Skip to main content

MENJADIKAN IHYA ULUMUDDIN SEBAGAI MANUAL PSIKOLOGI DAN SOSIOLOGI KEHIDUPAN MUSLIM KONTEMPORARI (BAHAGIAN 2/2)

Oleh Prof Madya Dr Amran Muhammad, Pengarah Eksekutif Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM)
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP)

Suku Ketiga Ihya Ulumuddin ialah tentang Peranan Hati Dalam Perbuatan Yang Membinasakan (3-Rubu’ al-Muhlikat). Manual Psikologi dan Sosiologi Ihya Ulumuddin berasas kepada peranan dan kedudukan Hati/Jiwa/Ego manusia sebagai punca segala tindak-tanduk zahir selari dengan faham Al-Quran dan Al-Sunnah tentang hal ini.

Sebab itu Imam Al-Ghazzali menegaskan dua suku (bahagian) Ihya Ulumuddin Ilmu Zahir (Rubu’ Ibadah dan Rubu’ Adat) ini mestilah ditampung oleh (Rubu’ al-Muhlikat) atau kefahaman tentang bahayanya sifat-sifat Mazmumah (hati yang busuk lagi tercela) dan (nantinya Rubu’ al-Munjiyat) atau kefahaman tentang perlunya sifat-sifat Mahmudah (hati yang sejahtera lagi terpuji) untuk benar-benar agama dan ilmu agama itu boleh dihidupkan semula secara hakiki.

Bahagian ketiga Ihya Ulumuddin 3.Rubu’ al-Muhlikat ini mengandungi juga 10 Kitab tentang perkara yang membinasakan manusia; 1. Keajaiban Hati, 2. Disipilin Diri (Tazkiah al-Nafs), 3. Bahaya Perut dan Kemaluan, 4. Bahaya Lidah, 5. Bahaya Marah, Dendam dan Dengki, 6. Tipudaya Dunia, 7. Tipudaya Harta dan Sifat Bakhil, 8. Bahaya Bermegah-Megah dan Menunjuk-Nunjuk, 9. Bahaya Takbur dan Hairan Diri Sendiri,dan 10. Tertipu dan Terpedaya dengan diri dan dunia.

Manual Psikologi dan Sosiologi Ihya Ulumuddin merupakan satu pendekatan pembersihan Hati/Jiwa/Ego yang standard dalam tradisi disiplin diri Islam yang hari ini pelbagai pendekatan psikoterapi, motivasi dan perubahan sikap moden tidak mungkin sampai ketahap sedalam dan sehalus ini. Tetapi inilah hakikat dan realiti sifat dan tabiat Hati/Jiwa/Ego manusia yang ingin ditajdid dan diislah secara sebenarnya.

Suku Terakhir dan Keempat Ihya Ulumuddin (Rubu’ al-Munjiyat) membicarakan perkara-pekara yang bakal melepaskan atau menyelamatkan manusia dalam perjalanan psikologi dan sosiologi mereka. Bahagian yang membicarakan sifat-sifat Mahmudah (Terpuji) mengandungi juga 10 Kitab iaitu 1. Tawbat, 2. Sabar dan Syukur, 3. Takut dan Harap, 4. Fakir dan Zuhud, 5. Tawhid dan Tawakkul, 6. Cinta Kasih, Rindu, Jinak Hati dan Rela/Reda, 7. Niat, Benar dan Ikhlas, 8. Muraqabah dan Muhasabah, 9. Tafakkur (Refleksi Diri dan Alam), dan 10. Mengingati Mati.

Manual Psikologi dan Sosiologi Ihya Ulumuddin Imam Al-Ghazzali ini jelas sekali menekankan dimensi Hati/Jiwa/Ego manusia yang positif dan konstruktif secara dalaman perlulah dibina terlebih dahulu dengan pembersihan sifat-sifat Mazmumah (dari Rubu’ al-Muhlikat) dan menghiaskannya dengan sifat-sifat Mahmudah (dari Rubu’ al-Munjiyat) dengan segala kefahaman tentang sifat-tabi’at, selok-belok dan simpang-siur Hati/Jiwa/Ego.

Pendekatan maknawiyyah/dalaman ‘penguasaan’ atau pendisiplinan Hati/Jiwa/Ego sebagai teras dan tunjang kepada kesempurnaan Psikologi dan Sosiologi zahiriyyah/luaran sebagai Manual Kehidupan Muslim Ihya Ulumuddin ini sangat mendalam dan menyeluruh dari pendekatan perubahan sikap, mental dan motivasi yang biasa dihidangkan oleh selebriti populis dan motivator instant dalam media komersial industri agama hari ini.

Menjadikan Ihya Ulumuddin Imam Al-Ghazzali sebagai Manual Psikologi dan Sosiologi Kontemporari bagi umat Islam hari ini bukanlah perkara yang sukar dari jangkauan kita. Sudah tentu Kitab Klasik seperti Ihya Ulumuddin memerlukan pengungkapan semasa sebagai Buku Kontemporari.

Tetapi keupayaan Imam Al-Ghazzali menerobos permasalahan sifat, tabi’at dan hakikat insan yang dimanifestasikan dalam kemelut kehidupan umat di zaman beliau yang sedang kita saksikan didepan mata kepala kita hari ini menunjukkan betapa Ihya Ulumuddin bukanlah kitab sembarangan.

Pengaruh dan peranan Hujattul Islam Imam Al-Ghazzali yang penuh karamah dan Ihya Ulumuddin yang penuh barakah tetap relevan dan significance bagi ratusan jika tidak bilionan umat manusia yang ikhlas lagi tidak terhijab dari mendapat rahsia Fiqh, Hikmah, Ilmu atau Makrifah, Sinaran atau Pancaran Cahaya, Nur, Hidayah dan Petunjuk Peribadi Agung Tradisi Keilmuan, Kerohanian dan Ketamadunan Islam ini.

INSTITUT ILMU DARUL MAKMUR – MUIP EDUCATION SDN BHD