MENJADIKAN IHYA ULUMUDDIN SEBAGAI MANUAL PSIKOLOGI DAN SOSIOLOGI KEHIDUPAN MUSLIM KONTEMPORARI (BAHAGIAN 1)
Oleh Prof Madya Dr Amran Muhammad, Pengarah Eksekutif Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM)
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP)
Ketika Hujjatul Islam Imam Al-Ghazzali menghasilkan karya agung Ihya Ulumuddin, beliau faham benar situasi umat Islam ketika itu yang juga tidak jauh berbeza dengan umat Islam zaman kita ini. Kebobrokan politik dan kepimpinan, kebejatan sosial dan kekeluargaan, ketidak-seimbangan ekonomi dan kekayaan, kekeliruan kefahaman dan penghayatan ilmu dunyawi dan ukhrawi, kemunculan ulama suk (opurtunis) dan souq (komersial), ketaksuban perbahasan agama hanya kepada fekah dan hadis, keterbatasan penghayatan agama hanya secara mekanikal, ritual dan zahiri, dan akhirnya kegagalan untuk menanggapi, memahami dan menghayati agama Islam kedua-dua secara maknawi dan zahiri, secara nazari dan amali, secara individu dan kolektif, secara dunyawi dan ukhrawi sekaligus.
Inilah sebahagian dari intipati penting melatari penghasilan Kitab Muktabar Magnum Opus Imam Al-Ghazzali Ihya Ulumuddin kira-kira 1000 tahun dahulu. Ajaib! Situasi, fenomena dan ekologi umat Islam sekarang masih tidak berubah sepertimana ketika Imam Al-Ghazzali menghasilkan Ihya Ulumuddin. Hakikatnya insan sebagai anak Adam tetap sebagai anak Adam sifat dan tabi’atnya dari awal kejadian Nabi Adam sehingga ke Hari Kiamat.
Imam Al-Ghazzali menegaskan kandungan atau perisian ilmu-ilmu Ihya Ulumuddin tidak lain dari mewarisi tradisi keilmuan Islam yang panjang yang berdasarkan Al-Qur’an dan Al-Sunnah dengan menanggapi kandungan dan perisian sebegini sebagai Fiqh (dalam pengertian asli ‘Faham Kaedah dan Tujuan Agama’ bukan sekadar ‘Hukum-Hakam Fekah semata-mata’), Hikmah, Ilmu atau Makrifah, Sinaran atau Pancaran Cahaya, Nur, Hidayah dan Petunjuk. Sifat dan tabi’at ilmu dengan ciri-ciri Penjelasan dan Penyuluh Makna, Pedoman dan Panduan Amalan serta Pengarahan dan Petunjuk Hala-Tuju Akhir Kehidupan merupakan asas penting bagi faham ilmu atau epistemologi Al-Ghazzali dalam memformulasikan Ihya Ulumuddin.
Visi dan misi faham ilmu atau epistemologi sebegini tidak mungkin kita perolehi jika ilmu-ilmu Islam hanya ditanggap dengan lawak-jenaka dan gelak-ketawa motivator agama, melalui santai selebriti agama dan retorik penceramah instant yang ditentukan oleh media massa, agen pengiklanan dan kepentingan industri yang memperalatkan agama sebagai produk dagang.
Berpaksikan kepada faham ilmu atau epistemologi, Penjelasan dan Penyuluh Makna dan Hakikat Beragama, Pedoman dan Panduan Amalan Ibadat Khusus dan Adat serta Adab erkehidupan serta Pengarahan dan Petunjuk Hala-Tuju ke Alam Akhir Kehidupan, maka Imam Al-Ghazzali mengklasifikasikan Ihya Ulumuddin sebagai Disiplin Muamalah atau Kitab Amaliyyah. Dalam konteks semasa Ihya Ulumuddin adalah seumpama Manual Kehidupan yang menyeluruh mencakupi tip-tip atau kaedah-kaedah pengaturan setiap aspek kehidupan individu/peribadi dan kehidupan sosial/masyarakat.
Malah lebih penting bukan hanya aspek lahiriyyah atau zahiriyyah aturan kehidupan individu dan sosial yang ditekankan oleh Imam Al-Ghazzali tetapi juga dimensi maknawiyyah, dalam, hati-nurani, hawa-nafsu dan ego diri-diri individu dalam interaksi peribadi dan kemasyarakatan mereka.
Justeru Ihya Ulumuddin sebagai Manual Praktikal Psikologi dan Sosiologi dibahagikan kepada dimensi zahiriyyah/fizikal praktikal iaitu aturan kehidupan individu – Ibadah/Rukun Islam (1) dan sosial – Adat/Adab (2) dan dimensi maknawiyyah/spiritual iaitu peranan sifat dan tabi’at buruk – Muhlikat/Mazmumah (3) dan baik – Munjiyat/Mahmudah (4) jiwa, nafsu dan ego yang menentukan kualiti aturan kehidupan individu dan sosial mereka.
Secara khusus Imam Al-Ghazzali membahagikan Ihya Ulumuddin kepada empat bahagian (suku). Suku Pertama tentang peribadatan (1- Rubu’ Ibadah). Bahagian ini menjurus kepada penghalusan sifat, tabi’at dan hakikat ilmu, inti-pati keimanan dan penghayatan Rukun Islam. Ihya Ulumuddin mengajak umat Islam memahami Ibadah sebagai satu proses penyempurnaan diri penuh dengan adab dan hikmah, menggabungjalin ilmu dan amal dan tidak hanya tertumpu dimensi zahir fekah semata-mata hingga hilang kesedaran tentang makna dan tujuan amal-ibadah itu sendiri.
Terkandung dalam 1-Rubu’ Ibadah ini ialah 10 Kitab tentang Hikmah dan Adab 1. Ilmu, 2. Akidah, 3. Bersuci, 4. Solat, 5. Zakat, 6. Puasa, 7. Haji, 8. Membaca Al-Qur’an, 9. Zikir dan Doa, dan 10. Tertib Berwirid dan Waktunya. Jelas sekali Suku Pertama Ihya Ulumuddin ini merupakan Manual Psikologi positif dan konstruktif yang berupaya membina jati-diri, kendiri dan motivasi diri ke arah kehidupan yang berpaksikan kepada kesedaran tentang Ubudiyyah zahir dan batin/maknawi sebagai peringkat paling tinggi perjalanan kehidupan sebelum sampai ke destinasi Akhirat. Manual Psikologi positif dan konstruktif ini menjadikan amal-ibadah khusus bukan sekadar aktiviti mekanikal dan ritual tetapi memberikan makna dan penghayatan dalam diri individu muslim secara sedar.
Suku Kedua Ihya Ulumuddin ialah tentang kehidupan bermasyarakat sehari-harian (2 – Rubu’ Adat/Kebiasaan Harian/Kehidupan Sosial). Sekali lagi Imam Al-Ghazzali sangat peka tentang peranan sosial agama dalam membentuk masyarakat yang sempurna. Dalam bahagian ini Imam Al-Ghazzali memformulasi apa yang biasanya dianggap sebagai adat kebiasaan sosial harian manusia bermasyarakat kearah menjadikan adat-adat ini memperolehi status dan pengiktirafan sebagai Ibadah seperti Ibadah Khusus dalam Manual Psikologi dalam Rubu’ Ibadah.
Termasuk dalam 2-Rubu’ Adat ini ialah 10 Kitab tentang Hikmah dan Adab 1. Makan-Minum, 2. Pernikahan dan Kekeluargaan, 3. Perkerjaan dan Pencarian Rezeki dan Kekayaan, 4. Halam dan Haram dalam Kehidupan, 5. Kaedah Interaksi, Komunikasi dan Organisasi Penuh Kasih Sayang Sesama Manusia, 6. Keperluan Privasi Diri (Uzlah), 7. Kaedah Bermusafir dan Perjalanan Jauh Berkumpulan, 8. Keperluan dan Kaedah Menikmati Muzik dan Kesenian Nyanyian, 9. Hal-Hal Membuat Kebajikan dan Mencegah Kemungkaran (Amal Maaruf Nahy Munkar), dan 10. Teladan, Kecintaan dan Kemuliaan dari Kehidupan Rasulullah.
Suku Kedua 2-Rubu’ Adat ini menggambar betapa Imam Al-Ghazzali 1000 tahun lebih awal telah membina satu Manual Sosiologi positif dan konstruktif duniawiyyah dan dininyyah yang lengkap mencakupi kehidupan keluarga, organisasi, komuniti, nasional dan global yang hari ini tidak pernah dikemukakan oleh mana-mana sarjana Islam semasa. Manual Sosiologi Ihya Ulumuddin ini berupaya untuk reboot atau reset visi dan misi kehidupan kehidupan keluarga, organisasi, komuniti, nasional dan global semasa yang terpecah-terpecah dan berselerak.
(Bersambung pada Tazkirah Jumaat minggu hadapan)
INSTITUT ILMU DARUL MAKMUR – MUIP EDUCATION SDN BHD