Skip to main content
Author

Oleh: Ahmad Luqman bin Zulkefli Pegawai Pendidikan Turath, Institut Ilmu Darul Makmur, Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang.

Turath (warisan ilmu) merupakan asas kepada pembentukan tamadun dan identiti umat Islam khususnya Ahli Sunnah Wal Jamaah al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah. Dalam konteks membentuk Fiqh al-Watan, iaitu pemahaman yang komprehensif mengenai tatacara bernegara yang bertunjangkan cara pandangan alam Islam (Islamic worldview), turath berperanan besar dalam menghubungkan prinsip akidah, fiqh, tasawuf, serta disiplin-disiplin ilmu lain. Kebergantungan kepada turath bukan sahaja memastikan kesinambungan tradisi keilmuan Islam tetapi juga membuka ruang untuk menyesuaikan legasi ini dalam menghadapi cabaran semasa dengan usul atau kerangka manhaj yang sama yang diterajui oleh majoriti ulama tradisi; mutakallimun, fuqaha, sufi dan lain-lain dalam pembinaan tamadun lampau.

Turath sebagai Asas Peradaban

Turath Islam yang meliputi disiplin ilmu seperti ilmu Akidah, Fiqh, Tasawuf, yang berupa “interdisciplinary / merentas disiplin” sekiranya difahami dengan baik dan dihuraikan dengan teras persoalan besar falsafah yang bersifat universal, ia sebenarnya mampu membentuk asas keilmuan yang melahirkan pelbagai disiplin ilmu yang lain. Tradisi keilmuan ini bukanlah melulu bersifat taqlid atau cenderung dogmatik, tetapi ia memandu umat Islam memahami persoalan- persoalan besar dalam kehidupan, cara bermualamat sesama manusia sehari-hari, bersulam etika dalam bermasyarakat, yang seterusnya akan membentuk tanggungjawab kepada watan (tanah air). Persoalannya, bagaimana tradisi ilmu Akidah dan Kalam, ilmu Fiqh dan Usul al-Fiqh, serta ilmu Tasawuf dan Tarekat dapat menyumbang kepada disiplin ilmu dan peradaban?

Jika diperhatikan, ilmu Kalam menyediakan kerangka rasional untuk memahami akidah Islam. Ia mengangkat isu-isu metafizik seperti hubungan antara manusia, Tuhan, dan tanggungjawab sosial. Pemikiran-pemikiran ini menjadi asas untuk membentuk Fiqh al-Watan, di mana unsur kecintaan dan berjati diri terhadap tanah air dilihat sebagai sebahagian daripada mekanisme iman (Hubb al-Watan min al-Iman) yang tidak dapat disangkal lagi dari segi kefahaman maknanya. Ilmu Usul al-Fiqh pula menyediakan metodologi untuk menyusun kaedah dan prinsip hukum yang sesuai dengan konteks masyarakat setempat. Turath Fiqh klasik/lampau jelas menunjukkan bagaimana ulama dahulu menyesuaikan hukum dengan adat dan tradisi masyarakat tanpa melanggar batasan syarak, yang merupakan sesuatu yang amat relevan dalam memahami dinamika masyarakat moden atau semasa.

Selain itu, Tasawuf merupakan disiplin ilmu yang memperkukuh hubungan rohani seseorang individu dengan Allah, dengan penerapan adab dan etika yang membawa manusia lebih dekat kepada ketenangan jiwa dan kebahagiaan hakiki. Tasawuf memfokuskan kepada tazkiyah al-nafs (penyucian jiwa) yang menjadi asas kepada perubahan atau transformasi diri dan masyarakat. Dalam konteks ini, ilmu yang berkaitan seperti psikologi, psikoterapi, kaunseling, akhlak, etika, dan pendidikan dilihat sebagai cabang-cabang yang melengkapkan usaha tasawuf dalam menyempurnakan kualiti individu dan masyarakat. Fiqh al-Watan pula mendefinisikan kehidupan bertanah air sebagai tanggungjawab individu sebagai hamba Allah (al-‘Abd) dan wakil Allah (al-Khalifah) di muka bumi ini khusus dalam menjaga hubungan dengan Tuhan, insan, dan alam. Ia menekankan keperluan memelihara kedaulatan, kerukunan, dan kelestarian watan dengan nilai-nilai Islam. Pendekatan ini menjadikan kecintaan kepada tanah air sebagai sebahagian daripada pengabdian kepada Allah, melalui usaha menjaga keharmonian sosial dan kestabilan komuniti.

Gabungan akidah, fiqh, dan tasawuf memainkan peranan penting dalam merealisasikan Fiqh al-Watan untuk membina peradaban Islam yang unggul. Tauhid memberikan asas metafizik, Fiqh menawarkan kerangka hukum bagi segala tingkah laku sehari-hari, dan tasawuf menyucikan jiwa serta membina adab etika. Daripada asas inilah terlahirnya bidang-bidang lain yang sebenarnya mengangkat tema disiplin yang sama dan mengisi kelompongan disiplin apabila direntas bidang yang tiga ini. Kesatuan inilah akhirnya menghasilkan masyarakat yang seimbang dan harmoni dari segi dalaman dan luaran, berpaksikan yakin dan cinta kepada Allah serta melahirkan tanggungjawab kepada insan dan alam.

Fiqh al-Watan: Membentuk Identiti dan Tamadun

Dalam konteks Malaysia, Fiqh al-Watan berperanan besar dalam menggabungkan tradisi Islam dengan identiti kebangsaan. Malaysia mempunyai kelebihan unik kerana memiliki kesultanan beridentiti Islam yang sangat mengakar dalam jiwa rakyat ditambah dengan memiliki sebuah watan yang adat resamnya sudah sebati dengan Islam moden/semasa (yang meraikan keperluan zaman) yang turut mengambil berat soal kestabilan dan mampu menjadi model kepada dunia Islam.

  • Turath sebagai Identiti Keilmuan

Generasi muda di Malaysia perlu menguasai turath untuk memahami warisan intelektual Islam (tradisi Arab dan nusantara khususnya) dan membentuk cara berfikir yang kritis serta bertanggungjawab. Penguasaan turath ini akan menghidupkan kembali semangat peradaban yang diasaskan oleh tokoh-tokoh besar Islam seperti al-Ghazali, al-Jaylani dan al-Ayyubi.

  • Kesedaran Sejarah dan Kebudayaan

Memahami turath membuka ruang untuk masyarakat mengenali sejarah dan budaya mereka, sekaligus membangkitkan rasa bangga terhadap tamadun Islam. Ia juga memastikan generasi muda tidak hanya terikut-ikut dengan budaya luar, tetapi dapat memanfaatkan teknologi dan ilmu moden sambil mengekalkan identiti mereka sendiri (berjati diri yang bersifat watan, bukan qawmiyyah atau sebatas perkauman).

Melalui integrasi ini, Fiqh al-Watan dapat menjadi asas pembangunan peradaban Islam moden yang mampu mendepani cabaran semasa. Ia menggalakkan nilai-nilai yang bukan sahaja melestarikan alam sekitar (al-bi’ah), tetapi juga boleh membina kerukunan dengan menjaga adat resam (al-’adah) dan paling penting kemampuan memperkasa kedaulatan (al- sultah). Dengan ini, tanah air menjadi tempat yang makmur, di mana cinta kepada watan (Hubb al- Watan) diterjemahkan melalui tanggungjawab terhadap manusia dan alam, menjadikannya tonggak kepada keseimbangan global.

Kesimpulan

Kesimpulannya, turath Islam merupakan asas kepada pembentukan peradaban dan identiti umat Islam, khususnya dalam kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah al-Asha’irah dan al- Maturidiyyah. Ia menghubungkan disiplin ilmu utama seperti akidah, fiqh, dan tasawuf, sekaligus membentuk kefahaman holistik mengenai Fiqh al-Watan; sebuah konsep yang menekankan keseimbangan antara tanggungjawab individu sebagai hamba Allah dan wakil Allah di muka bumi. Oleh itu, umat Islam perlu untuk memahami dan mengadaptasi turath, kerana ia bukan sahaja dapat mengekalkan kesinambungan tradisi keilmuan tetapi juga mampu menyediakan solusi alternatif melalui asas turath yang kukuh bagi menghadapi cabaran moden dalam membangunkan tamadun yang gemilang.

Ahmad Luqman bin Zulkefli merupakan lulusan ijazah Universiti al-Azhar dalam bidang Usuluddin (Akidah & Falsafah) dan sarjana Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam Pemikiran Islam Kontemporari.

Tazkirah Jumaat IIDM-MUIP bertarikh 31 Januari 2025 / 1 Syaaban 1446