Skip to main content

MENGEMBALIKAN TRADISI PEMIKIRAN ANALITIK DAN KRITIS (MANTIQI) DALAM MASYARAKAT ISLAM

Oleh Prof Madya Dr Amran Muhammad, Pengarah Eksekutif Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM)

Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP)

Umat Islam mestilah menerima hakikat bahawa mereka telah kehilangan Tradisi Pemikiran Analitik dan Kritis (Mantiqi) dalam kehidupan beragama yang sekaligus memberi kesan yang parah dalam kehidupan duniawi khususnya dalam soal penghasilan dan penguasaan ilmu pengetahuan semasa atau Sains Kontemporari.

Kemusnahan kefahaman dan penghayatan umat terhadap Tradisi Pemikiran Analitik dan Kritis (Mantiqi) yang lazimnya dikaitkan dengan Disiplin Ilmu Kalam dan Ilmu Mantik atau Logik secara lebih khusus menjadi berleluasa sejak awal Abad 19 dan Abad  20 terutamanya dengan muncul fenomena gerakan yang memaksakan umat Islam hanya perlu merujuk Al-Qur’an dan Al-Hadith semata-mata dalam kehidupan mereka.

Fenomena dan gerakan yang menghapuskan daya fikir, daya akliah dan daya rasionaliti dengan slogan “Kembali kepada Al-Quran dan Al-Sunnah” ini telah menayangkan paparan sejarah pemikiran dan peradaban Islam sebagai suatu paparan hodoh serta perlu dijauhi kerana kononnya bercampur-aduk dengan pengaruh Yunani, India, Parsi yang tidak Islamik.

 

Malangnya slogan dan propaganda “Kembali kepada Al-Qur’an dan Al-Sunnah” semata-mata tanpa merujuk kepada Tradisi Keilmuan, Kerohanian dan Ketamadunan Islam telah mengbangkrupkan daya fikir, akli, rasional umat sehingga tiada lagi Tradisi Analitik dan Kritis (Mantiqi) yang menjadi asas serta pencetus kepada penghasilan ilmu-ilmu baru.

Akibatnya umat Islam terus dihidangkan dengan ulangan-ulangan ilmu-ilmu lama tanpa pembaharuan dan dipersibukkan dengan polemik hukum-hakam perselisihan pendapat, status kesahihan hadis serta hal-hal titik-bengik keagamaan yang sama sekali tidak membolehkan mereka membina kekuatan pemikiran, kekayaan ilmu baru apatah lagi kemunculan peradaban semula Islam.

Cabaran sebenar umat Islam untuk bangkit sebagai sebuah peradaban keilmuan yang kini dikuasai dan dimonopoli oleh Peradaban Barat jarang sekali dikemukakan oleh golongan agamawan kita yang lebih selesa berpolemik tidak isu khilafiyyah dan status hadis. Tamadun dan Peradaban Barat terus menerus menguasai Dunia Umat Islam dan Umat Manusia tidak lain dan tidak bukan kerana mereka menghasilkan, memiliki dan menguasai dunia ilmu pengetahuan dengan segala sesuatu yang berkaitan ilmu itu.

Manakala Umat Islam terus ketinggalan dalam serba serbi kerana kegagalan mereka untuk menggagaskan ilmu mereka sendiri dalam menghadapi cabaran kehidupan dan sekadar menjadi pengguna, pengimport dan pengkagum ilmu-ilmu Barat semasa.

Perpecahan dan kelemahan politik, ekonomi dan sosial yang siang-malam diperkatakan dalam Dunia Umat Islam tidak lain dari manifestasi terpecahnya visi ilmu dalam kehidupan, lemahnya misi dan motivasi keilmuan serta ketidakupayaan memiliki peralatan-peralatan fikir, akliah dan rasional yang membolehkan Tradisi Analitik dan Kritis (Mantiqi) terbina.

Sejak 300 tahun setelah muncul apa yang dinamakan Revolusi Sains Barat pada Abad ke 17, yang sehingga kini menjadi batu-asas bagi ilmu-ilmu moden semasa dalam pelbagai disiplin keilmuan, dunia ilmu kontemporari mengalami krisis ilmu yang sangat dahsyat dari dimensi faham kebenaran, kewujudan dan nilai ilmu itu sendiri.

Misalnya setelah 300 tahun melalui Revolusi Sains dengan segala pencapaian Sains Kontemporari, masyarakat sains Barat masih belum mengenal Tuhan, Makna Kehidupan, Tujuan Kehidupan dan seumpamanya. Bukan sahaja Sains ciptaan Peradaban Barat masih tidak menjumpai Tuhan malah juga Sains ciptaan Barat masih tidak pasti tentang kewujudan Ruh dan Kesedaran Insan.

Ketidakpastian hal-hal sarat nilai yang berkaitan dengan faham kebenaran, kewujudan dan nilai inilah yang mencorakkan ilmu-ilmu pengetahuan semasa yang akhirnya mempengaruhi para penuntut, pelajar dan pemiliknya menjadi individu dan masyarakat yang sekular, atheis, agnostik, skeptik dan pelbagai-lagi kekeliruan semasa yang terbit dari sifat dan tabiat ilmu yang celaru itu.

Dalam konteks mendepani cabaran sebenar Pemikiran dan Peradaban Kontemporari olahan Barat Semasa, disinilah letaknya kedudukan dan peranan menghidupkan semula Ilmu Kalam dan menggerakkan Inisiatif Tajdid atau Ihya Kalam bagi mengembalikan Tradisi Analitik dan Kritis (Mantiqi) Umat Islam.

Umat Islam dan para ulamanya termasuk agamawan secara umumnya tiada pilihan lain selain perlu mengembleng masa dan tenaga untuk menjayakan proses pengupayaan Daya Fikir, Daya Akliah dan Daya Rasional umat.

Oleh kerana ketidaktahuan dan salah-maklumat yang diperolehi, terdapat dikalangan umat, ulama dan agamawan yang menolak Ilmu Kalam dan Ilmu Mantik tanpa usul-periksa. Persoalannya bukan atas nama ilmu itu Kalam ataupun Mantik yang sekian lama disalah-persepsikan, tetapi yang perlu diteliti ialah isi-kandungan, tujuan serta faedah ilmu-ilmu Kalam dan Mantik ini yang membolehkan Tradisi Analitik dan Kritis (Mantiqi) ini terbentuk pada pemikiran umat di masa lalu.

Negara Malaysia Moden Abad ke 21 dan Negeri Pahang Darul Makmur khususnya sewajarnya menjadi contoh sebuah negara/negeri Islam yang umatnya berjaya memiliki kedua penguasaan akliah dan nakliah (Akal dan Wahyu) yang digabungjalin dengan baik dan bukannya membuang akal semata-mata kononnya akal itu tidak berguna untuk kehidupan beragama. Tiada lagi sepatutnya slogan dan propaganda “Kembali kepada Al-Qur’an dan Al-Sunnah” semata-mata tanpa merujuk kepada Tradisi Iman-Islam-Ihsan/Kalam-Fekah-Tasawwuf yang merupakan kesinambungan khazanah keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam.

Dalam dunia globalisasi, komunikasi, sains, teknologi dan inovasi, umat, ulama dan agamawan mestilah berupaya menanggap, memahami serta menghayati kedua-dua Kitab Besar, Al-Qur’an sebagai Buku Wahyu dan Alam Semesta sebagai Buku Akal juga ditambah dengan Diri Insan sebagai Bukunya yang tersendiri. Kehidupan dunyawi yang sempurna bagi umat Islam sudah tentu perlu mengambil kira kedua-dua peranan dan sumbangan Agama dan Sains dalam konteks semasa.

Justeru gabung-jalin Agama dan Sains yang dimulakan dengan pembinaan Tradisi Pemikiran Analitik dan Kritis (Mantiqi) umat berupaya memberi saujana baru bagi pemikiran umat Islam di Malaysia dan Pahang Darul Makmur.

INSTITUT ILMU DARUL MAKMUR – MUIP EDUCATION SDN BHD