Dalam pendahuluan karya Al-Mazāhib al-Tawḥīdiyyah wa al-Falsafāt al-Muʿāṣirah, Shaykh Ramadan Al-Būṭī menyatakan : “ketika saya mengkhususkan diri dalam bidang Fiqh dan Usul-Fiqh, saya menyangka bahawa manifestasi penyimpangan daripada agama berpunca daripada salah faham terhadap hukum-hakam atau kejahilan orang yang berijtihad mengeluarkan hukum daripada nas al-Qur’an dan Sunnah. Justeru, saya menumpukan perhatian menyelesaikan masalah ini dengan menghasilkan dua karya iaitu Ḍawābiṭ al-Maṣlaḥah fī al- Sharīʿah al-Islāmiyyah dan Muḥāḍarāt fī al-Fiqh al-Muqāran.
Namun, saya menyedari kemudian bahawa permasalahan sebenar bukan hanya berpunca daripada salah faham terhadap cabang fiqh semata-mata ataupun kejahilan golongan tertentu dalam melakukan ijtihad. Sebaliknya, akar kepada permasalahan isu-isu yang saya cuba selesaikan terletak pada salah faham terhadap asas-asas akidah, kekeliruan yang timbul akibat faham-faham asing yang menyerang pemikiran ramai individu, atau fanatisme mazhab yang mendorong sesetengah pihak mengeksploitasi prinsip dakwah untuk memenuhi fanatisme mereka dan memuaskan nafsu menentang pihak yang berbeza pandangan.
Bagi saya, permasalahan yang timbul daripada cabang fiqh hanyalah permasalahan sekunder. Sebaliknya, persoalan yang muncul daripada asas akidah merupakan perkara pokok yang perlu ditangani terlebih dahulu sebagai langkah rawatan yang sebenar.”
Bertolak daripada pernyataan beliau ini, telah jelas peri pentingnya umat Islam terlebih dahulu memahami dengan tuntas isu-isu yang melingkari zaman mereka. Kefahaman terhadap akar permasalahan menjadi asas utama bagi pembentukan dasar yang kukuh. Kalau Akidah itu merawat pemikiran umat Islam, Fekah memberi panduan hukum untuk setiap aspek kehidupan, Tasawuf pula penyelesaian yang ampuh bagi meyelesaikan kemelut moral serta pencarian kebahagiaan jiwa bagi masyarakat Islam dan juga bukan Islam. Ketiga-tiga komponen ini penting bagi membentuk peradaban Islam yang seimbang.
Tamadun Islam menunjukkan daya interaksi yang luar biasa dalam menanggapi pemikiran tamadun lain, memurnikan ilmu dan hikmah ke dalam kerangka intelektualnya. Imam al-Ghazali, terlibat secara kritikal dengan falsafah Yunani, memurnikan logik untuk memperkaya pemikiran Islam. Dalam karya agungnya, Tahāfut al-Falāsifa, Imam al-Ghazali menyelidiki aspek metafizik falsafah Yunani, mencabar elemen-elemen yang dianggap tidak sejalan dengan ajaran Islam, sambil mengakui dan mengintegrasi aspek yang sesuai dengan ilmu Islam. Usaha-usaha ini tidak hanya memperkaya warisan intelektual Islam, tetapi juga memberi sumbangan besar kepada tamadun dunia. Sepanjang era kegemilangan Tamadun Islam, umat Islam menyahut misi global mereka. Dalam tempoh sejarah yang sangat singkat, mereka berhasil mempersembahkan kepada umat manusia bukti keunggulan tamadun mereka.
Namun, apabila kita merenung kembali keadaan semasa umat Islam, perbezaan yang tajam dilihat jelas. Dari sebuah tamadun di puncak kemajuan, kuasa, dan pengaruh, kini menghadapi kemunduran yang ketara. Dalam bidang ekonomi, sebahagian besar dunia Islam masih bergelut dengan kemiskinan dan kadar pengangguran yang tinggi. Dalam bidang sains dan kemajuan teknologi, amat membimbangkan. Sumbangan kita amat terhad.
Daripada pelopor inovasi, kita kini bergantung pada pencapaian teknologi orang lain. Kebergantungan ini menunjukkan betapa pentingnya usaha untuk menghidupkan semula daya intelektual dan kreativiti yang merupakan jati diri umat ini. Dalam arena politik, kita hilang kedaulatan dan mudah dimanipulasi oleh kuasa luar akibat perpecahan dalaman dan tiada kesatuan. Sempadan kita sering kali digubah mengikut kepentingan cita-cita Barat.
Di dalam menghadapi cabaran sekularisme Barat, Prof Syed Muhammad Naquib Al- Attas membawa satu takrifan di dalam karyanya Islam dan Sekularisme, merujuk kepada ahli teologi Belanda Cornelis van Peursen, “Sekularisasi di definisikan sebagai pembebasan manusia pertama daripada kongkongan agama dan kemudian daripada kongkongan metafizik yang mengatur akal dan bahasanya”. Alexis Carrel, pemenang Nobel Prize, dalam karya “Man, The Unknown”, menggambarkan kebuntuan peradaban moden materialistik yang dibentuk tanpa ilmu tentang hakikat kerohanian manusia. Menurutnya, peradaban kontemporari kita berada dalam keadaan yang sangat menekan, tidak sesuai dengan fitrah manusia. Penemuan saintifik terpisah daripada hakikat jiwa dan keperluan rohani manusia. Kehidupan industri pula, asasnya kepada prinsip pengeluaran maksimum dengan kos minimum. Kesan fisiologi dan mental manusia diabaikan, manusia menjadi alat. Kesejahterannya tidak dipedulikan lagi. Dalam keadaan ini, manusia menjadi asing dalam dunia yang diciptakannya sendiri.
Penyebaran ideologi ini, kini seperti badai yang melanda kubu keimanan, terus menyerang. Menebarkan kerancuan pemikiran, memperolokkan agama dan berusaha memutuskan umat Islam daripada tradisi sucinya. Justeru itu, seruan untuk tetap teguh atas landasan iman tanpa bekalan perisai intelektual dan rohani adalah seperti air di dalam daun keladi, Iman itu taklid, tanpa ilmu, faham dan keyakinan, ia tidak akan mampu bertahan lama apabila diterpa oleh arus yang semakin kuat. Yang menjadi lebih parah dalam masa yang sama berlaku eksploitasi ruang suci. Peranan masjid sebagai pusat penyebaran ilmu, kedamaian, dan persaudaraan, suatu ketika dahulu menjadi inti kepada peradaban Islam yang luhur, kini menghadapi cabaran yang merisaukan.
Ruang-ruang suci ini, yang hakikatnya ditakdirkan sebagai menara hikmah dan wadah kesatuan bagi seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang, telah dipesongkan daripada maksud asalnya. Masjid kini menyaksikan keruntuhan fungsi mulianya, apabila diselewengkan menjadi pentas politik kepartian yang sempit.
Jalan ke Hadapan: Menghidupkan Semula Visi Al-Ghazali
Slogan “Kembali Kepada Quran dan Sunnah” tidak seharusnya ditafsirkan dengan cara yang meminggirkan tradisi disiplin keilmuan Islam. Tafsiran ini tidak boleh mengetepikan Tradisi Tauhid yang dimanifestasikan sebagai ilmu Kalam, Tradisi Fiqh yang melahirkan mazhab-mazhab muktabar, serta Tradisi Tasawuf yang diwarisi daripada Imam Junaid dan Imam al-Ghazali. Usaha-usaha ulama yang memfokuskan kepada aspek tertentu dalam tradisi Islam, seperti pemeliharaan dan pengajian Hadith tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian tunggal yang mampu membangkitkan semula peradaban Islam. Peradaban Islam terbina dengan menghormati komponen-komponennya, dan kehilangan sebahagian daripada komponen tersebut akan menyebabkan hilangnya keupayaan sesebuah peradaban untuk berdiri kukuh.
Cahaya di hujung terowong terletak pada penghayatan semula warisan intelektual dan rohani Imam Al-Ghazali. Seorang mujaddid agung yang telah membina asas kepada pembaharuan Islam yang menyeluruh. Melalui penerokaan yang mendalam terhadap karya- karya beliau, kita dapat menyingkap inti projek Ihya Peradaban Islam, yang ibarat pelita menerangi jalan ke arah pembaharuan sejati. Dengan menghidupkan semula visi ini, umat Islam berpeluang mengembalikan kegemilangan peradaban yang dibangun atas akalbudi, hikmah, dan rahmah. Maka para ulama, umara, cendekiawan, dan ahli ahl al-ḥall wa al-‘aqd hendaklah memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan Institusi Kesultanan yang menjadi Ketua bagi Agama, agar itu menjadi teras kepada pembinaan semula naratif pemerkasaan jati diri umat Islam seterusnya tiang seri bagi pembentukan Watan Islam yang sejati.
Mu’az bin Zakaria merupakan lulusan ijazah Universiti al-Azhar dalam bidang Usuluddin (Akidah & Falsafah)
Tazkirah Jumaat IIDM-MUIP
Bertarikh 24 Januari 2025 / 24 Rejab 1446






