Ungkapan “kembali kepada turath” semakin menjadi slogan yang sering dilaungkan, khususnya dalam perbincangan akademik dan keagamaan. Slogan ini membawa nada harapan untuk menghidupkan kembali tradisi Islam yang kaya dengan khazanah ilmu, adab, dan hikmah. Namun, sebelum membincangkan arah tuju ini, persoalan asas yang perlu dijawab ialah: Apakah yang dimaksudkan dengan turath? Apakah dimensi tradisi yang perlu dihidupkan, dan bagaimana kita boleh memanfaatkannya dalam konteks moden? Secara literal, “turath” berasal daripada perkataan Arab (تراث) yang bermaksud “warisan.” Dalam konteks keislaman, ia merujuk kepada khazanah ilmu dan tradisi yang diwariskan oleh generasi terdahulu. Istilah ini mula mendapat perhatian sekitar awal abad ke-20, melalui penulisan tokoh seperti Ahmad Amin dan Shaykh Muhammad Zahid al-Kawthari. Sebelum itu, istilah ini tidak dikenali secara meluas dengan makna yang kita fahami hari ini.
Turath tidak terhad kepada kitab-kitab klasik atau teks agama semata-mata. Sebaliknya, ia meliputi dimensi ilmu dan tradisi yang luas yang diwarisi daripada generasi terdahulu. Antara pengklasifikasian bentuk turath dalam konteks di sini ialah ilmu naqli, iaitu sumber utama kepada munculnya pelbagai disiplin keilmuan yang lain ialah al-Quran dan al-Hadith. Ilmu ini merangkumi disiplin yang mungkin dapat dilihat jelas adalah seperti tafsir-tafsir atau syarah- syarah hadith yang membentuk asas dalam menginterpretasikan syariat seperti tafsir karya al- Tabari dan Fath al-Bari karya Ibn Hajar al-‘Asqallani. Selain itu, turath juga merangkumi ilmu aqli, seperti falsafah, kalam, mantik, maqulat dan seumpamanya. Bidang ini memberikan asas analitik dan kerangka pemikiran yang lebih tersusun dan terperinci dalam memahami syariat serta menghubungkannya dengan rasional dan logik. Gabungan kedua ilmu ini; menjadikan aqli sebagai jambatan memahami naqli ini menghasilkan kefahaman Islam yang holistik dan komprehensif. Selain itu juga, turath turut menyentuh aspek fardu ain dan ia berkaitan dengan pembentukan akidah, pengaplikasian fiqh, dan disulami aspek tasawuf dalam kehidupan individu. Penekanan ini penting kerana ia asas rukun agama yang perlu diketahui dan perlu dipraktikkan oleh setiap mukallaf. Di samping itu, fardu kifayah juga menjadi sebahagian daripada ekstrak peninggalan turath yang penting. Ilmu rasional seperti epistemologi, metafizik, sains, dan teknologi termasuk dalam dimensi ini. Ilmu-ilmu ini jika dikaji, ia menjadi percambahan pelbagai disiplin ilmu daripada akar tradisi Islam seperti Kalam. Fiqh melibatkan ilmu praktikal seperti pengurusan, organisasi, empirikal, dan eksperimental. Usul Fiqh pula memfokuskan berkenaan dengan prinsip, kaedah dan falsafah bagi pembentukan metodologi disiplin-disiplin ilmu berdasarkan sumber-sumber tradisi Islam. Manakala Tasawuf pula seperti etika, kaunseling dan psikologi yang memberikan manfaat kepada masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan peradaban moden yang berpaksikan ketamadunan Islam.
Namun, terdapat kekeliruan dalam memahami konsep turath mutakhir ini. Ia sering disalah tafsir sebagai sekadar teks kitab kuning tanpa mengambil berat gagasan asal di sebaliknya. Hakikat terbaik dalam memahami dan mengaplikasikannya, turath ialah suatu manhaj (kerangka pemikiran) yang diwariskan oleh ulama untuk memahami, menganalisis, dan menghidupkan ilmu tersebut sesuai dengan zaman.
Turath yang diinginkan perlu memenuhi beberapa ciri utama untuk relevan dan berkesan dalam membentuk generasi Islam moden. Pertama, turath sebagai kerangka pemikiran (manhaj tradisi). Kembali kepada turath bukan sekadar membaca atau menghafal teks klasik, tetapi memahami manhaj ulama dalam menggali ilmu daripada sumber syariat seperti yang muttafaq ’alayh misalnya; al-Quran, al-Sunnah, al-Ijmak dan al-Qiyas. Turath harus berpaksikan akidah majoriti iaitu aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah, mengikuti disiplin mazhab fiqh yang muktabar, dan disulam dengan elemen tasawuf untuk melahirkan individu yang seimbang dari sudut intelektual, kerohanian dan muamalat masyarakat. Selain itu, turath mesti berfungsi sebagai panduan praktikal. Ia perlu diterjemahkan kepada amalan yang relevan dengan masyarakat moden. Sebagai contoh, pengajaran ilmu alat seperti mantiq, nahu soraf, dan balaghah mesti dijadikan asas utama untuk memahami teks klasik dengan tepat dan mendalam. Pada masa yang sama, hikmah turath harus dimanfaatkan dalam mendidik generasi yang mampu menangani cabaran teknologi, globalisasi, dan sosial dengan berlandaskan prinsip- prinsip mabadi Islam. Akhir sekali, pendekatan analitikal dalam pembacaan kitab adalah aspek penting dalam memahami turath. Pengkajian terhadap turath tidak boleh hanya bersifat literal; ia memerlukan pemahaman kritikal (fahm naqdiyy) terhadap teks. Pendekatan ini membolehkan seseorang mentafsirkan turath dalam konteks realiti kontemporari dan menghasilkan pemikiran analitik yang berupaya beradaptasi dengan cabaran semasa. Dengan pendekatan ini, turath bukan sahaja menjadi khazanah ilmu warisan, tetapi juga panduan dinamik untuk membentuk peradaban Islam yang lestari.
Oleh itu, masyarakat perlu dikembalikan kepada turath dan ia menghadirkan cabaran yang tidak boleh diabaikan. Salah satu cabaran utama seperti yang telah disebut ialah pemahaman sempit terhadap turath, di mana ia sering dilihat secara literal sebagai teks lama tanpa mengambil kira metodologi dan kerelevanannya dalam konteks semasa. Pemahaman seperti ini menjadikan turath sukar berkembang dan kehilangan daya tarik kepada generasi muda. Selain itu, kegagalan menyambung turath dengan realiti kontemporari secara kritikal seperti teknologi, globalisasi, dan isu sosial menyebabkan ia kelihatan ketinggalan zaman. Tambahan pula, kekurangan ulama berkualiti yang mampu memahami turath dan mentafsirkannya dalam konteks semasa menjadi halangan besar untuk menjadikan turath sebagai panduan praktikal.
Bagi menghadapi cabaran ini, langkah strategik diperlukan untuk menghidupkan turath dengan pendekatan yang relevan. Pertama, sistem pendidikan bersepadu harus dibangunkan dengan menggabungkan pendekatan tradisional seperti talaqqi kitab dengan metodologi moden yang menekankan pemikiran kritis dan analitik. Penguasaan ilmu alat seperti mantiq, nahu, usul fiqh dan seumpamanya mesti dijadikan asas kukuh dalam pengajian turath. Kedua, institusi keilmuan tradisional perlu dihidupkan kembali dengan menubuhkan pusat-pusat pengajian yang mempunyai kepakaran mendalam yang relevan dengan cabaran semasa seperti integrasi ilmu sains dan teknologi, sesuai dengan perkembangan zaman. Ketiga, melahirkan ulama progresif adalah menjadi keutamaan. Ulama yang memahami turath mesti melengkapkan diri dengan ilmu moden supaya mereka dapat berperanan sebagai tokoh rujukan dalam masyarakat. Akhir sekali, penting untuk memupuk kefahaman seimbang, di mana turath dilihat bukan sekadar tinggalan sejarah namun sebagai panduan dinamik yang mampu membentuk masyarakat progresif tanpa meninggalkan asas tradisi Islam.
Kesimpulannya, kefahaman “kembali kepada turath” bukan sekadar usaha nostalgia terhadap teks lama, tetapi ia adalah suatu ikhtiar dan pendekatan untuk menghidupkan manhaj tradisi ulama yang relevan dengan realiti kontemporari. Turath yang kita perlukan ialah turath yang melahirkan generasi alim yang berkepakaran bidang serta profesional, bukan sahaja dalam ilmu agama tetapi juga dalam menangani cabaran dunia semasa. Dengan menjadikan turath sebagai panduan dinamik, ia mampu memancarkan hikmah Islam kepada masyarakat serta dapat membuka jalan kepada kemajuan yang berteraskan prinsip-prinsip Islam.
Ahmad Luqman bin Zulkefli merupakan lulusan ijazah Universiti al-Azhar dalam bidang Usuluddin (Akidah & Falsafah) dan sarjana Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam Pemikiran Islam Kontemporari.
Tazkirah Jumaat IIDM-MUIP
Bertarikh 10 Januari 2025 / 10 Rejab 1446






