
KURSUS INDUKSI PEMEGANG KEBENARAN MENGAJAR AGAMA ISLAM NEGERI PAHANG SIRI 5/2026
Kursus Induksi Pemegang Kebenaran Mengajar Agama Negeri Pahang Siri 5/2026 telah berlangsung dengan jayanya sebagai salah satu inisiatif strategik bagi memperkukuh kompetensi, profesionalisme serta kefahaman para tenaga pengajar agama di Negeri Pahang.
Program ini dianjurkan oleh Institut Ilmu Darul Makmur dengan kerjasama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), menghimpunkan para pemegang tauliah mengajar agama dari seluruh negeri. Pelaksanaan kursus ini bertujuan memastikan penyampaian ilmu agama dilakukan secara lebih berautoriti, tersusun, serta selaras dengan dasar dan garis panduan agama negeri.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh YH. Tok Muda Dato' Haji Ahmad Hairi bin Haji Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif MUIP. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan dan pujian terhadap usaha Institut Ilmu Darul Makmur dalam memperkasa pendidikan agama di Negeri Pahang. Beliau turut menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan pendakwah serta menyeru agar semua pihak terus memperkukuh kerjasama dalam menghadapi cabaran semasa demi memastikan kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan umat Islam sentiasa terpelihara.
Sepanjang program berlangsung, peserta telah mengikuti beberapa sesi pembentangan ilmiah yang menyentuh aspek teras dalam pembinaan kefahaman Islam berasaskan tradisi Ahli Sunnah Wal Jamaah. Sesi pertama bertajuk “Pokok Ilmu Peradaban Ahli Sunnah Wal Jamaah” telah disampaikan oleh Yang Berusaha Prof. Madya Dr. Amran bin Muhammad, Pengarah Eksekutif Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM) yang menghuraikan asas pemikiran, sejarah serta peranan ASWJ dalam pembinaan tamadun Islam. Sesi kedua diteruskan dengan pembentangan “Tauhid Asha’irah–Maturidiyyah: Teras Pemikiran & Peradaban” oleh Tuan Guru Syeikh Abd Raof bin Nurin, Zamalah Tuan Guru Tauhid, IIDM yang menekankan kepentingan disiplin ilmu kalam dalam memperkukuh kefahaman akidah.
Seterusnya, sesi ketiga bertajuk “Fekah Mazhab Shafie Sebagai Tatacara Mengatur Kehidupan Beragama” telah disampaikan oleh Tuan Guru Haji Muhammad Uwais Qarni bin Abdul Wahab Al-Hafiz, Zamalah Tuan Guru Fekah, IIDM yang menekankan peranan Mazhab Syafie sebagai panduan amalan umat Islam di negeri ini. Sesi keempat pula bertajuk “Memasyarakat Tasawuf al-Ghazali: Pembentukan dan Pengawalan Diri” oleh Tuan Guru Haji Ahmad Fuad bin Amran, Zamalah Tuan Guru Tasawuf, IIDM yang memberi fokus kepada pembangunan rohani dan penyucian jiwa dalam kehidupan pendakwah.
Program diteruskan dengan sesi kelima yang bertajuk “Fiqh al-Watan Dalam Sejarah Pembinaan Peradaban Pahang” telah disampaikan oleh Tuan Guru Haji Barakatullah bin Haji Muhammad Bahari, Zamalah Tuan Guru Fiqh Al-Watan,IIDM yang membincangkan sejarah peradaban Islam di Pahang secara menyeluruh, dengan menelusuri perkembangan awal kedatangan Islam ke negeri ini serta peranan institusi keilmuan, para ulama dan struktur pemerintahan dalam membentuk asas identiti masyarakat Islam setempat.
Program turut disusuli dengan taklimat khas bertajuk “Garis Panduan Mengajar Agama Islam / Berceramah di Negeri Pahang” yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Ali bin Mat Dasir, Pengarah Bahagian Pengurusan Dan Pembangunan Islam MUIP. Taklimat ini memberi penekanan terhadap pematuhan etika, peraturan serta garis panduan rasmi dalam penyampaian dakwah di Negeri Pahang.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Yang Berusaha Dr. Haji Asmadi bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sektor Baitulmal dan Operasi MUIP, Al-Fadhil Tuan Haji Ahmad Nizam bin Abd Manan, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau (JAIP), serta Tuan Mohd Yusri bin Aman, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIP yang turut memberikan sokongan terhadap pelaksanaan program tersebut.
“MEMBUDAYAKAN ILMU, MEMPERKASAKAN WATAN”
#FiqhAlWatan
#KerajaanKesultanan
#DaulahIslam
#PeradabanPahang
#556TahunKesultanan
#PeradabanIslamPahang
#KerajaanNegeriPahang





