أا ْن تابا ُّروهُ ْم اوتُ ْق ِس ُطوا إِلا ْي ِه ْم ۚ إِ هن هاللَّا يُ ِح ُّب ا ْل ُم ْق ِس ِطي ان﴾

 

ِإ ﴿إِنه اما يا ْن اها ُك ُم هاللَُّ اع ِن اله ِذي ان قااتالُو ُك ْم فِي ال ِدي ِن اوأا ْخ ار ُجو ُك ْم ِم ْن ِدياا ِر ُك ْم او اظا اه ُروا اعلا ٰى ْخ ارا ِج ُك ْم أا ْن تا اوله ْوهُ ْم ۚ او ام ْن ياتا اوله ُه ْم فاأُوٰلائِ اك هُ ُم ال هظا ِل ُمو ان﴾

 

Ayat ini menjadi asas penting dalam membina konsep tasāmuh dan ta‘āyush antara umat Islam dan mereka yang berlainan agama dan bangsa. Allah SWT menjelaskan bahawa tidak ada larangan untuk orang Islam berbuat baik (al-birr) dan berlaku adil (al-qisṭ) terhadap golongan bukan Islam yang tidak memerangi umat Islam dan tidak mengusir mereka dari tempat tinggal mereka.

 

Tasamuh dalam Islam bukan sekadar bertolak ansur, tetapi merangkumi kebenaran untuk berinteraksi, berbuat baik, dan menyantuni orang bukan Islam yang tidak bermusuh dengan umat Islam. Ini ditegaskan melalui perintah untuk ” – “أن تبروهمberbuat baik kepada mereka – yang menunjukkan keharusan menjalinkan hubungan sosial dan kekeluargaan secara aman. Ayat ini diturunkan setelah Asmā’ binti Abu Bakr bertanya kepada Nabi SAW tentang ibunya yang bukan Islam tetapi datang menziarahinya. Nabi SAW menjawab: “( “نعم، ِصليهاYa, sambunglah hubungan silaturahim dengannya).

 

Disebut juga bahawa ayat ini diturunkan mengenai beberapa kabilah Arab seperti Khuzā‘ah, Bani al-Ḥārith bin Ka‘b, Kinānah, dan Muzaynah, yang membuat perjanjian damai dengan Nabi Muhammad SAW. Ini menandakan prinsip ta‘āyush dalam Islam mempunyai dimensi politik dan sosial, iaitu menerima perdamaian dan menghormati perjanjian walaupun berbeza agama.

 

Walau bagaimanapun, ayat berikutnya menggariskan sempadan toleransi, iaitu terhadap mereka yang memerangi umat Islam atas dasar agama, mengusir umat Islam dari tempat tinggal mereka dan bekerjasama dengan musuh untuk mengusir umat Islam. Dalam keadaan ini, larangan diberikan untuk menjalin hubungan kepercayaan (tawalli) yang boleh mengancam identiti dan keselamatan umat Islam. Ini menggambarkan bahawa tasamuh dan ta‘āyush bukan bermakna menyerah diri atau bersikap naif, tetapi ia terikat dengan prinsip keadilan dan penjagaan maruah agama dan negara. Peristiwa ini menunjukkan Islam menolak sikap ekstrem dalam hubungan antara agama. Sebaliknya, ia menanam nilai rahmah, ihsan, dan keadilan, yang membolehkan wujudnya hubungan damai tanpa menggadai akidah.

 

Namun demikian, toleransi ini tidak bererti Islam membenarkan kompromi terhadap prinsip aqidah, syariah, dan akhlak Islam. Setiap bentuk penghinaan kepada agama Islam

 

seperti menghina cara solat, meletakkan ayat al-Quran di tempat yang hina, maka pihak berkuasa mesti menjalankan tugasan menyelesaikan dengan dikenakan hukuman mengikut akta atau enakmen negeri. Masyarakat perlu berdepan dengan perkara ini tanpa menambah kekalutan dan membangkitkan permusuhan yang membawa kepada perkara yang lebih mudarat. Perlu diserahkan kepada pihak yang berwajib untuk melakukan siasatan terhadap sesuatu isu. Taʿāyush pula membawa maksud hidup bersama secara aman, saling menghormati dan bekerjasama dalam urusan duniawi, tanpa menjejaskan prinsip dan nilai agama masingmasing. Mengangkat senjata atau penumpahan darah merupakan tugasan pentadbir dan pemerintah dalam menentukan perkara sesuai.

 

Diriwayatkan oleh Abu ‘Ubayd daripada ‘Abdullah ibn ‘Awf bahawa beliau pernah bertanya kepada al-Hasan al-Basri tentang mengapa api sembahan Majusi tidak dihapuskan, lalu dijawab: “Itulah antara syarat perjanjian damai yang telah disepakati dengan mereka”. Ibn Ishaq pula meriwayatkan bahawa ketika delegasi Nasrani dari Najran datang menemui Rasulullah SAW di Madinah dan masuk ke masjid Baginda dengan pakaian yang indah, mereka dibenarkan menunaikan solat mereka di dalam masjid menghadap ke arah timur. Rasulullah SAW bersabda: “Biarkan mereka”, sebagai tanda menghormati amalan mereka tanpa paksaan atau halangan.

 

Ibn al-Qayyim mengulas peristiwa ini dengan menyatakan bahawa perbuatan tersebut menunjukkan keharusan bagi Ahli Kitab memasuki masjid orang Islam, dan bahkan dibenarkan menunaikan ibadat mereka di hadapan umat Islam jika ia berlaku secara terpencil dan tidak dijadikan kebiasaan. Namun, Islam tetap meletakkan batasan agar keharmonian masyarakat tidak tergugat. Golongan bukan Islam bebas mengamalkan ajaran mereka di tempat-tempat ibadat khas seperti gereja dan rumah ibadat mereka, tetapi mereka dilarang untuk menyebarkan ajaran mereka kepada umat Islam, menghina Islam, mencela al-Quran, atau merendahrendahkan Nabi Muhammad SAW dan kesucian agama Islam. Ini penting bagi menjaga kestabilan, sensitiviti agama dan keamanan bersama dalam masyarakat majmuk.

 

Dalam aspek kebajikan, para ulama seperti Imam Abu Hanifah menyatakan bahawa selain zakat, umat Islam dibenarkan memberi sedekah, fidyah, kafarah dan nazar kepada golongan zimmi (bukan Islam yang hidup di bawah perlindungan negara Islam), berdasarkan ayat al-Quran:

 

ِن ﴿ الَ يا ْن اها ُك ُم هاللَُّ اع ِن اله ِذي ان لا ْم يُقااتِلُو ُك ْم فِي ال ِدي …﴾

 

Ini mencerminkan prinsip keterbukaan dan kepedulian sosial Islam terhadap kebajikan semua warga tanpa mengira agama, selama mereka tidak memerangi umat Islam. Namun, pemberian zakat diwajibkan hanya untuk umat Islam berdasarkan hadis Nabi SAW kepada Muaz bin Jabal ketika diutus ke Yaman. Manakala dalam konteks pemberian zakat hasil pertanian (al-‘ushr), ia juga tidak diberikan kepada bukan Islam kerana ia tergolong dalam kategori agihan zakat. Meskipun begitu, Abu Ja‘far menyatakan bahawa memberikan makanan kepada golongan bukan Islam bagi tujuan fidyah dan kafarah adalah sah dan sahih, tetapi memberikan kepada orang Islam tetap lebih utama.

 

Keperluan Membezakan Antara Hukum-Hakam yang Tetap dan yang Berubah dalam Seruan kepada Kehidupan Bersama secara Aman (Ta‘āyush Silmī)

 

Dalam usaha membina ta‘āyush (hidup bersama secara damai), Islam menuntut ketelitian dalam membezakan antara hukum-hakam yang bersifat thābit (tetap) dan yang bersifat mutaghayyir (berubah). Hukum-hakam tetap ialah yang bersumber daripada nas-nas qat‘ī (pasti dari sudut dalil dan makna), tidak berubah walaupun berubahnya zaman, tempat, atau keadaan, dan menjadi asas kesepakatan ulama sepanjang zaman. Sebaliknya, hukum-hakam yang bersifat berubah ialah yang lahir daripada dalil zannī (tidak pasti dari sudut dalil atau makna), dan terbuka kepada ijtihad serta penyesuaian berdasarkan realiti semasa masyarakat, termasuk aspek sosial, politik dan budaya. Memahami perbezaan ini sangat penting agar tidak berlaku kekeliruan antara prinsip agama yang tidak boleh dirunding dan ruang fleksibiliti syariat yang membenarkan perubahan. Dalam konteks ta‘āyush, pendekatan ini membuka ruang luas untuk berinteraksi secara positif dengan pihak lain, dengan mengutamakan ijtihad yang membina, bukan yang mencetuskan konflik, dan mengutamakan perdamaian sebagai asas hubungan, bukan permusuhan. Oleh itu, perlu dilakukan penilaian semula terhadap pelbagai pandangan akidah dan fiqh yang cenderung kepada sikap konfrontasi, dan sebaliknya mengutamakan pendekatan yang menjamin keharmonian antara umat Islam dan pihak lain, sekalipun berlainan agama.

 

Fiqh al-Waṭan: Pendekatan Kontekstual dalam Kerangka Syarak

 

Fiqh al-waṭan ialah satu disiplin yang menjadikan realiti tanah air (waṭan) sebagai elemen penting dalam pengeluaran hukum dan polisi. Ia bukanlah penggantian kepada fiqh klasik, tetapi satu pengkayaan dalam memahami realiti setempat dan mentajdid ijtihad. Pendekatan ini menuntut kepada:

 

Kefahaman terhadap struktur al-sulṭah (autoriti dan perlembagaan)

 

Penilaian terhadap al-ʿādah (adat resam tempatan)

 

Penjagaan terhadap al-bīʾah (sosial dan ekologi masyarakat)

 

Dalam konteks ini, tasāmuḥ dan taʿāyush menjadi prinsip yang mengawal hubungan antara agama, kaum dan budaya — tanpa mengorbankan asas hukum Islam.

 

Batasan Tasāmuḥ dan Taʿāyush dalam Fiqh al-Waṭan

 

Dalam Ruang al-Sulṭah

 

Dalam negara yang berdaulat, seperti Malaysia, autoriti agama Islam terletak di bawah bidang kuasa Raja-Raja. Tasāmuḥ dalam ruang ini bermaksud memberi ruang kepada hak asasi, tetapi tidak membenarkan penghinaan terhadap Islam, atau usaha menyebarkan agama lain kepada Muslim.

 

Contoh: Larangan penggunaan kalimah suci Islam oleh bukan Muslim dalam konteks yang mengelirukan bukanlah tindakan menafikan hak, tetapi menepati prinsip menjaga agama (ḥifẓ al-dīn).

 

Dalam Ruang al-ʿĀdah

 

Adat merupakan sumber hukum sekunder dalam usul fiqh, selagi tidak bercanggah dengan syarak. Tasāmuḥ terhadap adat setempat hanya boleh diterima jika ia memenuhi syarat ‘urf ṣaḥīḥ. Sebagai contoh, adat perkahwinan yang melampaui batas syarak atau mengandungi unsur khurafat dan kesyirikan tidak boleh ditoleransi. Dalam konteks ini, fiqh al-waṭan mendidik masyarakat agar menghormati adat, sambil melakukan islāḥ terhadap unsur negatif. Menjadi suatu kebiasaan apabila menyebut mengenai adat resam, terus dikaitkan dengan unsur negatif, sebenarnya, banyak contoh adat resam tempatan di Pahang tidak bertentangan dengan syarak seperti Adat Mengarok di Pahang. Adat ini ialah satu istiadat tradisional yang dizahirkan secara simbolik melalui persembahan seni kepahlawanan untuk memperingati keberanian dan kewibawaan seorang pemimpin, tanpa mencetuskan permusuhan sebenar. Istiadat ini menampilkan pasukan berpakaian berbeza warna mengikut kumpulan, dengan warna merah melambangkan keberanian pengiring raja, serta iringan gendang silat dan tiupan nafiri yang menambah nilai seni budaya. Setiap gerakan dan aturan, termasuk doa selamat dan selawat sebelum bermula, menjadikan adat ini tidak bertentangan dengan syarak selagi ia bebas daripada unsur khurafat dan kekerasan sebenar, malah memperkukuh semangat perpaduan, seni tempatan, dan jati diri masyarakat Melayu Islam di Pahang.

 

Dalam Ruang al-Bīʾah

 

Dalam konteks sosial dan alam sekitar, prinsip taʿāyush mendorong kerjasama lintas agama dalam isu kemanusiaan dan kelestarian alam. Namun, batasannya adalah tidak boleh menyokong agenda yang bercanggah dengan syariat atau meletakkan Islam setaraf dengan ajaran lain dari sudut kebenaran aqidah.

 

Peranan dalam Pembangunan Masyarakat Majmuk

 

Tasāmuḥ dan taʿāyush memberikan asas untuk membina masyarakat yang harmoni. Dalam konteks Malaysia, prinsip ini boleh dilihat dalam:

 

Peruntukan perlembagaan yang menjamin Islam sebagai agama Persekutuan dan

 

kebebasan agama lain.

 

Dialog antara agama yang bersifat muhibbah dan pendidikan, bukan sinkretisme.

 

Kerjasama dalam kebajikan, kemiskinan dan penjagaan alam.

 

Fiqh al-waṭan berperanan merangka dasar-dasar awam yang menjamin keharmonian, tetapi tidak membenarkan relativisme moral atau pluralisme agama yang menafikan superiority of Islam dari sudut aqidah.

 

Kesimpulan

 

Dalam menghadapi realiti masyarakat majmuk di Negeri Pahang Darul Makmur, prinsip tasāmuḥ (toleransi) dan taʿāyush (hidup bersama secara aman) menjadi asas penting dalam menjaga kestabilan sosial dan kedaulatan agama. Kerangka Fiqh al-Waṭan memberi pedoman bagaimana prinsip-prinsip Islam diaplikasikan secara kontekstual tanpa mengabaikan maqāṣid al-syarīʿah.

 

Di bawah bidang kuasa Raja selaku Ketua Agama Islam negeri, tasāmuḥ difahami sebagai keterbukaan berasaskan syarak — membenarkan kebebasan agama bagi bukan Muslim, selagi tidak menggugat identiti dan kedaulatan Islam. Dalam ruang kuasa (al-sulṭah), prinsip ini menjelaskan keperluan undang-undang seperti larangan penyebaran agama lain kepada umat Islam dan kawalan terhadap penggunaan istilah Islam.

 

Dalam ruang adat (al-ʿādah), prinsip tasāmuḥ menyeru agar budaya tempatan dihormati selagi tidak bercanggah dengan syarak, manakala dalam ruang sosial dan persekitaran (albīʾah), taʿāyush mendorong kerjasama antara agama dalam isu kemanusiaan dan alam sekitar, tanpa merelakan penyamaan agama.

 

Pendekatan ini seiring dengan prinsip “Iman membawa kedaulatan, Islam membawa kerukunan dan Tasawuf membawa kelestarian” — menggambarkan arah tuju pembangunan negeri yang stabil, berakar pada akidah, berpaksikan nilai harmoni, dan membina masyarakat yang saling menghormati tanpa mengorbankan prinsip Islam. Justeru, Fiqh al-Waṭan menjadi instrumen penting dalam menyatukan identiti negeri, mengurus perbezaan, dan menjamin kedamaian dalam bingkai syariat.

 


 

Nik Mohd Sofa’Urrahman Bin Nik Mohd Rosdi merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda World Islamic Science And Education University (WISE) di dalam bidang Fiqh dan Usul dan Sarjana Universiti Malaya (UM) dalam bidang Fiqh dan Usul.

 

Tazkirah Jumaat IIDM-MUIP Bertarikh 23 Mei 2025