Dalam kerangka maqāṣid al-Sharī‘ah, pemeliharaan agama (Hifẓ al-Dīn) menempati kedudukan tertinggi sebagai tunjang keutuhan dan kelestarian sebuah negara Islam. Din tidak dapat dipisahkan dari tiga disiplin utamanya: Tauhid/Kalam sebagai manifestasi Iman, Fiqh sebagai kerangka Islam, dan Tasawuf sebagai penghayatan Ihsan. Justeru, institusi pemerintahan sebagai ḥirāsat al-dīn (penjaga agama) bertanggungjawab memastikan ketigatiga aspek ini terpelihara dalam masyarakat. Seiring dengan tuntutan ini, Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM) di Negeri Pahang telah mengambil inisiatif melestarikan tradisi ilmu warisan ulama muktabar dengan fokus pada pengukuhan Tauhid, pendalaman Fiqh, dan penyuburan Tasawuf. Langkah ini tidak hanya selari dengan prinsip maqāṣid al-Sharī‘ah, tetapi juga merealisasikan seruan Rasulullah Ṣallallāhu ‘Alayhi Wasallam agar umat Islam menyempurnakan ketiga dimensi agama: Iman, Islam, dan Ihsan, sebagaimana diisyaratkan dalam Hadith Jibril yang agung.
Pemeliharaan Disiplin Ilmu Kalam Sebagai Alat Pertahanan Akidah yang Ampuh
Tauhid yang wajib dipelihara bukan sekadar pengakuan lisan terhadap keesaan Allah, tetapi harus didefinisikan dan dikukuhkan dengan metodologi ilmu Kalam yang telah dikembangkan oleh para ulama Ahli Sunnah wal Jamaah. Aqidah yang benar adalah yang telah dikodifikasikan oleh ulama seperti Imam Abu al-Hasan al-Ash‘ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi, yang menetapkan asas ketuhanan, kenabian, dan perkara ghaib dengan dalil naqli dan aqli.
Dalam konteks pemeliharaan tauhid, ilmu Kalam tidak hanya berperanan sebagai perisai terhadap penyimpangan aqidah, tetapi juga sebagai metodologi yang kukuh untuk menangkis arus relativisme pemikiran yang mengancam kejelasan hakikat kebenaran. Relativisme, yang menafikan kewujudan kebenaran mutlak dan menganggap segala tafsiran agama sama nilainya, bertentangan secara langsung dengan prinsip tauhid yang menegaskan bahawa kebenaran bersifat objektif dan terikat dengan wahyu Ilahi. Di sinilah peranan ilmu Kalam, seperti yang dirangka oleh Imam al-Ash‘ari dan al-Maturidi, menjadi penentu utama dalam membezakan antara hak dan batil melalui pendekatan integratif yang menggabungkan dalil naqli (wahyu) dengan hujah akliah (rasional).
Ilmu Kalam mengajar umat untuk tidak hanya menerima kebenaran secara pasif, tetapi aktif menganalisis dan menilai setiap aliran pemikiran dengan kriteria yang jelas. Contohnya, dalam menangani faham tajsim (antropomorfisme) atau faham ta‘til (penolakan sifat Tuhan), metodologi Kalam menyediakan kerangka rasional untuk menolak kekeliruan tersebut dengan mengharmonikan nas al-Quran dan Sunnah, sekaligus membuktikan dengan rasional satu hujah yang tidak mungkin disangkal lagi oleh insan yang cinta kepada kebenaran. Pendekatan ini secara tidak langsung membendung penyebaran relativisme dengan menegaskan bahawa kebenaran agama bukanlah produk tafsiran subjektif, melainkan bersumberkan autoriti wahyu yang dipertahankan melalui disiplin intelektual yang ketat.
Kepentingan ilmu Kalam sebagai alat mencari kebenaran dalam pelbagai pemikiran batil terletak pada kemampuannya mendedahkan kontradiksi dalam ideologi sesat dan mengukuhkan asas epistemologi Islam. Misalnya, ketika berhadapan dengan aliran pemikiran moden yang meragukan kewujudan Tuhan atau menolak konsep kenabian, ilmu Kalam menyediakan jawapan sistematik yang mengaitkan bukti-bukti saintifik dan falsafah dengan kesaksian wahyu. Ini menjadikan tauhid bukan sekadar kepercayaan dogmatik, tetapi sistem pemikiran yang koheren dan mampu menjawab cabaran zaman.
Keretakan pada asas Akidah tidak hanya meruntuhkan bangunan keilmuan Islam seperti Fekah dan Tasawuf, tetapi juga membuka ruang kepada infiltrasi pemikiran ekstrem yang mengancam kesatuan umat. Sejarah membuktikan bahawa aliran sesat seperti Khawarij – yang menjadi akar kepada ideologi takfir (pengkafiran sesama Muslim), lahir dari penafsiran literal yang kaku terhadap nas, digabung dengan semangat revolusi politik yang menyimpang. Pola serupa terlihat dalam gerakan kontemporari yang menyemai dakyah literalisme Salafi secara ekstrim, mengabaikan keperluan merujuk kepada disiplin ilmu yang muktabar, sehingga melahirkan sikap eksklusif dan mudah mengkafirkan kelompok lain atas kecetekan ilmu yang ada dalam tradisi mereka.
Kesilapan pada peringkat Akidah ini ibarat api dalam sekam, jika tidak dipadamkan, ia akan membakar seluruh struktur umat. Tragedi pertumpahan darah antara Ahl al-Sunnah dengan Muktazilah, atau konflik Sunni-Syiah yang dimanipulasi kuasa politik, adalah bukti nyata bagaimana penyimpangan akidah dan politisasi agama merosakkan ukhuwwah Islamiyyah. Lebih bahaya, gerakan ekstremis moden sering menyamarkan agenda politik mereka di sebalik retorik ‘pemurnian akidah’, tetapi hakikatnya menyalurkan racun takfir dan permusuhan.
Oleh itu, menjadi kewajipan utama pemegang taruh di Negeri Pahang untuk memperkukuh pendidikan Tauhid di Negeri Pahang dengan pendekatan yang mampu menangkis ancaman pemikiran yang melanda watan seperti: dakyah literalisme yang menyempitkan agama hanya pada kulit syariat, serta faham ekstrem politik yang menjadikan takfir sebagai senjata perpecahan.
Penekanan pada ilmu Kalam perlu dihidupkan kembali untuk melahirkan generasi yang mampu mendedahkan akar pemikiran semua kelompok yang bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan kemudian mampu mengutarakan hujah ilmiah untuk membungkam dakwaan mereka satu per satu. Hanya dengan ini, generasi muda akan memiliki imuniti intelektual terhadap narasi ekstrem yang mengorbankan kesatuan umat demi apa sahaja kepentingan samada politik atau ideologi.
Fekah yang Harus Dijaga: Pemeliharaan Kefahaman dalam Mazhab yang Muktabar
Fekah merupakan disiplin ilmu yang menjadi tonggak ketertiban hukum dalam kehidupan umat Islam. Keberadaannya tak mungkin dipisahkan dari kerangka mazhab, kerana sistem mazhab sendiri lahir dari metodologi ijtihad yang terikat dengan nas-nas sahih dan dirangkaikan melalui kaedah berpikir sistematik para ulama silam.
Memelihara agama dalam dimensi fekah bererti menjaga warisan pemahaman fiqh yang telah dirumuskan oleh empat mazhab utama, Syafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali. Kepelbagaian mazhab bukan sekadar variasi pendapat, melainkan kekayaan intelektual yang memancarkan khazanah kaedah analisis, sekaligus menjadi alat kritikal untuk menyelesaikan isu-isu kontemporari tanpa mengorbankan kesahihan nas syarak.
Dengan demikian, mazhab bukanlah jurang perpecahan, tetapi jaringan keilmuan yang menjamin kesinambungan tradisi Islam. Di satu sisi menjaga akar teks yang kukuh, di sisi lain membuka ruang dialog progresif bagi menjawab cabaran zaman.
Tasawuf yang Harus Dijaga: Pemeliharaan Jiwa dan Akhlak melalui Tradisi Sufi
Tasawuf adalah cabang utama dalam pemeliharaan agama kerana ia berkaitan dengan penyucian jiwa (tazkiyat al-nafs) dan pembentukan akhlak. Ulama sufi seperti Imam al-Ghazali dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din telah mendefinisikan tasawuf sebagai disiplin yang bertujuan membentuk insan yang dekat dengan Allah melalui mujahadah, muraqabah, dan mahabbah.
Pemikiran al-Ghazali tidak hanya sebuah kerangka membentuk individu yang soleh, tetapi juga satu blueprint menghasilkan peradaban yang maju dan berdaya. Hal ini dapat dilihat dalam sejarah Islam di mana tradisi tasawuf telah melahirkan tokoh-tokoh besar yang bukan sahaja alim dalam ilmu zahir dan batin tetapi juga menjadi tokoh peradaban.
Kesimpulan: Memelihara Ad-Dîn untuk Melahirkan Generasi Analitikal dan Seimbang
Hifz al-Dîn bukanlah sekadar usaha mempertahankan institusi keagamaan secara formal, melainkan proses transformasi insani yang menjadikan agama sebagai asas pembinaan manusia holistik: insan yang analitikal dalam berfikir, kritis dalam menilai, dan seimbang dalam jiwaraga.
Tauhid yang benar melahirkan kejernihan intelek yang membebaskan akal daripada belenggu propaganda dan ideologi, fekah yang sistematik menghasilkan tatacara kehidupan yang teratur menjadi adat yang indah, dan tasawuf yang sahih menghasilkan hati yang sejahtera. Jiwa yang tenang menjadi landasan ketahanan sosial dan kematangan emosi. Gabungan ketiga-tiga ini adalah formula yang telah terbukti sepanjang sejarah Islam dalam membentuk masyarakat yang berilmu, beradab, dan berwawasan.
Mu’az bin Zakaria merupakan lulusan ijazah Universiti al-Azhar dalam bidang Usuluddin (Akidah & Falsafah)
Tazkirah Jumaat IIDM-MUIP
Bertarikh 28 Mac 2025 / 27 Ramadan 1446






