Skip to main content

BAGAI SIRIH PULANG KE GAGANG: RUU MUFTI (WILAYAH PERSEKUTUAN) 2024 MENGEMBALIKAN PENGINSTITUSIAN PEGANGAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH SEBAGAI KANUN WATAN DI TANAH AIR

Prof Madya Dr Amran Muhammad, Pengarah Eksekutif Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM)
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP)

RUU Mufti (WP) 2024 menetapkan keperluan melantik seorang Mufti bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang jelas pendiriannya terhadap pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Keperluan ini tidak lain dan tidak bukan adalah penegasan yang bertepatan dengan sejarah perkembangan kefahaman, penafsiran, penghayatan, pembudayaan atau lebih tepat pengislaman di tanah watan ini. Justeru pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah wajib terus dipertahankan sebagai pengamalan arus perdana kefahaman dan penghayatan Islam di Tanah Air.

RUU Mufti (WP) 2024 adalah seumpama sirih pulang ke gagang bagi medan perundangan atau gelanggang hukum-hakam (kanun) Islam di Tanah Air sekaligus bakal membuktikan apakah benar komitmen yang tuntas bagi pihak Kerajaan Malaysia ketika ini terhadap kepentingan mengekalkan pegangan aliran arus perdana Islam yang sederhana (moderate/wasatiyyah) yang telah ratusan tahun diamalkan di rantau nusantara ini dengan aman, damai dan makmur.

RUU Mufti (WP) 2024 bolehlah dianggap sebagai kanun Islam mutaakhir bagi Negara Malaysia Moden pada menginstitusikan semula pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang telah sekian lama termaktub dalam Undang-Undang hampir kesemua negeri-negeri di Malaysia yang berakar dari pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di Alam Melayu seperti yang tersurat pada Kanun Melaka (Abad 15, Kanun Pahang (Abad 16) dan Kanun Perak (Abad 17).

RUU Mufti (WP) 2024 adalah berdasarkan kepada Hadis Jibril AS yang masyhur menggabungkan sekaligus kesemua dharuriyyat/aksiom-aksiom/pokok-pokok ajaran Islam iaitu Iman-Islam-Ihsan atau Akidah-Syariat-Akhlak yang kemudiannya dikembangkan oleh para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam disiplin-disiplin keilmuan khusus Kalam, Usuluddin dan Akidah (Iman/Akidah); Usul-Fiqh dan Fiqh Mazhab (Islam/Syariat); dan Tasawuf (Ihsan/Akhlak)

RUU Mufti (WP) 2024 merupakan formulasi pegangan arus perdana Islam yang berstruktur lagi sistematik dan akhirnya menghasilkan kesinambungan tradisi, kewibawaan otoriti serta keterperincian rasionalisasi yang sehingga kini tidak mampu ditandingi apatahlagi ditukar ganti dengan pegangan-pegangan anti-tradisi, anti-otoriti dan juga anti-rasionaliti aka liberalisme dan literalisme yang diwar-warkan atas nama tajdid, islah dan reformasi Islam sejak lebih 100-200 tahun yang lepas.

Dari dimensi Iman/Akidah, RUU Mufti (WP) 2024 nantinya akan berupaya menginstitusikan kembali pegangan arus perdana Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah meliputi pemahaman Akidah, Usuluddin atau Kalam dari tradisi Asha’irah-Maturidiyyah yang bersumberkan dari sistemisasi akidah oleh Imam Ash’ari, Imam Maturidi, Imam Baghdadi, Imam Baqillani, Imam Juwayni dan muridnya Imam Ghazali, Imam Fakhruddin al-Razi, Imam Taftazani, Imam Nasafi, Imam Sanusi, Imam Iji, Imam Jurjani dan ramai lagi Imam-Imam Asha’irah-Maturidiyyah sehingga kehari ini yang mana kefahaman akidah mereka diikuti lebih 80% umat Islam diseluruh dunia.

Dari dimensi Islam/Syariat, RUU Mufti (WP) 2024 juga berupaya menginstitusikan kembali pegangan arus perdana Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berhubungan dengan perlaksanaan ibadat dan mumalat bersumberkan dari sistemisasi Usul-Fiqh dan Mazhab Fiqh Syafi’iyyah oleh Imam Syafie, Imam Juwayni, Imam Ghazali, Imam Nawawi, Imam Ramli dan ramai lagi disamping memanfaatkan formulasi Mazhab-Mazhab Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Ahmad dan ramai lagi Imam-Imam Usul-Fiqh dan Fiqh Mazhab dari empat Mazhab Fiqh Muktabar yang juga diikuti lebih 80% umat Islam global.

Dari dimensi Ihsan/Akhlak, RUU Mufti (WP) 2024 akhirnya berupaya menginstitusikan kembali pegangan arus perdana Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berkaitan dengan disiplin penyucian hati dan peningkatan akhlak yang mulia sudah tentu bersumberkan dari tradisi Tasawuf Imam Junayd dan guru beliau Imam Muhasibi yang diikuti oleh Imam Talib al-Makki juga Imam Ghazali, Imam Syazili, Imam Ibn Ataillah Sakandari, Imam Abu Madyan, Imam Rabbani serta ramai lagi Imam-Imam muktabar Tasawuf

Pengembalian penginstitusian pegangan arus perdana Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah Asha’irah/Maturidiyyah-Syafi’iyyah-Junayd/Ghazali melalui RUU Mufti (WP) 2024 ini bukanlah bermaksud kita sekadar bernostalgia atau beretorik tetapi melihatkan kepada kegagalan pegangan-pegangan Islam anti-tradisi, anti-otoriti dan juga anti-rasionaliti aka liberalisme dan literalisme serta kekeliruan umat yang bakal mendatangkan kebosanan terhadap sifat, tabiat dan hakikat beragama (fenomena liberalisme, skeptisme, atheisme, hedonisme dan lain-lain yang sedang meningkat dikalangan umat), maka usaha-usaha terancang dan tersusun kearah penjelasan malah penambahbaikan pegangan arus perdana Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah Ahli Sunnah Wal Jamaah sesuai bagi Abad ke 21 perlu dimulakan dari sekarang.

Apatah lagi dunia global masakini yang semakin hari semakin berleluasa fenomena liberalisme, radikalisme, ekstremisme, terorisme, rasisme, anarkisme dan atheisme dan yang sudah pasti literalisme beragama mendambakan satu tradisi, sistemisasi, rasionalisasi dan formulasi agama yang komprehensif dan holistik dalam menangani isme-isme/naratif-naratif ini.

Pegangan arus perdana Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah ini yang merangkumi dharuriyyat/aksiom-aksiom/pokok-pokok ajaran Islam iaitu Iman-Islam-Ihsan atau Akidah-Syariat-Akhlak yang difahami dan dijelaskan oleh para ulama’ dalam tradisi Ahli Sunnah Wal Jamaah ini tentu sahaja lebih lengkap, berwibawa dan dirasionalisasikan secara sistematik dan berstruktur sehingga terbina darinya disiplin-disipin ilmu yang berkembang serta boleh terus dikembangkan lagi sehingga kehari ini serta berupaya menjambatani ilmu-ilmu semasa serta akhirnya membentuk peradaban kemanusiaan.

Inilah yang dimaksudkan dengan RUU Mufti (WP) 2024 seumpama sirih pulang ke gagang dengan pegangan arus perdana Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah di Watan ini yang berakar-umbi dari tradisi yang panjang lagi sahih, memiliki kewibawaan berdasarkan otoriti ilmu dan amal berdasar tradisi Islam serta dibina dari asas-asas epistemologi, ontologi dan aksiologi yang jelas yang tidak wujud dalam pegangan-pegangan Islam anti-tradisi, anti-otoriti dan juga anti-rasionaliti aka liberalisme dan literalisme.