Bengkel Penetapan GPS & Pengurusan Dialog Prestasi Sekolah Menengah Ugama MUIP (SMUM) 2026

Jerantut, 19 Julai 2026 – Bengkel Penetapan Gred Purata Sekolah (GPS) Peringkat Negeri dan Pengurusan Dialog Prestasi Sekolah (DPS) anjuran MUIP Education Sdn. Bhd. telah berlangsung dengan jayanya selama tiga hari bermula 17 hingga 19 Julai 2026 di Hotel Darul Makmur, Jerantut. Bengkel ini menghimpunkan warga pendidik daripada sekolah-sekolah di bawah rangkaian MUIP Education, termasuk SMUM Darul Makmur Ganchong, SMUM Darul Naim, SMUM Ihyail Maarif Ulu Cheka, dan SMUM Al-Taufikiah Al-Asriah Tanjung Besar.

Bengkel ini bertujuan memperkukuh perancangan strategik sekolah melalui penetapan GPS yang lebih berfokus serta memperkasakan amalan DPS sebagai medium pemantauan, penambahbaikan dan perkongsian amalan terbaik ke arah kecemerlangan akademik. Usaha ini bukan sekadar agenda dalaman sekolah, malah merupakan satu tanggungjawab fardu kifayah bagi melahirkan modal insan yang mampu menyumbang kepada kemakmuran dan kestabilan watan.

Ia juga merupakan sebahagian dari inisiatif untuk mencapai Pelan Strategik MUIP 2026 -2030 bagi penambaikan pencapaian akademik SMUM.

Perkongsian Tuan Haji Mohamed Asri bin Abu Hanipah selaku Pengetua SMUM Darun Naim (SABK) membimbing peserta dalam slot Pengurusan Headcount, RCA & Intervensi, serta Pendekatan 5P Gred Purata. Pengisian ini memberi kefahaman mendalam tentang analisis data murid dan strategi intervensi yang sistematik untuk meningkatkan pencapaian akademik.

Koordinator Sekolah IRFAN@Yayasan Pahang, Tuan Haji Ramli bin Yahya, menekankan kepentingan mengenal pasti isu dan punca pencapaian murid, menghubungkan PDP berkualiti dengan peningkatan prestasi, serta menguruskan Dialog Prestasi Sekolah (DPS). Beliau turut menekankan penilaian berfokus dan berkesan sebagai asas kepada tindakan penambahbaikan sekolah.

Sepanjang bengkel, peserta telah berkongsi pengalaman, strategi dan amalan terbaik yang diharap dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan berimpak tinggi demi melahirkan generasi pelajar yang cemerlang, berakhlak mulia dan berdaya saing. Kepintaran intelek dan keperibadian mulia anak didik inilah yang bakal menjadi benteng utama dalam mempertahankan kedaulatan serta keharmonian negara pada masa hadapan.

Bengkel ini dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Dan Pembangunan Islam MUIP serta turut berkongsi harapan untuk melihat SMUM terus maju dan melakar kejayaan demi kejayaan pada masa akan datang.

MUIP Education Sdn. Bhd. berharap penganjuran program ini memberi manfaat ini, kepada semua peserta yang telah memberikan komitmen dan kerjasama sepanjang bengkel berlangsung. Semoga sumbangan ikhlas para pendidik ini dinilai sebagai amal soleh yang mengangkat martabat agama, bangsa, dan tanah air tercinta.

Membudayakan Ilmu, Memperkasakan Watan

#MUIPEducation
#InstitutIlmuDarulMakmur
#FiqhAlWatan
#SMUMDarulMakmurGanchong
#SMUMDarulNaim
#SMUMIhyailMaarif
#SMUMAlTaufikiahAlAsriah
#BengkelGPS2026
#DialogPrestasi
#PendidikanBerkualiti
#MelakarKecemerlangan

View original