PERUBAHAN HAKIKI NASIB UMAT ISLAM MELALUI PERUBAHAN HATI-NURANI DAN AKAL-BUDI MEREKA BERKAITAN AQIDAH, IMAN DAN TAUHID
Oleh Prof Madya Dr Amran Muhammad, Pengarah Eksekutif Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM)
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP)
Adalah menjadi satu yang klise dan stereotaip bagi umat Islam bila berbicara tentang perubahan mereka memahami perubahan umat hanya boleh berlaku melalui perubahan politik, ekonomi dan sosial. Terdapat juga umat Islam yang berfikir perubahan umat mestilah menjurus kepada perubahan sistem perundangan Islam ataupun perubahan sistem pendidikan Islam. Tidak ketinggalan juga yang mencadangkan perubahan umat mestilah melalui pengambilan sains, teknologi dan inovasi dunia semasa. Umat Islam rata-rata menumpukan maksud dan matlamat perubahan-perubahan ini hanya kepada perubahan luaran, lahiriah, fizikal, jasmaniah, masyarakat dan institusi semata-mata.
Justeru tidak menghairankan sepanjang 100 tahun yang lalu pada Abad ke 20, umat Islam telah dihidangkan dengan pelbagai agenda, slogan, retorik dan propaganda perubahan-perubahan ini.
Namun sehingga kehari hanya sedikit sahaja perubahan-perubahan yang dicanangkan dari segi politik, ekonomi, sosial, undang-undang, pendidikan, sains, teknologi dan inovasi tersebut berjaya digarap dan diterjemahkan menjadi kenyataan yang boleh dibanggakan di mana-mana negara dan masyarakat Islam. Politik umat berpecah-belah, keadaan ekonomi umat lemah, kehidupan sosial membimbangkan, sistem perundangan Islam dipertikaikan, sistem pendidikan Islam tiada pengarahan manakala sains, teknologi dan inovasi diaplikasi secara naif dan tidak kritikal.
Selagi umat Islam menyangka perubahan itu hanyalah perubahan luaran semata-mata, selagi itulah mereka tidak akan kemana-mana. Selagi umat Islam taksub dengan perubahan fizikal serta sekadar mencari jalan-pintas atau mi-segera untuk mencapai perubahan, 100 tahun akan datang di Abad ke 21 ini, mereka tetap akan berada pada takuk lama.
Perubahan yang hakiki ialah perubahan yang merubah jiwa-nurani dan hati-budi insan yang kemudiannya diterjemahkan dalam dimensi politik, ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains, teknologi dan inovasi dalam masyarakat dan negara. Justeru perubahan yang hakiki ialah perubahan maknawiyyah, batiniyyah, ruhaniyyah dan akliyyah.
Perubahan hakiki bermula dengan perubahan dalaman psikologi insan yang melibatkan kefahaman akidah dan keyakinan iman atau sistem kepercayaan/keimanan terhadap hakikat-hakikat utama (tauhid) dalam kehidupan mereka.
Misalnya Baginda Rasulullah SAW menumpukan 13 tahun pertama kedatangan Islam hanya kepada persoalan akidah, iman dan tauhid di Mekah sebelum melaksanakan tuntutan-tuntutan politik, ekonomi, sosial 10 tahun berikutnya di Madinah. Justeru menjadi Sunnah Nabi SAW bahawa perjuangan Baginda Junjungan SAW menetapkan kepentingan akidah, iman dan tauhid sebagai asas dan dasar perubahan yang hakiki bagi masyarakat umat Islam secara individu dan kolektif.
Perubahan akidah, iman dan tauhid memainkan peranan yang sangat penting dalam pembentukan pemikiran umat manusia pada permulaannnya yang kemudiannya akan mempengaruhi amal-perbuatan dan tindak-tanduk kehidupan mereka. Melalui perubahan akidah, iman dan tauhid Baginda Kekasih Allah SWT telah mentransformasikan secara total satu generasi umat Arab Jahiliyyah yang diakui oleh para sarjana Timur dan Barat sebagai satu fenomena “mukjizat” kerana dalam waktu yang sangat singkat mereka telah menguasai sebahagian besar wilayah politik, ekonomi dan sosial kemanusiaan ketika itu.
Tetapi yang lebih menakjubkan lagi wilayah besar politik, ekonomi dan sosial yang mereka masuki itu turut mengalami perubahan akidah, iman dan tauhid sepertimana Generasi Para Sahabat dan Pengikut Baginda Yang Terpilih Al-Mustafa SAW. Justeru tiada contoh terbaik sebagai kayu-ukur dan penanda-aras bagi perubahan dan transformasi umat melainkan dengan model kefahaman dan penghayatan akidah, iman dan tauhid Generasi Para Sahabat dan Pengikut Baginda Nabi Terakhir SAW ini bermula dari Abad 6, 7 dan 8 Masihi atau lebih dikenali sebagai 3 Abad Pertama Islam atau Abad Generasi Salaf Yang Asli.
Kepentingan dan keistimewaan model kefahaman dan penghayatan akidah, iman dan tauhid Generasi Salaf 300 tahun Awal Islam ini telah berjaya membina Kerangka dan Asas bagi bukan sahaja pandangan alam atau worldview atau weltanschuung tetapi juga pengalaman hidup atau life-world atau lebenswelt generasi kemudiannya. Malah terbukti worldview/weltanschuung dan lifeworld/lebenswelt akidah, iman dan tauhid Generasi Salaf ini telah menyediakan kebangkitan Zaman Keemasan Peradaban Islam pada Abad selepas Abad ke 8, iaitu bermula dari Abad ke 9 sehinggalah berakhirnya Empayar Daulah Uthmaniyyah pada awal Abad ke 20.
Jika kita boleh menyebut dengan lebih tepat dari Abad ke 6-7 sehingga Abad ke 16-17 dalam lingkungan 1000 tahun, weltanschuung dan lebenswelt akidah, iman dan tauhid inilah yang menjadi tunjang dan tunggak juga engin dan motor bagi dinamika perubahan umat Islam dan peradaban mereka sehinggalah Kebangkitan Peradaban Barat yang kita kenali hari ini pada Abad ke 16-17 terutamanya dengan gagasan Renaissance dan Revolusi Saintifik Eropah.
Kembali kepada kefahaman dan penghayatan akidah, iman dan tauhid sepertimana yang dicontohi oleh Generasi Salaf 3 Abad Pertama Islam yang diikuti oleh 1000 tahun Tradisi akidah, iman dan tauhid majoriti Umat Islam (mewakili hampir 1400 penurunan Islam) akan membawa umat Islam kepada pendekatan pandangan alam dan pengalaman hidup Islam yang ilmiyyah, ruhaniyyah, nazariyyah dan maknawiyyah berbeza dengan pendekatan 100 tahun Islam kebelakangan yang bersifat harfiyyah, literal, ideologikal, anti-intelektual dan emosional serta sangat politikal.
Kefahaman dan penghayatan akidah, iman dan tauhid yang bersifat kognitif, rasional, logikal, analitik dan sistematik yang membolehkan sesebuah Gagasan dan Wawasan Pemikiran dan Peradaban tercipta telah hilang dari jiwa-raga dan batang-tubuh umat Islam. Justeru kefahaman dan penghayatan Islam kini menjadi sekadar ritual ibadah, perselisihan fekah, perdebatan sunnah – bukan sunnah, polemik titik-bengik yang tidak menggambarkan Islam memiliki satu pendekatan akidah, iman dan tauhid yang boleh merubah dunia.
Selagi umat Islam tidak bersungguh-sungguh mencetus dan mencipta ilmu mereka sendiri berdasarkan akidah, iman dan tauhid mereka sendiri selagi itulah umat Islam akan terjajah dari sudut politik, ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains, teknologi dan inovasi yang pada hakikatnya adalah penjajahan ilmu dan pemikiran akibat kegagalan membina alternatif ilmu dan pemikiran dari akidah, iman dan tauhid itu yang merupakan milik mereka sendiri.
INSTITUT ILMU DARUL MAKMUR – MUIP EDUCATION SDN BHD